Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:00am

Minda Pengarang: Kenaikan tarif air jangan membebankan

Bayangan kemungkinan berlakunya kenaikan tarif air, mengundang pelbagai reaksi khususnya kebimbangan ia bakal membebankan rakyat. Rata-rata melihat sebarang kenaikan yang membawa kesan langsung kepada rakyat tidak sesuai dilaksanakan ketika rakyat masih cuba menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup. Ia sudah tentunya mengundang pelbagai isu lain termasuk menaikkan harga barang. Justeru, ramai percaya usaha mendidik rakyat supaya menggunakan air secara berhemah lebih sesuai ketika ini, berbanding membebani mereka dengan kenaikan kadar tarif.

Rakyat mungkin boleh menerima kenaikan tarif, tetapi kualiti perkhidmatan air perlu terlebih dahulu dipertingkatkan. Ini berikutan banyak rungutan mengenai kawasan tertentu yang berdepan masalah gangguan bekalan dan kualiti air kurang memuaskan. Harapan rakyat pastinya untuk melihat tiada kenaikan tarif dalam tempoh terdekat, tetapi jika tidak dapat juga dielakkan, sekurang-kurangnya ia perlu dipastikan tidak terlalu membebankan, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah. Justeru, program bekalan air percuma dilaksanakan di beberapa negeri harus diteruskan atau diperluas. Ia ibarat tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat air kepada pengguna.


- Gambar hiasan

Menilai kenaikan tarif air, Pulau Pinang contohnya memberi gambaran kenaikan kadar 20 peratus, namun memberi jaminan ia paling rendah berbanding kadar tarif air di negeri lain. Kita harap agensi pengurusan bekalan air di setiap negeri, tidak terlalu melihat keuntungan semata-mata. Sebaliknya mengambil kira kedudukan rakyat khususnya pengguna domestik dalam menentukan kadar tarif air bersesuaian bagi setiap negeri. Kerajaan pula perlu memantau kenaikan itu jika berlaku, supaya ada keseragaman.

Harapan pilihan raya paling bersih

Negara bakal berdepan satu lagi pilihan raya kecil (PRK), kali ini di Parlimen Cameron Highlands. Berlangsung 26 Januari ini, PRK ini kelima buat negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Empat PRK sebelum ini, termasuk tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, iaitu Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia, serta Parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan. PRK Cameron Highlands susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivarraajh, pada PRU-14 berikutan salah laku rasuah.

Menjelang penamaan calon Sabtu ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau perjalanan proses itu sepanjang kempen hingga hari pengundian. Inisiatif itu cukup bernas, mengambil kira isu rasuah membabitkan calon kerusi Cameron Highlands ketika PRU-14. Sekurang-kurangnya, semua calon bertanding kali ini sedar mereka diperhatikan. Ia sekali gus memberi amaran supaya berhati-hati jika mana-mana pihak berniat mengambil tindakan melanggar undang-undang, peraturan atau etika kempen pilihan raya. Pelanggaran peraturan atau etika kempen tidak semestinya membabitkan rasuah, tetapi lebih meluas. Ini termasuk penyalahgunaan jentera atau sumber kerajaan sebagai keistimewaan bagi calon tertentu untuk berkempen. Ketika PRK Port Dickson contohnya, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merekodkan 10 kesalahan dan salah laku membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS. Ia hasil pemantauan pada hari pencalonan, sepanjang kempen pilihan raya, pengundian awal, hari mengundi dan proses pengundian.

Peranan PDRM dan SPRM bersama SPR kali ini, sekurang-kurangnya memperkukuh kuasa pemantauan sedia ada, ditambah peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil setiap calon atau parti bertanding. Kita menaruh harapan tinggi untuk melihat PRK Cameron Highlands menjadi pentas pilihan raya paling bersih.

113 dibaca
Berita Harian X