Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:04am

Dahulu tak mahu kurang, sekarang boleh

Laporan terkini mengenai kesediaan China Communications Construction Co Ltd (CCCC) mengurangkan hampir separuh kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) cukup mengujakan. Ia memberi gambaran bahawa China benar-benar mengharapkan projek pembinaan laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dapat diteruskan.

Di sebalik perkembangan itu, timbul persoalan kenapa baru sekarang mereka sedia berlembut dalam isu berkaitan ECRL. Sebelum ini, laporan media ada menyebut mengenai penamatan kontrak terbabit, yang antara lain disebabkan kegagalan CCCC mengurangkan kos kepada separuh. Jika benar mereka sedia kurangkan kos, maksudnya cadangan dikemukakan Malaysia untuk meneruskan projek dalam skala kecil mengikut kemampuan kerajaan boleh dilakukan. Mungkinkah pihak CCCC bertegas sebelum ini sekadar untuk mencuba nasib seperti dilakukan mereka bersama pentadbiran terdahulu?

Hakikatnya Malaysia sudah menyatakan pendirian bahawa kos RM81 bilion untuk projek diluluskan pimpinan kerajaan sebelum ini terlalu besar. Kita harap kerajaan akan terus bertegas memastikan perjanjian ECRL jika diteruskan semula, tidak lagi bersifat berat sebelah. ECRL yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan, diakui bakal membawa banyak manfaat. Justeru, penyelesaian ‘menang-menang’ untuk kedua-dua pihak perlu dipastikan.

Kena viral baru nak bertindak

Sedih sekali mendengar kisah pintu bilik darjah rosak di sebuah sekolah di Kapit, Sarawak yang ditampal menggunakan kotak. Video mengenainya tersebar sehingga mendapat maklum balas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Memalukan apabila timbul persepsi kononnya kerajaan kurang peruntukan sehinggakan satu pintu rosak di sekolah pun tidak mampu diganti, sedangkan sektor pendidikan mendapat peruntukan tinggi melalui belanjawan setiap tahun.

Isu sekolah daif bukan baharu, malah kerosakan kemudahan seperti pintu, papan hitam atau peralatan pengajaran dan pembelajaran lain sering berlaku. Isu timbul apabila membabitkan peruntukan, malah kerenah birokrasi terpaksa dilalui hanya untuk membaiki sekeping pintu rosak.

Cukup cliche kenyataan menteri meminta pentadbir sekolah memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Mustahil guru besar atau pengetua buat-buat tak nampak kerosakan berlaku, sedangkan laporan status sekolah, termasuk kerosakan disediakan secara berkala. Mungkin ini punca saluran viral di media sosial lebih selesa digunakan untuk membuka mata golongan atasan.

Kita harap kerenah birokrasi dapat dikurangkan. Mungkin boleh dipertimbang juga agar guru besar atau pengetua diberi kuasa meluluskan peruntukan kecemasan dalam lingkungan had bajet tertentu. Sekurang-kurangnya kerosakan kecil boleh dibaiki segera tanpa menunggu tandatangan seorang menteri. Kita tak mahu ada lagi isu pintu rosak menjadi viral. Ia bukan sahaja memalukan, tetapi memberi gambaran kelemahan tadbir urus sistem pendidikan.

4194 dibaca
Berita Harian X