Rabu, 24 April 2019 | 11:00am

Program mobiliti pacu daya saing graduan

ISU pengangguran dalam kalangan graduan universiti tempatan yang sering dikaitkan dengan kemampuan daya saing untuk menjadi calon pilihan majikan terus mendapat perhatian khalayak. Pelbagai laporan sebelum ini menunjukkan isu ini kelihatan agak serius sehingga menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran di negara kita.

Hakikatnya pada hari ini berlaku persaingan sengit dalam kalangan graduan tempatan untuk ‘mencuri hati’ majikan supaya mereka menjadi pilihan utama. Justeru, pihak universiti di samping membekalkan ilmu pengetahuan, terpaksa juga mengambil inisiatif tambahan bagi memperlengkapkan diri graduan supaya dapat terus bersaing di alam pekerjaan kelak.

Dalam hal ini salah satu program ‘signature’ yang cukup signifikan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) negara kita yang dilihat mampu meningkatkan keyakinan dan daya saing graduan tempatan ialah penganjuran program mobiliti ke luar negara. Untuk itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) secara berterusan menggalakkan semua pelajarnya menyertai program mobiliti. Bagi membuktikan keseriusan itu, UPM turut menjadikan penganjuran program mobiliti sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh setiap fakulti.

Misalnya, bagi Fakulti Kejuruteraan telah ditetapkan sasaran pencapaian mobiliti sebanyak 230 orang sepanjang 2018 dan fakulti berjaya mencapai bilangan 238 orang iaitu melebihi sasaran asal. Malah sepanjang tiga bulan pertama tahun ini seramai 57 pelajar Fakulti Kejuruteraan sudah menyertai program mobiliti di luar negara.

Antara program mobiliti pelajar Fakulti Kejuruteraan yang mempunyai nilai impak yang cukup tinggi ialah, program mobiliti ke Yildz Technical University, Istanbul; program mobiliti ke University Shizuoka, Jepun, Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Jepun serta program mobiliti ke University of Western Australia dan Engineering Institute of Technology.

Program mobiliti sudah menjadi aktiviti wajib semua fakulti di UPM. Antara manfaat utama program mobiliti ialah, pelajar dapat mempelajari pelbagai kemahiran baharu dalam bidang mereka sebagai nilai tambah kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di negara kita.

Pengalaman tingkat keyakinan komunikasi graduan

Di samping itu pelajar juga dapat mempelajari budaya, nilai dan etika serta amalan positif dari negara luar sebagai panduan kehidupan seharian. Sudah semestinya pengalaman seperti ini akan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mematangkan tahap pemikiran graduan kita.

Lawatan ke negara terpilih seperti Australia, Turki, Jepun, Korea Selatan dan China pastinya akan membuka mata dan minda pelajar kita untuk keluar dari zon selesa dan melihat gaya kehidupan masyarakat luar. Lawatan ke Jepun dan Korea Selatan misalnya cukup selari dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur.

Ia amat menggalakkan rakyat kita mencontohi nilai etika, moral, semangat kerjasama dan tidak mudah putus asa serta keazaman orang Jepun khususnya yang bangkit daripada kegagalan serta peperangan sehingga muncul sebagai negara maju dalam pelbagai aspek terutama sains, teknologi dan kejuruteraan.

Justeru, penulis yakin jika semua pelajar universiti dapat menyertai program mobiliti pasti ia akan menyumbang kepada peningkatan daya saing dalam kalangan graduan kita supaya lebih bersedia ketika menempuh alam pekerjaan kelak. Dalam hal ini inisiatif pihak universiti cukup jelas, malah Fakulti Kejuruteraan UPM sendiri memasang tekad memastikan semua pelajar fakulti dapat menyertai program mobiliti ke luar negara sekurang-kurangnya sekali sepanjang tempoh pengajian mereka di UPM.

Terpulanglah kepada pelajar itu sendiri sama ada mahu atau tidak merebut peluang yang disediakan ini. Ironinya pada hari ini majikan tidak lagi melihat kepada pencapaian akademik graduan semata-mata, sebaliknya mula menilai kelebihan lain yang mereka miliki antaranya, kemampuan untuk berkomunikasi dengan baik terutama dalam bahasa Inggeris, memiliki kemahiran kepemimpinan, boleh bekerja dalam pasukan serta memiliki daya pemikiran luar kotak yang mampu menampilkan diri seseorang graduan itu lain daripada yang lain.

Universiti percaya kemahiran dan pendedahan yang diperoleh di luar bilik kuliah seperti melalui program mobiliti akan memberikan pengalaman dan pengetahuan berguna kepada graduan. Pengalaman inilah kelak akan menjadi senjata utama graduan untuk memasarkan diri mereka ketika mencari peluang pekerjaan.

Secara prinsipnya walaupun tanggungjawab universiti lebih kepada membekalkan ilmu pengetahuan, kemahiran akademik dan teknikal yang diperlukan mengikut bidang pengajian masing-masing, atas dasar tanggungjawab moral dan sosial, universiti harus terus mengambil inisiatif bagi menggalakkan seramai mungkin pelajar mengikuti program mobiliti sebelum menamatkan pengajian.

Semoga sumbangan dan inisiatif kecil universiti ini dapat membantu memacu daya saing dan kualiti graduan seperti yang diperlukan oleh pihak industri dan juga negara.

Penulis merupakan Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

31 dibaca
Berita Harian X