Khamis, 2 Mei 2019 | 12:16pm

Kaji pasaran sebelum bina rumah

Laporan terkini Pasaran Harta Tanah Malaysia yang menyebut sejumlah 32,313 rumah siap dibina gagal dijual adalah satu angka yang cukup tinggi. Jika dicampur dengan rumah yang masih dalam pembinaan, secara keseluruhan sebanyak 113,297 rumah yang ada di pasaran masih tiada pembeli.

Mungkin kesilapan perlu diletakkan kepada pemaju kerana gagal membuat kajian pasaran mengakibatkan berlakunya lambakan sebegini walaupun di luar sana ramai keluarga yang masih belum memiliki kediaman sendiri. Sepatutnya, faktor kesesuaian lokasi dengan jenis, harga serta kemampuan bakal pembeli perlu dikaji secara mendalam sebelum memajukan sesuatu projek kerana itulah yang akan menentukan sama ada rumah yang dimajukan boleh dijual atau tidak.

Namun, kebelakangan ini, kelihatannya banyak pemaju seolah-olah berlumba-lumba memajukan projek perumahan mewah berharga tinggi yang di luar kemampuan majoriti bakal pembeli. Jika ada pun yang berharga mampu milik, ia jauh dari kawasan bandar dan tanpa kemudahan sistem pengangkutan awam.

Isu ini perlu ada penyelesaiannya sebelum ia memberikan kesan buruk kepada negara. Pertamanya jika masalah rumah tidak dijual ini berlarutan, ia akan memberi masalah kewangan kepada pemaju, dan kerana majoritinya memajukan projek menggunakan pinjaman, ia akan memberikan kesan kepada sektor perbankan. Masalah ini juga akan menjejaskan pertumbuhan sektor hartanah, sekali gus melambatkan lagi hasrat kerajaan mahu melihat setiap keluarga memiliki rumah sendiri.


GAMBAR fail, pengunjung yang hadir melawat tapak pameran Hartanah MyRumah dari Umland anjuran The New Starits Times Press (M) Bhd di Balai Berita, Bangsar. - Foto Ghazali Kori

Kembalikan kepercayaan rakyat

Hasrat kerajaan membanteras rasuah dan memastikan negara bebas daripada amalan ini seharusnya mendapat sokongan kuat daripada pegawai dan kakitangan kerajaan memandangkan mereka adalah tulang belakang pentadbiran.

Semua sedia maklum, tugas dan peranan secara langsung dimainkan penjawat awam dalam melaksanakan keputusan dan perolehan kerajaan menjadikan mereka sasaran pemberi rasuah dan sukar terlepas diri daripada gejala tidak sihat ini.

Namun, jika seluruh kakitangan awam memberikan komitmen menyeluruh terhadap usaha ini, amalan makan suap ini bukan sahaja dapat dibanteras tetapi juga menjadikan mereka lebih bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan cemerlang, sekali gus mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara.

Rakyat lebih mudah menyalahkan pemimpin tertinggi dalam pemerintahan negara sedangkan tanpa disedari kelemahan pentadbiran sebenarnya berpunca pada peringkat pelaksanaan yang peranannya digalas penjawat awam sendiri.

Bersempena Hari Pekerja 2019, kita harap semua pekerja tanpa mengira pangkat, baik dalam sektor awam mahupun swasta masing-masing memasang tekad untuk membenci rasuah, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara dihormati dunia.

125 dibaca
Berita Harian X