Rabu, 5 Disember 2018 | 11:08am

Khidmat bas sekolah haram perlu dibanteras

USAHA mengatasi pengusaha bas sekolah yang tidak berdaftar atau haram bukan perkara baharu, malah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sendiri mengakui ia sudah berlarutan sejak 30 tahun lalu.

Berdasarkan statistik terkini, hanya 14,809 bas sekolah berdaftar, sekali gus tidak setimpal dengan jumlah 3.9 juta pelajar sekolah di seluruh negara.

Perbandingan itu lebih membimbangkan apabila Tan Sri Syed Hamid Albar ketika menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pernah mendedahkan lebih 50,000 bas sekolah di seluruh negara dipercayai masih beroperasi secara haram dan belum berdaftar dengan agensi di bawah SPAD pada 2013.

Mengambil kira angka itu, ini bermakna setiap bas sekolah berdaftar, ada dua dan tiga lagi kenderaan haram yang turut membawa anak-anak kita berulang-alik dari rumah ke sekolah.

Berleluasanya operasi bas sekolah haram itu sudah tentu turut berpunca daripada permintaan dan penawaran yang membabitkan ibu bapa sendiri. Dalam situasi ibu bapa sibuk mengejar dan membina kerjaya masing-masing sehingga terpaksa keluar awal pagi dan pulang malam.

Kita ‘menyerahkan’ tanggungjawab menghantar dan mengambil anak di sekolah kepada pengusaha bas. Malangnya, hal itu dilakukan tanpa mengambil kira sama ada kenderaan terbabit berdaftar atau tidak dan tidak mengambil tahu adakah status kenderaan yang digunakan mengikut piawaian ditetapkan.

Ini sekali gus mendedahkan anak-anak kepada risiko kemalangan yang berlaku akibat kecuaian pemandu atau kerosakan mekanikal.

Mengikut peraturan, setiap pemandu bas sekolah perlu mempunyai Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), manakala kenderaan pula wajib menjalani pemeriksaan berkala dan mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Malah, pengusaha juga perlu melakukan pemeriksaan dalam aspek keselamatan seperti cermin kenderaan yang berkeadaan baik dan alat pemadam api masih berfungsi.

Dalam hal ini, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk memastikan hanya van serta bas sekolah berdaftar sahaja dibenarkan beroperasi dan memantau kehadiran kenderaan haram serta melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Kerjasama dengan pengusaha berdaftar juga perlu dipergiatkan seperti mengedarkan senarai van serta bas yang sah kepada ibu bapa. Kerajaan juga tidak harus berkompromi dalam isu bas sekolah tidak berdaftar ini kerana ia membabitkan keselamatan pelajar.

Langkah melakukan pemutihan bas yang tidak berdaftar selewat-lewatnya tahun depan dengan mewujudkan mekanisme terbaik untuk menjayakannya tidak boleh lagi hanya menjadi halwa telinga setiap kali pertemuan pihak kementerian dengan pengusaha bas. Sebaliknya memerlukan pelan yang komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya pelajar itu sendiri.

Kementerian Pengangkutan juga boleh memperkenalkan langkah tambahan untuk menambah baik perkhidmatan bas sekolah seperti pengenalan gred berdasarkan kualiti pemandu, kenderaan dan maklum balas daripada sekolah serta ibu bapa.


MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke menjawab pertanyaan media pada sidang media berkenaan pendaftaran kenderaan persendirian yang digunakan bas sekolah dan berkenaan isu Sistem Instrumen Pendaratan Lapangan Terbang Seletar di Singapura di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

Kita mengharapkan perbincangan mengenainya tidak hanya terarah kepada isu kos dan tambang sehingga perkara pokok dikesampingkan tetapi lebih kepada justifikasi menaikkan harga perkhidmatan.

Persoalan sebenar mengenai keselamatan pelajar bermula ketika mengambil, membawa dan menurunkan mereka di sekolah serta rumah masing-masing seharusnya menjadi keutamaan.

Kita juga berharap soal ini diatasi secepat mungkin dan tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk diselesaikan dengan mengulang kembali fiil lama, bak kata pepatah ‘terperlus maka hendak menutup lubang.’ Apatah lagi lubang yang belum ditutup itu boleh menjerumuskan anak-anak kita kepada bahaya.

195 dibaca
Berita Harian X