Selasa, 4 Disember 2018 | 11:01am

Beli makanan ikut keperluan elak membazir

PEMBAZIRAN makanan dalam kalangan masyarakat negara ini semakin membimbangkan dan kini pada peringkat kritikal. Secara purata, seorang rakyat Malaysia membuang satu kilogram makanan setiap hari.

Pendedahan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai perkara ini sepatutnya membuka mata semua warga negara supaya tidak membazir makanan.

Bukan setakat di rumah, biasanya pemilik restoran dan hotel juga membuang banyak makanan. Ini boleh dilihat dalam hidangan bufet, iaitu pelbagai jenis makanan dan minuman diambil setiap tetamu dalam kuantiti yang banyak dan tidak dapat dihabiskan, sekali gus ditinggalkan di meja untuk dibuang oleh pekerja.

Secara lebih tepat, rakyat Malaysia dilaporkan membuang tidak kurang 3,000 tan makanan yang masih boleh dimakan setiap hari dan jumlah itu bertambah pada musim perayaan. SWCorp, syarikat pengurusan sisa pepejal dilantik kerajaan pernah merekodkan 615,000 tan makanan dibazirkan selepas majlis berbuka tamat.

Ini tidak termasuk pembaziran ketika menyambut sesuatu perayaan kaum dan kenduri perkahwinan. Bagi orang Islam, perbuatan membazir dianggap amalan syaitan dan tidak sepatutnya tabiat buruk itu menjadi amalan seharian.

Pengumuman Dr Wan Azizah bahawa kerajaan akan menggubal Akta Pembaziran Makanan untuk menangani isu pembaziran makanan dalam kalangan rakyat seharusnya menyedarkan pelbagai pihak bahawa ia sebenarnya merugikan mereka sendiri. Hakikatnya, peningkatan kos sara hidup boleh diminimumkan jika setiap rakyat membeli makanan mengikut keperluan keluarga atau individu, bukannya membeli mengikut nafsu.


PEMBAZIRAN makanan dalam kalangan masyarakat negara ini semakin membimbangkan dan kini pada peringkat kritikal. - Foto hiasan

Cadangan kerajaan, termasuk mengenakan denda kepada pelanggan di hotel dan restoran yang membazirkan makanan juga antara usaha awal kerajaan untuk mendidik rakyat negara ini supaya tidak membazir dan menghargai makanan.

Malaysia, misalnya boleh mencontohi beberapa negara luar seperti Turki, Perancis dan Denmark yang mengambil pendekatan proaktif dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan.

Misalnya, kempen mengurangkan pembaziran roti secara besar-besaran di Turki pada 2013 amat berjaya dengan sokongan padu presiden, selain menjalin kerjasama aktiviti dan promosi yang bukan sahaja membabitkan agensi kerajaan tetapi juga syarikat swasta, pihak hotel, restoran dan media. Hasilnya, kempen itu berjaya mengurangkan pembaziran roti yang bernilai 2.8 bilion lira Turki dalam tempoh setahun.

Perancis boleh dijadikan negara contoh dalam pembangunan dasar mengurangkan pembaziran makanan dengan pasar raya digalakkan untuk menyerahkan produk makanan sama ada segar atau produk proses kepada bank makanan. Paling menarik, serahan berkenaan akan dinilai dan diberi pengecualian cukai.

Berbeza di Denmark, pembabitan secara sukarela amat digalakkan kerajaan, sekali gus tertubuhnya bank makanan bagi menampung keperluan harian yang didermakan oleh pelbagai pihak.

Kita percaya Program Food Bank Malaysia yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meniru model yang sudah berjaya dilaksanakan di negara luar, terutama Denmark.

Rakyat kita seharusnya tidak lupa bahawa ramai di luar sana yang tidak cukup makanan, malah di sesetengah negara yang dilanda kemarau atau peperangan, ramai yang menderita kerana kebuluran, malah terpaksa mengutip sisa makanan dari tong sampah atau makan rumput untuk kelangsungan hidup. Bertuahnya bumi Malaysia yang kaya dengan makanan setiap hari.

312 dibaca
Berita Harian X