Ahad, 7 Julai 2019 | 10:25am
MENARA Felda Global Ventures (FGV).

Merungkai pembelotan dalam skandal FELDA

FELDA sebagai agensi induk kepada peneroka mencapai kejayaan besar dari segi keuntungan dan nilai harta berbilion sehingga Felda Global Ventures (FGV) memecah amanah dengan menyalurkan keuntungan ke kocek beberapa ahli politik dan anggota pengurusannya.

Pada 2012, FELDA mencatat keuntungan RM5 bilion, namun menjelang 2017 yang tinggal adalah kerugian bersih RM4.9 bilion. Hanya dalam waktu singkat, keuntungan bertukar kerugian besar.

Hakikatnya FGV bukan entiti swasta sepenuhnya. Modalnya bersandar kepada peneroka (melalui Koperasi Peneroka FELDA atau KPF) dan Perjanjian Pajakan Tanah antara FELDA dan FGV. Tanah FELDA adalah milik awam dan peneroka adalah peneroka FELDA.

Lantaran itu, kepentingan kesejahteraan mereka perlu dipelihara seperti termaktub dalam kontrak antara FELDA dan peneroka (sama ada FGV wujud atau tidak) Bererti FGV - sama ada entiti lama atau baharu - bertanggungjawab kepada awam, peneroka selain pemegang sahamnya.

Namun seperti terbukti FGV berpaling arah daripada fungsi sosial mereka. Syarikat itu ‘menggondol’ berbilion ringgit daripada beberapa pelaburan dan perniagaan bertujuan mengkayakan individu politik dan anggota pengurusan tertentu, bukan peneroka atau FELDA.

Bagaimana dan kenapa rasuah besar-besaran ini berlaku boleh dijejak dan diterangkan dengan bukti serta akan diadili undang-undang. Namun yang menyerlah dan menyedihkan daripada episod pecah amanah ini adalah peminggiran kepentingan peneroka di sebalik berbilion nilai pelaburan dilaksanakan.

Episod ini mengundang semula beberapa persoalan. Pertama, apakah sebenarnya matlamat anak syarikat FELDA ini, selain mencari keuntungan untuk FELDA dan membantu peneroka. Membantu peneroka sampai rugi?

Kedua, apa berlaku dengan matlamat ke arah kesejahteraan peneroka? Jika sudah rugi, apa habuan yang tinggal untuk peneroka, terutama yang membeli saham FGV dan kini berhutang lagi dengan syarikat itu?

Ketika FELDA meraih keuntungan tinggi berbilion ringgit, purata pendapatan peneroka sekitar RM3,000 sebulan dengan tanah 10 ekar (4 hektar), iaitu di pinggir garisan pendapatan golongan B40 (berpendapatan 40 peratus terendah).

Selepas sekian besar keuntungan FELDA dipoketkan beberapa individu, apakah harapan menanti peneroka selepas ini terutama untuk generasi FELDA akan datang?

Penurunan harga minyak sawit, baru-baru ini membuktikan ketidakmampuan peneroka menangani masalah harga rendah, walaupun selepas lima dekad berladang sawit dan FELDA mewah dengan keuntungan.

Walaupun FELDA dan anak syarikatnya menikmati keuntungan besar melalui perniagaan sawit dan bukan sawit (seperti sajian, hartanah, kaviar, hotel), peneroka masih pada takuk lama, iaitu sebagai pengeluar primer (buah tandan bersih), peluang mobiliti menegak (menceburi sektor perkilangan dan pemprosesan) dan mendatar (meluaskan kebun) agak terbatas kerana lebihan pulangan kecil dan halangan kemasukan atau barriers to entry pula tinggi.

Agihan keuntungan sepanjang rantaian bekalan tidak setara, apabila keuntungan tinggi dinikmati pemain sektor hiliran (pengilang, pemproses dan peniaga), tetapi tiada peneroka sampai ke situ.

Walaupun peneroka menganggotai KPF dan menerima dividen, ia tidak cukup untuk membawa perubahan kepada hidup mereka.

KPF diurus pegawai FELDA dan pembabitan peneroka terbatas sebagai pengguna khidmat kilang dan menerima dividen pada akhir tahun. Dalam kata ringkas, ia tidak menepati prinsip koperasi tulen yang memerlukan tiga prinsip utama ditegakkan, iaitu ‘pengguna-pemilik’, ‘pengguna-mengawal’ dan ‘pengguna-menerima faedah’.

