Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:01am
Gambar fail, istiadat mengangkat sumpah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V sebagai Agong.

Minda Pengarang: Tegas lindungi kesucian institusi diraja

Kedudukan Raja-Raja Melayu disanjung tinggi sejak beratus tahun dulu, namun hari ini ada yang sudah mula berani mengganggu-gugat institusi diraja. Perbuatan mencerca, memperlekeh Raja-Raja Melayu yang menjadi antara tunjang Perlembagaan Persekutuan itu, semakin kerap berlaku khususnya melalui media sosial. Cukup sedih apabila netizen seolah-olah tiada rasa hormat, sedangkan tanggungjawab untuk setia kepada Raja sebahagian daripada Rukun Negara.

Dalam isu ini, kita puji tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan tiga pemilik akaun media sosial yang memuat naik komen menghina terhadap Sultan Muhammad V, baru-baru ini. Tindakan mengikut Akta Hasutan 1948 itu wajar diambil untuk membuktikan pihak berkuasa tegas dalam memastikan isu sensitif yang berisiko mengundang kemarahan ramai.

Ada cadangan supaya undang-undang khusus digubal untuk melindungi kesucian institusi diraja, namun ramai berpendapat tiada keperluan mendesak untuk itu. Kita bersetuju undang-undang sedia ada sudah cukup untuk mengawal perlakuan itu, namun aspek penguatkuasaan perlu lebih diperkasa. Kita tidak mahu ‘trend’ netizen yang hari ini mengutuk atau mencerca institusi diraja tanpa rasa bersalah sebelum esok meminta maaf, menjadi ikutan.

Wajar kita ambil contoh negara jiran, Thailand yang tegas menjaga kesucian institusi diraja. Bukan sahaja penguatkuasaannya tegas, rakyatnya sendiri memiliki kesedaran diri dan rasa cinta mendalam terhadap Raja mereka. Kenapa orang kita tak boleh seperti itu, sedangkan prinsip Rukun Negara, iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ diajar sejak kecil lagi.

239 dibaca
Berita Harian X