Selasa, 5 Februari 2019 | 11:19am
GAMBAR fail, anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap premis dan pengunjung pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur dalam operasi itu. - Foto NSTP

Hapus persepsi penguat kuasa 'kotor'

Ketika negara berhempas pulas membina imej menolak rasuah, timbul pula isu anggota penguat kuasa bersekongkol dengan penjenayah. Selain mencemarkan imej penjawat awam, kegiatan itu turut menyebabkan maklumat risikan dan operasi bocor sehingga tindakan memerangi jenayah sering kali gagal. Justeru hasrat kerajaan memerangi golongan ini harus disokong.

Peranan golongan musuh dalam selimut ini tidak hanya membabitkan sindiket dadah, tetapi turut meliputi jenayah perjudian, maksiat dan banyak lagi. Buktinya, kita pernah dengar kes anggota atau pegawai agensi penguat kuasa ditahan kerana melindungi tauke judi atau sindiket dadah. Walaupun ada serbuan dilakukan, kadar kejayaannya kurang memuaskan sehinggakan orang awam menilainya sekadar ‘wayang’ seolah-olah memenuhi kuota petunjuk prestasi utama (KPI).

Kita akui bukan semua anggota penguat kuasa terpalit budaya ‘kotor’ kerana ramai lagi yang cekal mempertahankan integriti dalam diri. Justeru, kerajaan perlu mencari kaedah bersesuaian mengelak risiko wujudnya golongan musuh dalam selimut ini. Contohnya, mengehadkan tempoh penguat kuasa bertugas di kawasan tertentu, seperti tiga bulan seperti yang dipraktik di sempadan negara.

Hakikatnya, kita tidak mahu kerana wujudnya segelintir penguat kuasa ‘kotor’, semua sekali terpalit imej negatif. Ia sekali gus menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti anggota atau agensi penguat kuasa terbabit.

Banyak laporan dipapar media mengenai penipuan membabitkan wang ringgit, tetapi penjenayah yang licik sering menukar taktik untuk mencari mangsa baharu. Terbaru, akhbar ini mendedahkan kegiatan sindiket menipu pelajar dengan menawarkan latihan perniagaan digital yang sebenarnya tidak wujud.

Sindiket Love Scam pula menukar modus operandi daripada ‘bermain cinta’ dengan wanita kesunyian, kepada berpura-pura memeluk Islam sebelum memujuk mangsa memberi wang. Itu tidak termasuk rakyat kita yang menjadi mangsa penipuan Macau Scam, selain nasib wanita tempatan yang diperdaya sebagai keldai dadah.

Sedih sekali melihat ramai yang tertipu, sedangkan media banyak kali melaporkan pelbagai taktik digunakan sindiket. Mungkin ramai tidak ambil berat peringatan diberikan kerana berfikir mustahil diri mereka akan terjebak.

Apa pun kita percaya sikap sesetengah individu yang mahu mencari jalan mudah menambah pendapatan menyebabkan mereka ‘termakan’ tipu daya penjenayah siber. Sindiket pula bijak memanipulasi sifat ingin cepat kaya dan tamak dalam diri manusia untuk mengaut keuntungan.

Kita berharap orang ramai lebih berhati-hati agar tidak termakan pelbagai umpan yang cuba digula-gulakan penjenayah ini. Seperti kata orang tua-tua, beringat sebelum terkena. Jangan terhantuk, baru tengadah.

896 dibaca
Berita Harian X