Isnin, 13 Mei 2019 | 11:00am

Pantau pertanian Cameron Highlands

Sering sekali kita dengar isu berkaitan Cameron Highlands seperti penerokaan haram, pencerobohan tanah, monopoli pekerja asing serta pelbagai masalah alam sekitar. Kini isu tanah di sekitar kawasan pelancongan itu berisiko menjadi ‘tanah mati’ pula timbul.

Masalah membelenggu kawasan pelancongan tanah tinggi itu perlu diberi perhatian serius, khususnya demi memastikan kelangsungan sektor pertanian. Dalam hal ini, kita percaya kawalan ketat harus diambil supaya pengeluaran sayur-sayuran yang menjadi industri penting Cameron Highlands tidak lenyap.

Bagi kerajaan Pahang selaku tuan punya tanah, perlu ada pemantauan ke atas pembukaan tanah yang berleluasa di situ, supaya sektor ekopelancongan tidak terjejas. Sebarang tindakan atau amalan berisiko menjejaskan sektor pertanian tidak boleh dikompromi, mengambil kira Cameron Highlands sebagai pembekal utama sayur-sayuran tempatan, selain eksport.

Mungkin kerajaan negeri boleh duduk semeja dengan kementerian bertanggungjawab cari jalan, termasuk merangka prosedur arahan standard (SOP) bersesuaian bagi penanaman sayur di Cameron Highlands lebih mesra alam. Kita khuatir jika kualiti tanah tidak dijaga, soal kualiti serta produktiviti mungkin akan terjejas.


Penggunaan Struktur Pelindung Hujan (SPH) yang meluas di kawasan tanaman antara punca utama tanah di situ cenderung menjadi ‘miskin’ dan mati. Sebahagian besar iaitu dianggarkan 70 peratus pengusaha ladang bunga di Cameron Highlands menggunakan SPH. - Foto Aizuddin Saad

Giliran PBT kekang rasuah

Bidang penguatkuasaan sering terdedah risiko rasuah, lebih-lebih lagi jika agensi itu terbabit secara langsung dengan urusan berkaitan lesen, kontrak dan tender seperti pihak berkuasa tempatan (PBT). Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut tidak terlepas, malah risiko dihadapi PBT itu lebih besar mengambil kira nilai tender, lesen serta kontrak diuruskan.

Dalam hal ini kita puji langkah DBKL untuk mengehadkan penempatan kakitangannya tidak lebih tiga tahun di sesuatu bahagian perkhidmatan. Ia langkah proaktif untuk menutup sebarang ruang lompang dalam agensi itu, yang memungkinkan untuk berlaku amalan rasuah dalam kalangan warganya.

Inisiatif ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan khususnya dalam kalangan penguat kuasa di sempadan untuk mengekang amalan rasuah. Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai contoh melakukan pusingan tempoh perkhidmatan tiga bulan sekali.

Mengambil kira kes rasuah membabitkan warga PBT, rasanya sudah sampai masanya agensi itu mengambil langkah sama. Bayangkan kapasiti tender, lesen serta kontrak bernilai tinggi diuruskan, tidak mustahil peluang rasuah luas terhidang bagi pegawai dan kakitangan yang tidak amanah.

216 dibaca
Berita Harian X