Isnin, 4 Februari 2019 | 11:09am

Anak abai ibu bapa patut dihukum

Kita amat bersetuju dengan cadangan supaya diwujudkan undang-undang yang boleh mengenakan hukuman lebih tegas ke atas anak yang sengaja mengabaikan atau mendera ibu bapa mereka secara emosi. Ini termasuklah terhadap anak yang meninggalkan ibu bapa mereka bersendirian atau di rumah orang tua.

Bagi kita kewajipan anak menjaga orang yang telah melahirkan serta membesarkan mereka sehinggalah ke akhir hayat tidak boleh dikompromi, dan rasanya tiada seorang pun yang tidak faham tanggungjawab ini. Malangnya, walaupun semua sedar akan kewajipan itu, kes warga emas diabaikan semakin meningkat.

Keadaan ini berlaku mungkin berpunca daripada perubahan sosiodemografi. Ramai anak kini tinggal berjauhan dari ibu bapa. Anak bekerja di bandar, manakala ibu bapa pula tinggal di kampung, Jika pun tinggal berdekatan, kesibukan mengejar tuntutan kerjaya dan ekonomi menyebabkan ada anak yang lupa dan mengabaikan akan kewajipan terhadap ibu bapa mereka yang uzur. Ada juga kes pengabaian berlaku semata-mata disebabkan ketidaksefahaman anak dalam penggiliran menjaga ibu bapa mereka.


- Gambar hiasan

Kita akui sekarang ini sudah ada undang-undang di bawah Kanun Keseksaan yang boleh mengenakan tindakan terhadap anak yang mendera ibu atau bapa mereka, tetapi ia lebih membabitkan penderaan fizikal. Namun yang banyak berlaku sekarang ini adalah penderaan bersifat emosi dan inilah yang perlu diberikan perhatian. Dalam hal ini kita amat menyambut baik kesediaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengkaji mewujudkan undang-undang khas khusus itu.

Teliti rekod pemanduan warga asing

Kita menghormati keputusan negara jiran untuk melarang kenderaan dari luar yang mempunyai saman tertunggak daripada memasuki negara itu. Ia adalah hak mereka. Apabila kita berada di sesebuah negara, undang-undang dan peraturannya perlu dipatuhi.

Dalam hal ini, kita juga berharap Malaysia patut menimbang mengambil tindakan sama. Bukan untuk membalas dendam, tetapi kita berpendapat jika seseorang pemandu itu mempunyai banyak saman dan enggan pula melunaskan bayaran, beliau memang seorang yang bermasalah dan tidak sepatutnya dibenarkan memandu di jalan raya negara ini.

Negara ini sendiri sudah mempunyai banyak masalah dengan sikap pemandu rakyat tempatan yang tidak mempedulikan peraturan serta undang-undang jalan raya dan tentunya kita tidak mahu menambahkan lagi masalah ini.

Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mungkin patut mengkaji semula prosedur mengeluarkan lesen memandu kepada rakyat asing yang bekerja atau belajar di negara ini dengan meneliti rekod pemanduan di negara asal mereka sebelum meluluskannya.

Negara ini sendiri sudah mempunyai banyak masalah dengan sikap pemandu rakyat tempatan yang tidak mempedulikan peraturan serta undang-undang jalan raya, dan tentunya kita tidak mahu menambahkan lagi masalah ini.

231 dibaca
Berita Harian X