Sabtu, 12 Januari 2019 | 11:00am

Minda Pengarang: Pendirian jamin kepentingan Bumiputera

Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempunyai susur galur sejarah panjang sebagai institusi pengajian tinggi khusus untuk Bumiputera. Hampir 750,000 graduan Bumiputera menerima manfaat melalui penubuhannya. Namun hari ini dasarnya yang menetapkan syarat kemasukan hanya untuk Bumiputera menjadi polemik.

Mereka yang tidak bersetuju dengan dasar itu menyarankan kemasukan ke UiTM turut dibuka kepada bukan Bumiputera. Alasannya sebagai sebuah universiti awam ia perlu dibuka kepada semua rakyat Malaysia. Di sebelah pihak lagi mahukan UITM kekal sebagai universiti khusus untuk Bumiputera. Kebimbangan mereka jika ia dibuka kepada kaum lain, peluang untuk Bumiputera mendapat tempat akan berkurangan.

Di sebalik polemik, Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arsyad Ayub, menyarankan UiTM boleh dibuka untuk bukan Bumiputera, namun terhad kepada kursus pascasiswazah. Visi beliau selaku perintis yang menerajui penubuhan UiTM, mahu melihat potensi pendedahan lebih meluas kepada mahasiswa dengan kemasukan pelajar bukan Bumiputera. Bagi kita ia cukup realistik.

Benar ramai mahukan UiTM kekal sebagai universiti khusus untuk Bumiputera, namun era yang semakin mencabar menuntut modal insan yang mampu bersaing dan mendapat pendedahan lebih meluas. Langkah UiTM menerima kemasukan pelajar dari negara luar bagi peringkat pascasiswazah sedikit sebanyak sudah membuka ruang pelajar untuk lebih terdedah kepada kelompok bangsa berlainan dan bersaing. Jika UiTM boleh menyediakan tempat untuk pelajar luar negara, kenapa perlu disekat peluang untuk rakyat kita sendiri.

Apa pun kata putus terletak pada pengurusan UiTM. Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, sudah pun menegaskan UiTM akan kekal sebagai universiti khusus bagi Bumiputera. Apa pun kita harapkan pengurusan UiTM membuat kajian mendalam mengenai baik serta buruknya dan membuat pertimbangan sewajarnya.

Berita Harian X