Isnin, 29 April 2019 | 11:00am

Bantu sungai kita kembali bernafas

Selepas digemparkan dengan pencemaran Sungai Kim Kim di Johor, seharusnya semua pihak mula sedar dan celik tentang soal penjagaan alam sekitar. BH semalam melaporkan pula nasib lebih 20 sungai yang kini mengalami pencemaran kelas tiga dan berisiko menjadi 'sungai mati' jika gagal dipulihkan.

Apa sudah jadi dengan orang kita. Tidak cukupkah kejadian di Johor itu atau perlu ada lagi insiden seperti yang melanda Sungai Kim Kim untuk membuka mata semua. Kita percaya nasib sungai yang dilabel tercemar ini harus dibela.

Satu perkara dilihat di negara ini, banyak kedai makan atau premis industri terletak berhampiran sungai. Realitinya pelbagai sisa dari premis berkenaan disalurkan terus ke sungai. Konsep ini harus diperbetul kerana sungai bukanlah lokasi pelupusan sisa, baik domestik atau industri.

Kita percaya pihak berwajib perlu cari jalan, mungkin pertimbang mewajibkan setiap premis khususnya kedai makan menggunakan penapis pada saluran air atau sisa ke sungai. Motifnya agar sisa seperti minyak, perut ayam dan lebihan makanan tidak terus dilupus ke sungai.

Selain itu boleh juga belajar daripada Jepun bagaimana mereka jaga sungai di negara itu, agar sungai kita dapat 'bernafas' semula demi generasi akan datang.


Keadaan Sungai Kim Kim yang telah dibersihkan selepas berlaku pencemaran sisa bahan toksik baru-baru ini berhampirang Kampung Bukit Pulai, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Sudah-sudahlah bermain politik

Perkembangan politik di Johor menarik tumpuan ramai, khususnya berkaitan beberapa isu yang timbul yang diibaratkan tidak berkesudahan. Selepas isu membelenggu jawatan Menteri Besar, kini soal pelantikan EXCO kerajaan negeri pula mencuri tumpuan.

Sudah-sudahlah berpolitik. Rasanya penjelasan diberikan Pegawai Khas Tugas-Tugas Khas Menteri Dalam Negeri mengenai realiti di sebalik rombakan EXCO Johor, sudah cukup terperinci untuk diteliti dan dihadam.

Kita percaya rakyat Johor tidak mahu melihat kalangan pemimpin bertikam lidah atau bercakaran, sehingga tumpuan kepada pembangunan negeri dan membela nasib rakyat terabai.

Harap-harap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cucuk-mencucuk untuk cetuskan ketegangan dalam pentadbiran di Johor, demi kepentingan peribadi. Pelantikan Menteri Besar dan barisan EXCO sudah selesai, jadi berilah peluang kepada mereka bekerja dan buktikan kemampuan memikul tanggungjawab diberi.

162 dibaca
Berita Harian X