Selasa, 16 Julai 2019 | 11:26am

Malaysia gerbang ekonomi halal

Mutakhir ini, pasaran produk dan perkhidmatan berasaskan halalan toyyiban (halal lagi baik) dijangka mendominasi persada ekonomi dunia. Ekonomi halal bukan sekadar penjenamaan, malah menyokong Matlamat Pembangunan Lestari atau ‘Sustainable Development Goals’ (SDGs).

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, dua norma penting kepenggunaan ini tetap diperlukan dalam keseluruhan ekosistem ekonomi sejagat. Peluang dan potensi perlu ditekuni dengan strategi berkesan bagi menjayakannya.

Kepenggunaan berasaskan halalan toyyiban adalah prinsip al-Quran (surah al-Baqarah: 168, al-Ma’idah: 88, al-Anfal: 69 dan an-Nahl: 114).

Menurut Abu Ja’far dalam tafsir At-Thobari, makna halalan toyyiban adalah lebih umum (tidak terhad kepada makanan semata-mata), secara mutlak (meliputi seluruh kepenggunaan) dan (apa-apa barang) yang bebas daripada nas pengharaman.

Asas ini memperluaskan prinsip halalan toyyiban kepada bukan sekadar makanan, tetapi meliputi seluruh kepenggunaan produk dan perkhidmatan dalam muamalah Islami.

Oleh itu, mujtahid merumuskan kaedah fiqh ‘al-aslu fi al-asyia’ al-ibahah’ yang bermaksud: “hukum asal bagi setiap sesuatu (muamalat) adalah harus”, kecuali apabila terdapat nas yang mengharamkannya.

Maqasidnya pasti untuk membawa maslahah (kebaikan) dan mengelak mafsadah (keburukan) kepada manusia.

Populasi masyarakat Muslim dunia yang makin meningkat adalah sasaran utama, di samping wujud kecenderungan dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Tidak hairanlah The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT) antara negara di Asia yang mempunyai minoriti Muslim menyediakan infrastruktur dan mekanisme persijilan halal yang meyakinkan.


The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT) antara negara di Asia yang mempunyai minoriti Muslim menyediakan infrastruktur dan mekanisme persijilan halal yang meyakinkan.

Pusat Sains Halal, Universiti Chulalongkorn antara institusi penyelidikan halal yang makin ke hadapan dengan penyelidikan dan kerjasama strategik mereka.

Meninjau Belt and Road Forum (BRF) di China baru-baru ini yang dihadiri lebih 5,000 perwakilan daripada 150 negara, perancangan strategik mengetengahkan konsep, produk dan perkhidmatan berasaskan ekonomi halal mampu membuka jalan dagang laut, darat dan maya di arena antarabangsa.

Malaysia mengatasi negara Islam lain melalui persijilan halal, produk kewangan dan perbankan Islam di persada antarabangsa.

Terbaru usaha mengungguli produk kesihatan, farmasi, kecantikan, pelancongan serta seni dan industri busana patuh Syariah. Syarikat dari Indonesia umpamanya mengorak langkah mengungguli produk kosmetik patuh syariah menembusi pasaran Eropah.

Persaingan ini mencabar Malaysia agar menjuarai ekonomi halal secara menyeluruh dengan agenda yang lebih terancang.

Bagi mengukuhkan strategik negara dalam bidang ini, Maybank Islamic Bhd menjangkakan ekonomi halal meningkat kepada AS$6.4 trilion (RM26.32 trilion) berdasarkan unjuran pembiayaan ekonomi halal negara Teluk-Asia dengan penubuhan cawangan luar negara mereka berpusat di Dubai.

Perbankan dan kewangan Islam sendiri menjadi bukti tarikan pemain industri dan pelabur bukan Islam dalam ekonomi halal di seluruh dunia.

Perkara utama yang perlu diusahakan ialah satu dasar ekonomi halal yang jelas merangkumi hala tuju, piawaian, sasaran strategik berkala, hak cipta dan perundangan.

Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) perlu dilihat sebagai peluang pemasaran, jaringan maya, gerbang pemantauan, semakan status dan aplikasi lebih cekap dan berkesan. Penyelidikan dan inovasi alat dan teknik pemeriksaan piawaian juga satu aspek penting yang perlu diberi perhatian.

Inisiatif berkaitan pernah dirangsang kerajaan Arab Saudi dengan pengiktirafan global terhadap inovasi ‘Portable Electronic Nose’ pada 2018 atas penciptaan alat mengenal pasti lemak terlarang.

Tidak dinafikan, piawaian pematuhan perlu diperkemas terutama yang membabitkan kebenaran penawaran produk dan perkhidmatan ekonomi halal kepada bukan Islam.

Jika kita tinjau, sekitar awal tahun ini, terdapat rangkaian restoran dan produk yang berselindung di sebalik nama Islam, menyalahgunakan tanda dan persijilan halal. Itulah risikonya apabila kepatuhan prinsip kepenggunaan halalan toyyiban bukan atas dasar keimanan, tetapi orientasi komersial semata-mata.

Jika aspek keimanan dipermudahkan atau tidak dilindungi, kita bimbang ada pihak mengambil kesempatan dan menyalahgunakan sijil atau halal.

Halalan toyyiban adalah harta intelek dan tanda dagang kepunyaan umat yang mengimani al-Quran. Dasar perlu ditetapkan dengan mensyaratkan pegangan ekuiti Muslim dalam syarikat berkenaan atau paling kurang pelantikan Perunding Syariah.

Peluang inovasi produk dan perkhidmatan kategori ekonomi halal boleh diperkemaskan dengan pendaftaran berpusat bertanda dagang (H) untuk halal atau HT (untuk halalan toyyiban) (seperti tanda ® atau ™ pada jenama atau syarikat berkaitan).

Dengan mengambil kira semua ini, Malaysia mampu memainkan peranan membangunkan ekonomi negara dan ummah serta menerapkan roh muamalat Islami dalam menerajui pasaran halal yang teras, telus dan lengkap.

144 dibaca
Berita Harian X