Ahad, 10 Februari 2019 | 11:01am

Menanti gelombang seni kita

TIDAK ramai kenal siapa Muhammad Syukur Khamis, namun populariti remaja berusia 14 tahun dari Terengganu itu tiba-tiba memuncak selepas diberi jolokan ‘Mowgli Malaysia’.

Tuah buat Syukur apabila foto aksinya bersama kerbau yang dirakam jurugambar profesional, Mohd Nazri Sulaiman, mendapat pengiktirafan besar.

Selain ‘Street/People Photographer of The Year 2018’ oleh Asian Geographic-Image of Asia 2018, karya seni itu turut menerima anugerah ‘Remarkable Award’ pada Siena International Photography Award 2018’.

Melihat foto berkenaan, termasuk yang dirakam seorang lagi jurugambar, Abdullah Deen Mohd Zain atau Dallah Deen yang viral di media sosial, ramai setuju gelagat mesra Syukur bersama puluhan kerbau menampilkan sisi unik seorang anak kampung di Malaysia.

Setiap detik digambarkan melalui foto terbabit memperlihatkan diri Syukur yang sebati dengan alam semula jadi. Saat sebegitu sangat dirindui serta dicemburui ramai.

Ia membangkitkan nostalgia, lebih-lebih lagi dalam kalangan anak kampung yang kini sudah jauh terpisah daripada bau baruh, bendang atau gelumang lumpur sungai. Inilah kuasa besar dunia kreatif.

Foto Syukur bersama kerbau sebenarnya sebahagian daripada ratusan atau ribuan karya kreatif anak bangsa kita. Kreativiti turut meliputi lukisan, video, drama, filem, klip pendek, seni tari, budaya, grafik dan banyak lagi.

Hasil karya dekat di hati

Namun, karya kreatif dihasilkan melalui pelbagai platform yang benar-benar menonjol seperti dihasilkan Nazri tidak banyak, apatah lagi untuk dilabel bertaraf dunia.

Apa pun, sisi unik budaya, kehidupan dan keharmonian rakyat kita yang ditonjolkan sebagai dasar utama setiap karya kreatif, tidak pernah mengecewakan.

Penceritaan dalam setiap karya sebegitu lebih dekat di hati, malah lebih mudah membuka mata peminat seni kreatif global mengenai realiti Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan keindahan semula jadi.

Pihak korporat turut menghasilkan pelbagai video kreatif menonjolkan keunikan budaya pelbagai bangsa di Malaysia, selain aspek kehidupan dan moral tinggi dalam setiap penceritaan video.

Namun, ia terhad kepada musim perayaan atau sambutan utama seperti kemerdekaan negara, tahun baharu dan sebagainya. Apa pun ia sering ditunggu-tunggu ramai, sekali gus membuktikan seni kreatif yang menampilkan sisi unik Malaysia mempunyai pengikut tersendiri.

Yang pasti beban penghasilan idea kreatif tidak seharusnya bermusim atau hanya menjadi tanggungan badan korporat. Kerjasama pemain utama industri seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan banyak lagi harus digembleng bersama.

Kepakaran bukan isu

Soal kurang kepakaran bukan lagi isu kerana bakat tempatan tidak kurang hebatnya dalam setiap bidang seni kreatif. Graduan juga banyak dihasilkan melalui universiti awam atau institusi pengajian tinggi saban tahun.

Justeru, punca yang mengekang penggiat seni kreatif negara menghasilkan karya bertaraf dunia harus dikenal pasti.

Menilai kepentingan industri kreatif, wajar kiranya dilihat Korea Selatan yang berjaya membawa budayanya merentasi dunia melalui seni pop Korea atau K-Pop.

Hasilnya hari ini bukan sahaja kimchi dikenali dunia, malah gelombang Korea atau lebih dikenali ‘Hallyu’ turut melonjak ekonomi negara itu. Ia merancakkan aktiviti pelancongan, eksport kebudayaan, malah permintaan pembelajaran bahasa Korea dalam kalangan rakyat asing juga melonjak.

Ia menjadi bukti industri kreatif perlu dilihat dalam skop lebih luas berbanding sekadar hiburan. Jika peranannya sebagai medium penghubung budaya diberi penumpuan tepat, impak seperti Hallyu yang membawa nama Korea Selatan ke serata dunia mampu dicapai.

Hari ini dunia sudah melihat Mowgli Malaysia melalui kaca mata Nazri dan ramai menunggu lebih banyak sisi unik Malaysia dipaparkan melalui dunia kreatif penggiat seni negara.

Justeru, impian menghasilkan karya bertaraf dunia harus ditanam dalam jiwa setiap penggiat seni kreatif negara. Bukan semata-mata menarik pengiktirafan, tetapi misi lebih besar membawa keunikan Malaysia ke mata dunia.

753 dibaca
Berita Harian X