Selasa, 23 April 2019 | 11:00am

Pembudayaan ilmu, minda unggulkan perkhidmatan awam

SEJAK terbentuknya Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 60 tahun lalu, pelbagai lapisan penjawat awam merentasi pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam sama ada sektor kewangan, pertahanan, sosial, kesihatan dan sebagainya, mengikuti kursus yang ditawarkan berdasarkan kompetensi mengikut keperluan tugas.

Kursus berkenaan membantu penjawat awam menguruskan dasar negara, pentadbiran organisasi dan sebagainya.

Selain penjawat awam, menteri Kabinet dan timbalan menteri turut menyertai ‘Program Eksekutif Khas Untuk Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia’ anjuran INTAN pada Disember tahun lalu.

Program itu bertujuan menerangkan pelbagai topik, termasuk Struktur Kerajaan Malaysia dan Sistem Pentadbiran Awam; Akauntabiliti dan Integriti dalam Sektor Awam; Mekanisme Pengukuran dan Pemantauan Pencapaian Prestasi Menteri dan Pengurusan Media.

Cabaran masa kini

Era baharu hari ini menyaksikan gelombang transformasi pentadbiran negara selaras dengan tuntutan persekitaran. Perubahan sosioekonomi berlaku seiring dengan peredaran masa melalui kemasukan teknologi baharu seperti peranti komunikasi canggih dan persekitaran maya, perubahan ekologi, perubahan struktur fizikal perbandaran, perubahan sistem delivery dan lain-lain lagi.

Keadaan ini mempengaruhi corak tuntutan dan agihan pendapatan, cara bertindak balas kepada persekitaran dan kualiti hidup, malah rakyat kini sangat sensitif akan perubahan secara keseluruhannya.

Taraf kehidupan, pendidikan dan pendedahan global rakyat Malaysia kini semakin meluas. Lebih ramai yang mampu ke luar negara untuk melancong, selain menghadiri mesyuarat antarabangsa mahupun untuk bekerja di negara luar.

Akibat daripada pendedahan ini, harapan mereka juga semakin meningkat terhadap bagaimana mereka harus dilayani.

Kini Revolusi Industri 4.0 muncul memberi cabaran baharu kepada negara dan ia memerlukan perkhidmatan awam melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu. Industri 4.0 menekankan pembinaan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia.

Kerajaan kini juga sedang mempersiapkan diri membangunkan model pengoperasian kerajaan digital bagi menerap Kecekapan Digital Kerajaan, Kesediaan dan Keupayaan (DGCCR) ke dalam perkhidmatan awam.

Ini memerlukan komitmen dan kemahiran tinggi dalam kalangan penjawat awam. Mengambil kira senario dan perkembangan ini, perkhidmatan awam harus bertindak-balas dengan kadar yang lebih pantas lagi.

Melaksanakan undang-undang dan menguatkuasakan peraturan tidak lagi memadai dalam pengurusan awam hari ini kerana apa yang lebih dituntut ialah perubahan minda dan pengurusan pelaksanaan yang menampakkan impak.

Perkhidmatan awam kini juga dituntut untuk setanding dengan sektor swasta dari segi skil, kepakaran dan kebolehupayaan untuk menyesuaikan perkhidmatan dengan kehendak stakeholders. Rakyat mengharapkan penjawat awam yang dinamik, bijak meramal masa depan dan bijak membuat keputusan yang efektif.

Sebagai memenuhi tuntutan ini untuk menyahut perkembangan yang begitu pantas, INTAN sedia memacu perubahan itu melalui gedung ilmunya. Fungsi INTAN sebagai wadah atau platform untuk melahirkan penjawat awam yang mengurus serta membantu dalam pembentukan dasar negara melalui pembelajaran berkualiti.

Penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan konsultansi dalam pelbagai bidang mengikut keperluan dan tuntutan isu-isu semasa turut dilaksanakan. INTAN juga menganjurkan seminar serta forum bagi mengupas dasar penting kerajaan seperti Forum Kajian Separuh Penggal dan Pasca Bajet 2019.

Pembudayaan ilmu

Agenda transformasi perkhidmatan awam amat berkait rapat dengan pembudayaan ilmu, peningkatan kemahiran dan kepakaran penjawat awam. INTAN menyediakan platform ilmu ini untuk pemimpin perkhidmatan awam membicarakan pelbagai isu bersama-sama universiti awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) di bawah pelbagai forum seperti INTAN Public Policy Insights Series (IPPIS).

Dalam menghadapi ekosistem pembangunan negara yang semakin mencabar dan kompleks, perkhidmatan awam perlu melengkapkan diri dengan keupayaan berfikir dan membuat keputusan dengan cepat, tepat dan bijaksana.

Dengan demikian, usaha menimba ilmu harus dipertingkatkan dan diteruskan demi mengunggulkan perkhidmatan awam.

Tahun 2019 ini, INTAN menyambut ulang tahun ke-60 penubuhannya. Bersesuaian dengan slogan sambutan, ‘Menerajui Kecemerlangan Pembangunan Insan’, INTAN akan memperkasa visinya untuk menjadi institusi pembelajaran sektor awam yang unggul.

Ilmu adalah senjata yang membuka pintu pengetahuan yang begitu luas. Seperti kata Martin Luther King Jr: “The function of education is to teach one to think intensively and to think critically. Intelligence plus character – that is the goal of true education.” (Fungsi pendidikan ialah untuk mengajar seseorang benar-benar berfikir dan kritikal. Kepintaran ditambah dengan keperibadian - itulah matlamat sebenar pendidikan)

Penulis merupakan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

96 dibaca
Berita Harian X