Rabu, 8 Mei 2019 | 11:00am

Universiti awam perlu juga cari jalan

Sistem matrikulasi diwujudkan bagi membantu pelajar Melayu memasuki universiti awam (UA). Ini kerana ramai tidak mahu melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk ke universiti. Tetapi sekarang lebih ramai bangsa lain juga mahu menggunakan pintu belakang ini untuk masuk UA. Bagi kita, kerajaan cuba berlaku adil apabila membuka lebih banyak peluang kepada semua kaum untuk mengikuti matrikulasi.

Namun, persoalannya timbul apabila sudah ramai yang ambil matrikulasi, apakah peluang kemasukan ke UA, akan lebih terbatas berikutan semakin ramai yang mengikuti matrikulasi. Daripada matrikulasi ke UA bukan automatik dan calon matrikulasi harus bersaing sesama sendiri untuk merebut peluang terhad ke UA. Sudah semestinya masing-masing akan bertungkus-lumus untuk mencapai kelulusan terbaik. Namun berikutan tempat di UA terhad, lebih ramai yang akan kecewa kelak jika tidak ditawarkan tempat.

Pihak UA harus sama-sama mencari jalan untuk menempatkan juga lulusan matrikulasi ini. Jika perlu, bajet tambahan perlu diminta daripada Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan peluang tambahan kepada lulusan matrikulasi ini yang sudah semestinya bertambah ekoran keputusan kementerian untuk menambah tempat matrikulasi.

Jangan biar ‘kanser 1MDB’ lain muncul

Kerajaan seperti kata Lim Guan Eng kelmarin, akan memastikan tiada peluang bagi ‘1MDB lain’ untuk muncul dan menimbulkan masalah kepada negara, sama ada oleh kepemimpinan semasa atau mana-mana kepemimpinan akan datang, yang terbabit rasuah ketika berkuasa.

1MDB wujud kerana kerakusan mereka yang berkuasa pada masa lalu. Bayangkan perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat 1MDB adalah orang yang sama. Sudah semestinya ia mewujudkan keadaan yang memudahkan penyalahgunaan kuasa.

Bagi mengelak daripada perkara ini berlaku lagi, harus dirangka undang-undang yang membataskan kuasa seseorang perdana menteri dan menteri kewangan. Memang kerajaan Pakatan Harapan sudah menunaikan janji agar Perdana Menteri tidak lagi memegang apa-apa portfolio termasuk menteri kewangan.

Namun, amalan ini seharusnya dijadikan undang-undang agar pada masa depan tidak ada Perdana Menteri yang cuba kembali kepada amalan lama. Bagi kita 1MDB adalah bagaikan kanser atau barah yang boleh membunuh seluruh sistem badan atau boleh merosakkan sesebuah kerajaan.

1431 dibaca
Berita Harian X