Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:00am

Harapan baharu kesejahteraan mental rakyat

Beberapa kajian komprehensif seperti Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) dilaksanakan untuk meninjau fenomena kesihatan mental rakyat, khusus kepada segmen populasi tertentu.

Data NHMS 2015 menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak pada kadar 12.1 peratus, diikuti orang dewasa 29.2 peratus dan warga tua berusia 60 tahun ke atas pula 24 peratus.

Dapatan kajian sama pada 2012 menunjukkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun (berpandukan data 25,507 pelajar sekolah) mengalami fenomena kesihatan mental seperti kemurungan 17.7 peratus, keresahan (39.5 peratus) dan tekanan (10.1 peratus). Aspek tingkah laku bunuh diri pula menunjukkan 7.9 peratus golongan sama mempunyai idea, 6.4 peratus mempunyai rancangan dan 6.8 peratus lagi sudah membuat percubaan bunuh diri.

Statistik membuktikan perlunya inovasi dalam proses intervensi dan rangka kerja menolong sedia ada, agar bersesuaian cabaran kehidupan semasa, kerana 2019 dan tahun mendatang mempunyai cabaran tersendiri terutama dari aspek tingkah laku kanak-kanak dan remaja, serta kesan dibawa perkembangan teknologi global.

Pelbagai faktor menyumbang kepada kesejahteraan mental rakyat dan ia dibahagikan kepada dua, iaitu risiko atau penyumbang, serta faktor pelindung. Kedua-duanya mempunyai dinamika sosial tersendiri dan mampu wujud pada masa sama.

Lantaran itu, kesejahteraan mental memerlukan rakyat mempunyai kemahiran daya tahan untuk banguna kembali. Ia bersifat dalaman seperti sikap, personaliti, lokus kawalan atau faktor luaran dalam persekitaran seperti sokongan sosial keluarga dan program pencegahan di pelbagai agensi.

Tingkat kualiti kesihatan mental

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, agar kerajaan menyasarkan 10,000 lay kaunselor pada 2019 dilihat agenda besar dalam inisiatif meningkatkan kualiti kesihatan mental rakyat.

Penggunaan istilah lay kaunselor bagaimanapun boleh dilihat kembali, kerana berisiko mengelirukan orang awam dan profesion kaunseling secara amnya. Penggunaan istilah tepat boleh memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terhadap orang awam yang memerlukan pertolongan psikologi, sekali gus melindungi kaunselor profesional dan profesion kaunseling itu sendiri.

Inisiatif itu perlu diberi pujian kerana menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan mental masyarakat Malaysia, lantas menawarkan usaha mengatasinya secara bersepadu.

Penjenamaan inisiatif ini boleh dibincang bersama oleh Lembaga Kaunselor Malaysia dengan Persatuan Kaunseling International Malaysia (PERKAMA International) dan lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bercirikan kerja menolong sedia ada.

Program latihan kemahiran diumumkan Dr Wan Azizah, menyasarkan individu yang berminat dalam kerja menolong secara sukarela. Ia bermula sejak 2015 melalui kerjasama erat antara Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah kementerian. Melalui program ini, pembimbing diberi latihan dan mereka yang berjaya menerima watikah kelayakan.

Kerja menolong membabitkan emosi individu perlu diurus secara bijak dan bersepadu. Menyedari hakikat kebanyakan mereka yang mempunyai kerumitan hidup tidak menyedari potensi dalaman sendiri untuk memperbaiki kehidupan, kewujudan pembimbing terlatih sebagai rakan atau barisan hadapan amat tepat.

Ini ditambah keengganan kebanyakan orang mendapatkan pertolongan profesional atau hanya menunggu apabila isu atau masalah bertukar menjadi konflik atau krisis.

Pembimbing dilatih untuk mendengar dan mengenal pasti simptom tingkah laku, menjadi sumber sokongan kepada mereka yang memerlukan. Pembimbing juga dilatih membuat rujukan kepada kaunselor berdaftar, sama ada pada peringkat kementerian atau lain-lain.

Perkhidmatan pembimbing perlu diselia kerana membabitkan emosi bagi pihak pelanggan dan mereka sendiri. Intervensi seperti psikologi sangat menekankan kepada membuat kebaikan dan menjauhi kemudaratan, sama ada kepada orang dibimbing atau orang awam.

Program kerjasama dengan Lembaga Kaunselor Malaysia perlu menyediakan ruang lingkup dan proses kerja serta tadbir urus lebih teratur, supaya pelbagai isu bersangkutan profesion kaunseling diambil kira.

Lembaga Kaunselor Malaysia adalah badan yang menyelia dan mengeluarkan tauliah sebagai kaunselor berdaftar, serta perakuan amalan seperti terkandung dalam Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).

Pembimbing melalui program singkat ini tidak mampu mengambil alih tugas kaunselor berdaftar yang sememangnya dilatih memberikan perkhidmatan kaunseling secara profesional, berteraskan ilmu dan prinsip psikologi. Namun seperti pembimbing rakan sebaya (PRS) di setiap sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta rakan AKRAB di setiap tempat kerja khususnya organisasi kerajaan, pembimbing ini pasti dapat menyumbang dalam amalan kerja menolong mereka sendiri, kerana akan memfokus kepada persekitaran keluarga dan komuniti.

Agenda utama kementerian

Strategi kesihatan mental seperti terkandung dalam Polisi Kesihatan Mental Kebangsaan (2012) dan Kerangka Kesihatan Mental Kebangsaan (2011), adalah selari dengan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2015-2025.

Aspirasi ini bersesuaian Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) diguna pakai bersama Perundangan Kesihatan Mental 2010.

Gandingan antara kerajaan, universiti, industri, NGO dan komuniti melalui intervensi berdasarkan bukti, memberi nafas baharu dalam kerja menolong bagi kesejahteraan mental rakyat. Semoga 2019 membawa impak positif terhadap tahap kesihatan mental rakyat Malaysia, melalui pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan, atau penjenamaan semula program sedia ada.

Yang penting, kerjasama bersepadu dengan pembabitan pelbagai pemegang taruh diperlukan dalam menjayakan agenda reformasi kerajaan.

Penulis adalah Profesor Kaunseling Pembangunan Manusia di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

147 dibaca
Berita Harian X