Ahad, 28 April 2019 | 11:00am

Jangan sekadar penjenamaan semula

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik umumkan kementeriannya sedia merombak, malah menukar nama program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mengubah tanggapan bidang itu hanyalah pilihan kedua.

Belalang tak faham kenapa isu membelenggu TVET masih gagal diselesaikan sedangkan ia bukan program baharu. Seawal 1964 lagi, sudah ada institusi TVET awam, namun ada saja isu sehingga menjejaskan keyakinan masyarakat terhadapnya.

Sebab itu, tekad Maszlee wajar disokong dan diharap apa juga langkah diambil dapat bawa kebaikan. Apapun Belalang nak pesan, kalau nak buat transformasi, buat betul-betul, jangan sekadar program lama dijenamakan semula.


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. - Foto BERNAMA

Nasib malang bekas banduan

Nasib bekas banduan dipinggirkan berisiko mengembalikan mereka kepada hidup lama, sebagai penagih atau penjenayah. Ini perlu dipandang serius.

Bayangkan belanja besar dikeluarkan untuk pulihkan mereka di penjara, malah latihan kemahiran juga diberikan sebagai bekalan. Soalnya berapa ramai dapat memanfaatkannya.

Belalang harap kerajaan mungkin boleh pertimbang wujudkan pusat peralihan untuk membolehkan bekas banduan menyesuaikan diri dengan masyarakat selepas dibebaskan.

Projek ‘Riben Kuning’ Kementerian Belia dan Sukan juga mungkin boleh diperluaskan.

Nikah sempadan hanya menyusahkan

Acap kali pihak berkuasa khususnya majlis agama Islam negeri didesak mencari jalan tuntas membendung isu pernikahan di luar negara.

Bagi Belalang nasihat Mufti Perlis agar pihak berkuasa negeri mempermudahkan urusan itu perlu diteliti.

Banyak bukti terhidang mengenai kesan pernikahan di negara jiran, khususnya apabila tidak didaftarkan semula.

Ada anak hasil pernikahan tidak dapat didaftar kelahiran, sehingga sukar bersekolah.

Soal nafkah dan harta pusaka turut terganggu.

Kalau boleh jangan kerana prosedur rumit, rakyat kita kahwin lari di negara jiran.

1198 dibaca
Berita Harian X