Sabtu, 19 Januari 2019 | 11:00am

Strategi kempen 'kepung' kubu tradisi

SEMINGGU berlalu, suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tenang dengan masyarakat setempat meneruskan kehidupan harian seperti biasa, manakala jentera parti sibuk memasang bendera dan poster calon.

Cara kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) seimbang dan boleh dikatakan tidak keterlaluan.

Tiada serangan peribadi dibuat calon daripada kedua-dua parti itu setakat ini. Yang berperang hanya kibaran bendera memenuhi laluan masuk ke pusat peranginan berbukit ini, sama ada dari Tapah atau Simpang Pulai di Perak.

Ramai pemimpin utama komponen PH dan BN berkampung sejak minggu lalu. Selain ceramah umum, mereka mengunjungi Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta menjalankan program kemasyarakatan dengan penduduk setempat.

Apa membezakan antara kempen PH dan BN kali ini, sejak hari pertama lagi, mereka mula menumpukan kepada strategi berkempen di kawasan musuh atau PDM yang sebelum ini dimenangi lawan.

BN walaupun menang di kebanyakan PDM menempatkan Orang Asli dalam Pilihan Raya Umum Umum Ke-14 (PRU-14), giat juga berkempen di kawasan bukan kubu mereka, terutama Kampung Raja, Tanah Rata, Brinchang, Ringlet serta Lembah Bertam, yang dimenangi PH dengan perbezaan undi besar.

Di PDM Lembah Bertam contohnya, PH memperoleh 1,238 undi berbanding BN dengan 354 undi. Sementara di PDM Ringlet, BN sekadar memperoleh 324 undi, jauh berbanding 1,413 undi diraih PH.

Hanya di PDM Brinchang menyaksikan perbezaan kecil undi, dengan BN menerima 675 undi berbanding 937 undi diperoleh PH.

Bagi mengelakkan undi pecah di PDM Orang Asli, BN meletakkan jentera sejak hari pertama kempen untuk memastikan ‘trend’ mengundi masyarakat pribumi itu tidak banyak berubah seperti PRU lalu.

Selain PDM Pos Terisu, Pos Lemoi dan Pos Mensun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, Pos Titum, Pos Lenjang, Pos Betau dan Pos Sinderut di bawah DUN Jelai juga seakan sudah diwartakan sejak dari awal tempoh berkempen sebagai kawasan yang perlu ‘dikepung' BN.

Bagi PH pula, tumpuan mereka di DUN Jelai, khususnya PDM Sungai Koyan Satu, Sungai Koyan Dua dan Tiga, yang menempatkan peneroka FELDA.

Perjalanan kempen lancar

Sejak Rabu lalu, pemimpin utama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sudah berkampung membantu kempen calon PH, M Manogaran. Selain Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu antara yang berada di sana.

Selain kawasan Sungai Koyan Satu, PAS juga menang di PDM Kampung Keledek dan Kota Raja yang terletak di bawah DUN Jelai. BN pula menang di PDM Sungai Koyan Dua dan Tiga, namun dengan perbezaan undi kecil ke atas PAS.

Kempen PH juga bertumpu di PDM Pos Betau dan Pos Sinderut, dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat giat berkempen, selain menyampaikan ceramah umumnya di PDM FELDA Koyan Satu bersama pemimpin PH lain.

PDM Pos Betau dan Pos Sinderut menempatkan ramai pengundi Orang Asli dianggap kubu kuat BN. BN menang di dua PDM itu dengan majoriti besar.

Jelas di sini, kempen PH kali ini tertumpu untuk menarik undi penyokong BN dan PAS, sementara BN pula cuba menahan undi diperoleh mereka pada PRU lalu, terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Parti yang menerajui kerajaan negeri itu pula meletakkan harapan tinggi, supaya undi PAS yang membentuk lebih 3,500 undi pada PRU lalu, berpihak kepada mereka.

Dari segi kempen, calon tidak berdepan masalah menemui seberapa ramai pengundi. Manogaran sudah pasti mendapat tempat di kawasan PDM dimenangi PH, apatah lagi beliau biasa berkempen di Cameron Highlands sejak PRU-12.

Tugas berat dipikul calon BN, Ramli Mohd Noor, yang perlu memastikan kubu kuat BN tidak digempur jentera PH, selain cuba menarik seberapa ramai undi daripada penyokong parti lawan itu.

Bagi dua calon Bebas pula - Wong Seng Yee dan Sallehuddin Ab Talib - masing-masing menumpukan kempen di dua kawasan berbeza. Seng Yee yang banyak menyuarakan permasalahan petani dan pekebun, lebih aktif di DUN Tanah Rata, sementara Sallehuddin yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu’ bertumpu di DUN Jelai.

Tidak banyak isu nasional

Sepanjang seminggu berkempen ini, tidak banyak isu nasional dibangkitkan calon dan jentera parti, sebaliknya tumpuan diberi kepada permasalahan setempat.

Antaranya kesesakan lalu lintas, isu pemberian dan kelulusan lesen pendudukan sementara (TOL), caj tempat meletak kenderaan, isu hutang peneroka. Tidak kurang juga masalah setempat seperti jalan teruk untuk memasuki penempatan Orang Asli, selain tanah dan cerun runtuh.

Kebanyakan isu berkait alam sekitar seperti penerokaan tanah haram dan pembukaan ladang yang tidak mendapat pengesahan atau dibuka secara haram, tidak banyak disentuh calon PH dan BN. Ini kerana isu terbabit dalam proses diselesaikan Kerajaan Pusat dengan kerjasama kerajaan negeri menerusi Ops Lestari, yang menggantikan Ops Gading diumum kerajaan sebelum ini.

Berbaki seminggu lagi, sudah pasti calon dan jentera akan meningkatkan keupayaan kempen. Cuma dibimbangi peratusan turun mengundi, memandangkan tarikh membuang undi seminggu lebih awal sebelum cuti sambutan Tahun Baharu Cina.

Pemilihan tarikh itu memberi kesan terhadap kehadiran pengundi luar yang terpaksa pulang dua kali, jika mereka mahu mengundi pada 26 Januari ini. Kebanyakan pengundi luar adalah pengundi muda.

Di Parlimen Cameron Highlands, 42 peratus pengundi adalah orang muda berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan majoriti pengundi muda ini turun menunaikan tanggungjawab mereka. Parti politik bertanding perlu kenal pasti kelompok ini dan meminta mereka pulang.

Ia penting supaya peratusan keluar mengundi rendah direkod dalam empat PRK terdahulu yang disumbang ketidakhadiran pengundi muda, tidak berulang kali ini.

Berita Harian X