Isnin, 14 Januari 2019 | 11:00am

Minda Pengarang: Jangan main api isu sensitif

Sebuah portal berita dari Singapura melaporkan dakwaan lima kapal Malaysia menceroboh perairan republik itu di Tuas, Rabu lalu, sebelum ia dinafikan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, yang turut berada di atas satu daripada kapal berkenaan. Jika diamati, dakwaan berkenaan cukup serius ketika kedua-dua negara melalui tempoh ‘bertenang’ selama sebulan, susulan isu ruang udara Pasir Gudang di Johor.

Kita bersetuju dengan maklum balas pantas Osman terhadap dakwaan menceroboh itu kerana sekurang-kurangnya mengelak daripada berlarutan dan dipolemikkan. Isu sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura cukup rapuh dan bagai tiada berkesudahan. Cuma, kita sedikit kesal apabila Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang sepatutnya diadakan hari ini, terpaksa dijadikan ‘mangsa’ apabila ditangguhkan.


Antara gambar Pasukan Polis Singapura yang disiarkan dalam laporan sebuah portal republik itu memaparkan aset Jabatan Laut dinaiki Menteri Besar, Datuk Osman Sapian ketika mengadakan lawatan, kelmarin yang didakwa memasuki perairan negara itu. - Foto ihsan Singapore Police Force

Walaupun Singapura menggunakan insiden di Tuas itu sebagai alasan, penangguhan JMCIM tidak harus ditafsir dalam konteks konflik yang melarat. Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, yang dijadual mengetuai delegasi Malaysia, turut bersetuju dengan cadangan penangguhan itu oleh Singapura. Mungkin ia tepat untuk biarkan cerita panas itu sejuk seketika. Kita khuatir jika JMCIM diadakan hari ini, cerita mengenai insiden di perairan Tuas mungkin dibangkitkan dan rundingan antara delegasi pasti terkesan dari segi semangat permuafakatan.

Kita percaya Singapura juga tidak mahu terburu-buru menuduh Malaysia dalam soal ini kerana yakin banyak kepentingan bersama lain, yang skalanya juga lebih besar harus dijaga. Namun, dakwaan dibuat portal berita dari Republik itu terhadap Malaysia, elok juga kalau boleh disiasat fakta dan kesahihannya. Jika terbukti tidak tepat, tindakan tegas harus diambil sebagai pengajaran kerana bermain api dengan isu sensitif membabitkan dua negara berjiran.

1790 dibaca
Berita Harian X