Rabu, 16 Januari 2019 | 9:03am

Sistem saringan langkah awal cegah dera

SUDAH terhantuk baru tengadah acap kali berlaku dalam kehidupan kita namun sekiranya membabitkan tragedi meragut nyawa apatah lagi kanak-kanak, peribahasa itu tidak sepatutnya terus berulang.

Meruntun jiwa kita apabila kita saksikan dalam kes bayi berusia sembilan bulan, Aariz Harraz Zahin Azman, yang disahkan meninggal dunia apabila mesin sokongan hayatnya dihentikan selepas didera oleh pengasuhnya. Malah, tragedi menimpa Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal yang meninggal dunia akibat didera fizikal dan seksual, masih terasa baharu dengan kes terhadap tertuduh masih dibicarakan.


Aariz Harraz Zahin Azman meninggal dunia akibat didera pengasuhnya Ahad lalu. - Foto NSTP

Justeru, sistem yang menyaring secara dalam talian individu yang akan bekerja atau diambil bekerja dengan kanak-kanak dijangka siap Mac ini seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kelmarin diharap dapat mengelakkan tragedi sama berulang.

Sistem saringan dibangunkan bersama agensi lain seperti mahkamah, polis dan Jabatan Penjara menjadi mekanisme tepat dalam memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada mana-mana individu yang berpotensi mendera.

Bagaimanapun, sistem itu tidak boleh hanya menyasarkan pengasuh, kerana risiko penderaan seperti kes sebelum ini turut membabitkan pasangan atau anak pengasuh yang sudah dewasa yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Selain itu, saringan juga perlu mengambil kira penilaian psikologi dan persekitaran pengasuh bagi mengelakkan anak-anak daripada diserahkan kepada individu yang tidak sepatutnya.

Lebih penting, sistem saringan itu perlu sentiasa dikemaskini serta dipantau dari semasa ke semasa supaya memberikan manfaat kepada ibu bapa dan penjaga.

Perluas konsep pengiktirafan individu berjasa

Penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada tukang sapu, Chai Mun Thye, 60, menunjukkan setiap individu mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara tidak mengira apa-apa pekerjaan sekalipun. Pengiktirafan diberikan kepada Mun Thye sempena Hari Keputeraan ke-71 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir itu, adalah isyarat positif kepada rakyat yang terbabit dalam profesion 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar bahawa sumbangan mereka dihargai.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook beramah mesra dengan Chai Mun Thye yang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena Hari Keputeraan ke-71 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Turut bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong (kanan).

Apatah lagi sektor pekerjaan 3D kurang menarik minat rakyat negara ini hingga sering diisi oleh warga asing sedangkan tanpa sokongan semua pihak, pembangunan negara akan terencat. Malah, ia juga diharap menyedarkan rakyat betapa semua individu perlu dihormati, waima tukang sapu bukan semata-mata sebagai manusia, tetapi sebagai individu yang menunaikan tanggungjawab kepada negara mengikut peranan atau kedudukan masing-masing.

Justeru, dalam soal pemberian anugerah, pingat atau pengiktirafan tiada kriteria atau kelompok tertentu sahaja, sebaliknya diperluaskan meliputi setiap rakyat jelata yang berjasa dalam mengekal keharmonian dan pembangunan negara.

Berita Harian X