Rabu, 29 Mei 2019 | 10:00am

Akses, inklusiviti penuhi matlamat pendidikan tinggi

Petunjuk kesejahteraan warga dunia pada masa akan datang banyak ditentukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai 17 matlamat secara keseluruhannya.

Menjelang 2030, semua negara di dunia diharap dapat memenuhi semua 17 matlamat SDG demi kesejahteraan sejagat. Salah satu yang menjadi tumpuan adalah matlamat keempat - pendidikan berkualiti. Matlamat ini bertujuan memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua dijayakan.

Ia berasaskan tiga prinsip utama iaitu akses, inklusif dan kualiti, meliputi peringkat awal kanak-kanak sehingga peringkat tertiari serta pendidikan sepanjang hayat. Pendidikan antara sektor paling kritikal bagi Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan sejahtera.

Wawasan pendidikan tinggi negara sejak dahulu lagi sentiasa mendukung faktor akses, inklusif dan kualiti yang bermatlamat menjana bakat dan potensi insan berpengetahuan serta berkemahiran tinggi, sekali gus menjadi pemacu kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia.

Akses kepada pendidikan tinggi sentiasa dipertingkat dengan menambah jumlah kemasukan pelajar ke universiti dan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam khususnya dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, untuk sesi akademik 2018/2019 pengambilan Jun, 182,409 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan program prauniversiti, sijil dan diploma di universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) di seluruh negara. Jumlah ini meningkat 33,409 tempat atau 22 peratus berbanding 149,000 yang ditawarkan tahun lalu.

Jika dijumlah keseluruhan kemasukan pendidikan tinggi di IPT awam dan swasta, dianggarkan 1.3 juta pelajar sedang menyambung pengajian di negara ini. Akses kepada pendidikan tinggi turut dibantu pembiayaan pinjaman pendidikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selain biasiswa dan dermasiswa disediakan pelbagai pihak.

Tiada halangan anak

muda nikmati pendidikan

Soal inklusiviti dalam pendidikan tinggi sangat diberikan penekanan agar tidak ada anak muda terhalang daripada menikmati pendidikan kerana kesempitan hidup dan kekurangan diri. Empat laluan khas disediakan untuk pelajar dalam kategori keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40), orang kurang upaya (OKU), Orang Asli dan atlet.

Berdasarkan maklumat pencapaian setahun Kementerian Pendidikan (KPM), dilaporkan 23,895 tempat laluan khas ke universiti awam disediakan bagi sesi pengajian 2018/2019.

Dalam konteks Universiti Putra Malaysia (UPM), seramai 30 pelajar OKU melanjutkan pengajian sama ada pada peringkat ijazah, sarjana dan kedoktoran. Dijangkakan bilangan pelajar ini meningkat bagi sesi pengajian 2019/2020 yang akan bermula September ini.

Selari SDG, UPM akan terus komited mempertingkat semua prasarana dan kemudahan bagi keperluan pelajar OKU. Pada masa sama, universiti akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan usaha murni ini terlaksana.

Ekuiti atau kesaksamaan dalam pendidikan sangat kritikal bagi sebuah negara yang sedang membangun dan mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Dalam isu panas mengenai matrikulasi baru-baru ini, UPM bersama UA lain menyokong kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkaitan sistem kuota Program Matrikulasi KPM, sebagai menyokong kontrak sosial yang dipersetujui oleh pembina negara bangsa sejak merdeka.

Penambahan bilangan pelajar untuk program matrikulasi juga akan membantu meningkatkan peluang pelajar cemerlang sebagai persediaan kemasukan ke peringkat universiti. Perlu diingatkan, program matrikulasi bukanlah memberi ruang kepada pelajar Bumiputera kurang kompeten, kerana pemilihan kemasukan juga berdasarkan merit pencapaian sewaktu di peringkat SPM.

Pemilihan calon ke universiti daripada lulusan Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi dan Diploma juga dibuat berdasarkan merit pencapaian dalam peperiksaan peringkat masing masing, mengikut standard kesetaraan ditetapkan Unit Pusat Universiti (UPU) di KPM.

Untuk sesi pengambilan akademik 2018/2019, 1,346 pelajar lepasan matrikulasi sudah mendaftar pengajian di UPM bersama lepasan asasi dan STPM. Jumlah ini bersamaan kira-kira 37 peratus daripada 3,633 keseluruhan pelajar yang mendaftar di UPM.

Menurut SDG, matlamat pendidikan berkualiti hanya boleh dicapai apabila soal akses dan inklusiviti atau keterangkuman dilaksanakan. Sehubungan itu, Malaysia sentiasa meletakkan soal akses dan inklusiviti sebagai fokus utama dalam pendidikan tinggi, yang bukan sahaja bertujuan memenuhi matlamat pertumbuhan ekonomi, tetapi kesejahteraan sejagat.

Kita perlu mempertahan dasar dan pendekatan ini jika mahu terus maju secara adil dan saksama.

104 dibaca
Berita Harian X