Ahad, 28 April 2019 | 11:00am
Dr Sahruddin bersama barisan EXCO Johor yang dilantik mengikut budi bicara Menteri Besar. - Foto Hairul Anuar Rahim

Realiti peranan Muhyiddin isu rombakan EXCO Johor

Beberapa pihak melemparkan tuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung isu rombakan barisan EXCO kerajaan Johor.

Kononnya Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri membuat pusingan-U pada saat akhir dengan melakukan rombakan barisan EXCO yang bercanggah dengan keputusan Kabinet, supaya tiada rombakan dibuat.

Ramai ahli BERSATU menghubungi saya bertanyakan kedudukan sebenar perkara ini. Walaupun berat hati untuk membuat penjelasan kerana ia hal dalaman parti, disebabkan fitnah terhadap Muhyiddin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab berleluasa, terutama dalam kalangan ahli parti, saya berasa bertanggungjawab menyatakan perkara sebenar.

Pertama, rombakan barisan EXCO Johor tidak dibuat Muhyiddin. Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berjumpa Muhyiddin pada 20 April lalu untuk mendapatkan nasihat beliau mengenai pembentukan EXCO kerajaan negeri yang baharu.

Saya berada bersama dalam pertemuan itu, yang mana Muhyiddin memberikan nasihat secara umum bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Menteri Besar berhak menasihati Tuanku Sultan mengenai pembentukan barisan EXCO kerajaan negeri.

Menteri Besar memberitahu Muhyiddin bahawa beliau mahukan satu pasukan EXCO yang beliau percaya boleh bekerjasama dengannya dalam mengurus pentadbiran kerajaan negeri. Ini selaras kenyataan Menteri Besar sendiri yang dilaporkan media.

Terserah budi bicara Menteri Besar Johor

Oleh kerana Menteri Besar mempunyai kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor untuk menyembah maklum nama barisan EXCO yang akan dilantik, maka Muhyiddin menyerahkan perkara ini kepada budi bicara Menteri Besar.

Kedua, Muhyiddin berada di luar negara ketika Kabinet membuat keputusan bahawa barisan EXCO Johor tidak boleh dirombak. Keputusan ini tidak dimaklumkan kepada beliau.

Muhyiddin hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan Ahli Parlimen Muar yang juga Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada petang Isnin 22 April, iaitu beberapa jam sebelum Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU diadakan.

Saya percaya jika Muhyiddin mengetahui keputusan ini dari awal, beliau sudah pasti menasihati Menteri Besar supaya mematuhi keputusan berkenaan.

Ketiga, ada pihak yang mendakwa Muhyiddin menghadap Tuanku Sultan Johor pada 21 April semata-mata untuk menyembah maklum senarai nama EXCO kerajaan Johor kepada Tuanku Sultan.

Saya sudah jelaskan dalam tulisan sebelum isu rombakan barisan EXCO kerajaan Johor timbul, bahawa Muhyiddin memohon perkenan Tuanku Sultan untuk menghadap kerana tidak berkesempatan berbuat begitu untuk menyembah maklum nama Menteri Besar Johor, kerana berada di luar negara ketika itu.

Ia tiada kaitan sama sekali dengan rombakan EXCO kerajaan Johor.

Sebagai bekas Menteri Besar, Muhyiddin amat maklum bahawa bukan kuasa beliau untuk menasihati Tuanku Sultan mengenai pembentukan barisan EXCO negeri. Itu adalah kuasa Menteri Besar.

Saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai tulisan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tamrin Abdul Ghafar, bertajuk ‘Jika Tak Nak Bantu Jangan Jadi Hantu’.

Tulisan ini menyentuh tentang sejarah awal penubuhan BERSATU yang menggambarkan Muhyiddin sebagai seorang yang tamak kuasa dan ingin menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad, daripada menjadi Perdana Menteri.

Saya tidak ingat bila masa Tamrin berada dalam BERSATU. Mungkin kerana dia tidak berada dalam BERSATU, dia tidak tahu sejarah sebenar.

Saya masih ingat pada peringkat awal ketika beberapa pimpinan parti anggota Pakatan Harapan (PH) mula hendak menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, BERSATU masih belum membuat apa-apa pendirian rasmi mengenainya.

Ada beberapa ahli MPT BERSATU datang menemui saya bertanyakan pendirian Muhyiddin mengenainya. Mereka berasakan Muhyiddin juga layak.

Muhyiddin tegas pilih Dr Mahathir calon PM

Namun Muhyiddin tegas menyatakan tiada orang lebih layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri selain Dr Mahathir. Malah, Muhyiddin orang pertama membuka mulut dalam Mesyuarat MPT BERSATU mengesyorkan agar parti itu secara rasmi menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Yang selebihnya adalah sejarah.

Malah, di ambang pembentukan Kerajaan PH selepas 9 Mei 2018, seorang individu berpengaruh menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin. Tawaran ini ditolak kerana rasa hormat beliau kepada Dr Mahathir, selain janji termeterai untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tamrin tidak tahu sejarah ini kerana dia tidak berada dalam BERSATU.

Akhir kalam, kepada mereka yang gemar membuat cerita rekaan dan menabur fitnah, hentikanlah perbuatan terkutuk ini. Ingat, beban yang anda tanggung di Padang Mahsyar nanti amatlah berat.

Bagi saya, sudah-sudahlah membuang masa bermain politik. Berilah ruang kepada pimpinan parti untuk menumpukan kerja membela rakyat, kerana itulah sebab sebenar rakyat memilih PH sebagai kerajaan.

Penulis adalah Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri

3374 dibaca
Berita Harian X