Jumaat, 26 April 2019 | 11:00am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjabat tangan dengan Presiden China, Xi Jinping di Rumahtamu Diaoyutai di Beijing , semalam. - Foto AFP

Potensi besar kerjasama Malaysia-China

China adalah destinasi eksport utama Malaysia dengan jumlah perdagangan berkembang kepada RM29.71 bilion pada Oktober 2018, berbanding RM11.37 bilion pada Oktober 2017. Justeru, wajar Malaysia terus mengeratkan hubungan dua hala dengan negara Tembok Besar itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika ini berada di China sempena lawatan kerja ke negara tembok besar itu. Kita harap kunjungan itu menyuntik lebih banyak kerjasama antara kedua-dua negara, demi kepentingan ekonomi bersama.

Rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai contoh mencerminkan sikap tolak ansur China dengan Malaysia. Negara dengan kedudukan ekonomi kedua terbesar dunia itu dilihat memahami masalah dihadapi Malaysia dan sedia membantu. Justeru, kita jangkakan selain ECRL, China akan turut terbabit dalam pembangunan kawasan industri di sepanjang laluan projek mega itu.

Selain itu, China juga boleh memainkan peranan menyokong ECRL dengan menggalakkan kargo, sama ada menuju atau berasal dari negara itu, menggunakan kemudahan itu. Melalui laluan rel menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan, tempoh pergerakan kargo dapat dipendekkan berbanding melalui laluan pelayaran. Kita yakin projek ECRL yang dirunding semula ini membawa banyak lagi pelaburan China ke Malaysia.

Kesilapan penilaian UBS serius

Kesilapan penilaian dilakukan firma perbankan Switzerland, UBS, terhadap kedudukan ekonomi Malaysia perlu dipandang serius. Jelas sekali kesilapan sebegitu tidak boleh dimaafkan kerana kesannya cukup besar. Lebih teruk fakta laporan tidak benar itu diceduk pula pengkritik kerajaan untuk membuktikan ekonomi Malaysia diuruskan dengan teruk.

Benar UBS sudah mengakui kesilapan dilakukan pegawainya itu dan cuba memperbetulkan keadaan, namun dalam hal ini ‘kerosakan’ sudah dilakukan. Kita percaya tindakan tegas harus diambil, termasuk saman ke atas UBS kerana memfitnah, mengambil kira kesannya terhadap negara. Laporan disiarkan jelas bukan sahaja tidak tepat, tetapi juga memudaratkan ekonomi negara.

Seharusnya sebagai sebuah institusi perbankan diyakini masyarakat pelaburan, UBS tampil memberi maklumat tepat dan tidak berpihak, dengan sebarang kesilapan walaupun kecil tidak boleh diterima. Namun, firma berkenaan gagal dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Kita percaya UBS sewajarnya dihukum demi memberi pengajaran termasuk kepada pihak lain agar lebih profesional dan berhati-hati dalam mengeluarkan penilaian serta laporan secara tepat dan berfakta, tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

1139 dibaca
Berita Harian X