Sabtu, 27 April 2019 | 11:00am

Ketelusan kerajaan tarik pelaburan AS, China

Dalam pada kita disajikan dengan peluang pelaburan positif antara Malaysia dengan China, komuniti pelabur Amerika Syarikat (AS) pula menyuarakan keyakinan terhadap potensi sama di negara ini. Satu perkembangan cukup baik apabila China dan AS masing-masing bercadang menambah pembabitan mereka dalam sektor ekonomi Malaysia.

Menilai potensi komitmen China dan AS, satu kesamaan dapat dilihat pada daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, iaitu dari segi ketelusan dipamerkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Seperti dinyatakan Presiden Dewan Perniagaan AS (Amcham), Ramzy Toubassy, Malaysia sentiasa dikenali sebagai negara mesra pelabur dan keterbukaan serta ketelusan kerajaan masa kini menambah keyakinan pihaknya untuk terus melabur.

Menjadi keutamaan bagi pelabur untuk menjamin pelaburan mereka tidak dikejutkan sebarang perubahan dasar atau peraturan secara mendadak. Bagi mereka persekitaran stabil dan boleh dijangka memberi kelebihan cukup besar.

Persekitaran sebegini tidak wujud ketika era pentadbiran kerajaan sebelum ini, apabila banyak keputusan dibuat tanpa menyantuni pemegang taruh. Kita percaya dasar mesra pelabur dan aspek ketelusan yang dibawa Kerajaan PH hari ini, mampu meletakkan Malaysia dalam radar cukup positif sebagai destinasi sasaran utama pelaburan global.

Tangani tabiat perokok perlu serius

Langkah Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di kedai makan dan restoran selama enam bulan lagi, mengundang kekeliruan. Ia memberi cerminan seolah-olah kerajaan tidak serius membendung isu merokok di lokasi tumpuan awam disenaraikan.

Kita percaya Kementerian Kesihatan perlu kembali kepada matlamat asal penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan dan restoran yang dilaksanakan bermula 1 Januari lalu.

Dalam soal ini, seharusnya pihak kementerian melihat juga kepentingan dan kesihatan rakyat yang tidak merokok, tetapi menerima kesan akibat tabiat perokok yang tidak sensitif dengan persekitaran. Jika dihitung jumlah mereka yang tidak merokok ini jauh lebih ramai berbanding perokok. Jadi kenapa kerajaan hendak sangat menjaga kepentingan perokok atau pemilik restoran dalam isu ini.

Sejujurnya kita setuju tempoh pendidikan enam bulan ada kesan positifnya, apabila ramai mula akur dengan larangan dikuatkuasakan. Namun, ia seharusnya disusuli langkah ke depan, iaitu penguatkuasaan RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun seperti ditetapkan. Ia penting agar mesej positif dapat diberikan kepada umum bahawa kerajaan serius, bukan hangat-hangat tahi ayam.

296 dibaca
Berita Harian X