Khamis, 24 Januari 2019 | 11:02am

Lebih berani perangi korupsi

Usaha serius Malaysia memerangi rasuah lantang kedengaran di Vienna, Austria susulan perkongsian Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menyampaikan ucaptama di pentas Persidangan Agung dan Mesyuarat Tahunan ke-10 Persatuan Pihak Berkuasa-Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA).

Ia menarik perhatian dunia apabila Perdana Menteri berkongsi pengalaman sebenar Malaysia mengharungi amalan rasuah, salah laku dan skandal kewangan terbesar yang melanda negara.

Kita sebenarnya boleh berbangga apabila persepsi rakyat Malaysia terhadap perlakuan rasuah, salah laku serta penyelewengan semakin positif. Jika dulu, ramai juga cenderung ‘tutup mata’ apabila melihat perlakuan rasuah berlaku di sekitar mereka. Kini, kesedaran serta tanggungjawab untuk tampil membuat aduan atau laporan berkaitan aktiviti sedemikian semakin bertambah.

Semua kita sebenarnya mahu melihat Malaysia benar-benar bebas daripada rasuah. Lantas usaha memastikan masyarakat memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus terus diperkasa. Jika ini berlaku, sesiapa juga pasti akan berfikir berkali-kali untuk memberi atau menerima rasuah. Kita kena wujudkan budaya jijik melihat perlakuan rasuah.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) bertemakan '15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek' di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa lalu. - Foto BERNAMA

Jangan ada lagi kontrak berat sebelah

Pencarian kontraktor baharu bagi menggantikan syarikat China Communication Construction Ltd (CCCC) yang ditamatkan khidmat oleh kerajaan, membawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada satu fasa baharu.

Dari satu sudut, ia memberi kelegaan apabila projek bertujuan menjana manfaat penduduk Pantai Timur itu bakal diteruskan selepas digantung sejak Julai tahun lalu. Penamatan kontrak CCCC itu sendiri dilihat sebagai usaha positif, mengambil kira isu melingkari perjanjian projek mega itu selama ini. Antaranya status perjanjian yang dilihat bersifat berat sebelah dan tidak menguntungkan kerajaan.

Dalam soal pencarian kontraktor baharu, kita harap tiada lagi amalan rundingan terus dilakukan, sebaliknya mengguna pakai kaedah tender terbuka. Ia bukan sekadar menjamin ketelusan, malah turut membuka peluang pengagihan kontrak kepada kontraktor tempatan yang layak untuk menjadi sebahagian daripada pakej projek berkenaan. Jika boleh tenaga kerjanya nanti perlu diwajibkan mengutamakan warga tempatan.

Dari segi kos, kita menaruh harapan tinggi untuk melihat pelan bersesuaian dirangka untuk ECRL melalui kontraktor baharu nanti, supaya pelaksanaannya berada dalam ruang lingkup kemampuan kewangan negara. Namun, dalam usaha untuk berjimat, perlu dipastikan ia tidak mengurangkan nilai manfaat pelaksanaan ECRL kepada rakyat dan negara.

79 dibaca
Berita Harian X