Dalam kes KPF, nyata peneroka tidak memiliki kawalan ke atas koperasi kerana ditadbir FELDA. Maka tidak menghairankan jika mereka tidak memiliki kemahiran keusahawanan, lantas tidak mampu menerajui koperasi.

Peneroka diberi bonus hari raya setiap tahun daripada keuntungan FELDA. Bonus ini adalah pindahan pendapatan untuk penggunaan semasa dan tidak mencukupi untuk membina kapasiti atau meningkatkan modal ladang. Walaupun peneroka menerima bonus selama 15 tahun, nasib mereka masih tidak banyak berganjak.

Jelas laluan FELDA dan peneroka tidak bertembung dan keuntungan besar anak syarikat, gagal memperbaiki kesejahteraan peneroka, tetapi disalurkan kepada sekumpulan individu. Bagaimana pembelotan ini perlu dirungkai dan kembali ke pangkal jalan?

Jelas sekali apabila FELDA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sekitar 2003, ia memudahkan ahli politik menceburi hal ehwal kewangan FELDA. Lantas berputik budaya penyalahgunaan wang agensi itu.

Tan Sri Isa Samad dilantik sebagai Pengerusi FELDA dan juga pengerusi kepada tiga anak syarikat strategik, iaitu FGV, FELDA Investment Corporation (FIC) dan FIC Properties. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, struktur sebegini memudahkan manipulasi kerana tiada pemisahan antara eksekutif dan pelaksana.

Ini adalah pengajaran utama untuk masa hadapan supaya struktur sebegini tidak diulang. Hak perubahan struktur ini perlu diberikan keutamaan. Prosedur operasi standard (SOP) tadbir urus tertulis jelas dalam buku teks dan tidak perlu diulangi di sini.

Pembelotan ini boleh dirungkaikan dan kembali ke jalan asal dengan merujuk matlamat asal FELDA, iaitu untuk membina kesejahteraan peneroka supaya mereka boleh mencartakan nasib sendiri tanpa bantuan FELDA.

Selama mana FELDA dan kerajaan harus membantu peneroka? Sejauh mana keuntungan besar anak syarikat dikumpulkan untuk faedah korporat, sedangkan hidup peneroka tidak berubah, mengalami pelbagai masalah pengeluaran dan anak mereka enggan meneruskan usaha perladangan?

Dicadangkan beberapa strategi utama di sini. Yang paling efektif dan terbukti adalah menggalakkan peneroka menerokai kegiatan hiliran dan agribisnes (seperti benih, baja, input) untuk meningkatkan pendapatan dan menarik generasi baharu menceburi bidang ini.

Untuk ini model terbaik adalah koperasi generasi baharu yang dipanggil ‘koperasi berintegasi ke hadapan (dan ke belakang)’ yang diusahakan peneroka dan untuk peneroka, berdasarkan prinsip koperasi tulen yang dibincangkan sebelum ini.

Koperasi tidak lagi ditadbir lantikan politik atau pegawai FELDA. Untuk tujuan ini, ia memerlukan pengembangan dan latihan teknikal, perniagaan dan keusahawanan untuk membina kapasiti peneroka. Pelaburan besar diperlukan untuk pembangunan kapasiti bagi membolehkan mereka menceburi kegiatan rantaian bekalan hiliran.

FELDA perlu juga melabur dalam pembangunan dan penyelidikan (R&D) aspek pembangunan koperasi serta isu sosioekonomi seperti kesejahteraan ekonomi dan sosial peneroka, kepelbagaian di ladang, persijilan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta ‘Internet of Things’ atau IoT (termasuk teknologi blockchain) untuk ladang kecil, mekanisasi dan automasi untuk ladang kecil kerana Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Industri Utama lebih banyak memfokus kepada sektor estet.

Usaha pembangunan lain masih banyak menanti seperti infrastruktur, perladangan yang lebih hijau dan lestari, pembangunan bahan kelapa sawit untuk menjana baja atau tanaman fid dan yang berkaitan serta pembangunan sosial peneroka.

Yang pasti berbilion keuntungan pelaburan anak syarikat FELDA di luar negara tidak akan dapat mengubah hidup peneroka, tetapi pelaburan membina kapasiti akan dapat melahirkan peneroka yang berdikari, lestari dan progresif.

Penulis adalah Felo Penyelidikan Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X