Isnin, 3 Disember 2018 | 11:01am

Perkara 153 jamin hak semua kaum

TERDAPAT kumpulan yang menjadikan istilah bangsa Malaysia sebagai satu slogan politik untuk mencabar kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 ialah peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia.

Barangkali kerana kurang memahami sejarah watan tanah air dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, hari ini terdapat dua kumpulan yang saling bertentangan.

Kumpulan pertama, mereka yang tidak boleh menerima istilah bangsa Malaysia sama sekali kerana menurut mereka istilah itu menghapuskan kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi.

Kumpulan kedua, mereka yang mencabar Perkara 153 kerana berpendirian tidak perlu lagi ada diskriminasi kaum di Malaysia.

Desakan semak status kewarganegaraan bawa ketegangan

Terkesan dengan cabaran itu, timbul desakan oleh kumpulan pertama kepada kerajaan untuk menyemak semula status kewarganegaraan kumpulan kedua. Keadaan ini pastinya boleh membawa kepada ketegangan antara kaum, apatah lagi orang Melayu adalah rakyat majoriti Malaysia.

Istilah orang Melayu di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan berbeza dengan bangsa Melayu kerana Perjanjian Persekutuan Melayu 1948 memperluaskan takrifan bangsa Melayu apabila menerima kemasukan kaum bukan bangsa asal Tanah Melayu sebagai warganegara Persekutuan.

Kefahaman yang betul mengenai istilah jati diri, watan, etnik, bangsa dan kedudukan Perkara 153 mampu mengeluarkan pembahas daripada kepompong sempit yang sekian lama gagal melihat keperluan untuk mengukuhkan perpaduan nasional berteraskan keadilan sosial mengikut acuan watan.

Pada hakikatnya, Perkara 153 meletakkan kewajipan ke atas Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, bahkan kepentingan sah kaum lain sebagai warga negara Malaysia.

Kepentingan Perkara 153 perlu dilihat dari sudut sejarah kerana Raja-Raja Melayu dalam Perjanjian Negeri 1948 telah memberi komitmen kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, kemajuan ekonomi, kebajikan sosial dan penyertaan dalam perkhidmatan kerajaan.

Pelihara kepentingan kaum lain

Apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 digubal bagi maksud pembentukan sebuah persekutuan, perkara yang menyentuh kepentingan orang Melayu sebagai bangsa asal terus diberi perhatian.

Hal ini tidak pelik kerana melalui kuat kuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Raja-Raja Melayu juga memperkenankan bangsa dan kaum asing diterima masuk sebagai warganegara.

Lantaran itu, kedudukan istimewa orang Melayu diletak di bawah tanggungjawab khas Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan, yang juga berfungsi untuk memelihara kepentingan sah kaum lain.

Realiti yang ada pada hari ini menunjukkan ekonomi dan kekayaan Malaysia masih dikuasai kaum bukan Melayu dan bukan anak-anak negeri.

Kedudukan itu bukti kukuh bahawa Perkara 153 bukanlah satu dasar yang menghalang kaum bukan Melayu dan anak negeri untuk meraih kekayaan, jauh sekali bersifat diskriminasi yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

Sebaliknya, Perkara 153 ialah susulan daripada komitmen Raja-Raja Melayu di bawah Perjanjian Negeri 1948 sebelum bangsa dan kaum asing diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Kewajaran peruntukan sedemikian boleh dilihat dari sudut sejarah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Apabila British campur tangan dalam hal ehwal Tanah Melayu, doktrin nasihat yang diperkenalkan melalui perjanjian dengan Raja-Raja Melayu mengubah struktur ekonomi dan penyertaan ahli perniagaan Melayu yang terdiri daripada pedagang, peniaga dan pengusaha dalam pelbagai bidang, terutama perdagangan dalam negeri dan serantau.

Dasar penasihat British lebih berpihak kepada golongan kapitalis dan secara tidak langsung mengambil alih kawalan dan penguasaan ekonomi daripada pembesar dan ahli perniagaan Melayu.

Kepentingan luar British mengakibatkan pelabur dan pekerja asing dibawa masuk secara besar-besaran. Tindakan itu pada hakikatnya untuk memenuhi keperluan ekonomi British, bukannya berpusat pada pembangunan tempatan di Tanah Melayu.

Menyumbang pembangunan infrastruktur

Namun, tidak dinafikan aktiviti ekonomi hasil daripada dasar British itu menyumbang kepada pembangunan infrastruktur, pengurusan pentadbiran moden dan perkhidmatan sosial di Tanah Melayu.

Faktor yang membawa kemajuan di Tanah Melayu turut disumbangkan oleh tanggungjawab British di bawah perjanjian dengan Raja-Raja Melayu untuk melindungi negeri-negeri Melayu daripada ancaman luar dan menjaga ketenteraman awam dalam negeri mereka.

Pada asasnya, pembangunan infrastruktur, sistem pentadbiran moden dan perkhidmatan sosial yang diwujudkan untuk menyokong aktiviti ekonomi dan kepentingan British secara keseluruhannya di Tanah Melayu.

Hal yang sama berlaku kepada anak-anak negeri di Sabah dan Sarawak yang turut terjejas dengan dasar British di dalam negeri masing-masing.

Kewujudan dasar kuota di bawah Perkara 153 hanyalah merangkumi perizaban pada kadar munasabah yang difikirkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi jawatan dalam perkara-perkara berikut: Perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesebuah negeri) Biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan Permit atau lesen pertukangan atau perniagaan.

Dalam peruntukan Perkara 153, dimasukkan sekatan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang dalam perkhidmatan awam atau pemegang biasiswa atau penerima danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, demi melaksanakan fungsi baginda di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sekatan yang sama diperuntukkan dalam pengurusan permit dan lesen perniagaan.

Oleh sebab dasar di atas diperuntukkan menurut undang-undang, tidak wajar sama sekali kedudukan itu dipertikai.

Apa yang lebih penting dan perlu diberi fokus sebenar ialah kaedah pelaksanaan Perkara 153 yang perlu disemak untuk memastikan tiada seorang pun bangsa Malaysia dinafikan perlindungan pada sisi undang-undang dan hak terhadap keperluan asasi.

Tiga lapisan masyarakat

Justeru, Perlembagaan Persekutuan memberi kewajipan khas kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan orang Melayu dan anak-anak negeri serta kepentingan sah kaum lain.

Bagi maksud itu, kerajaan boleh mengambil pendekatan berlapis untuk menyusun semula sosioekonomi bangsa Malaysia.

Terdapat tiga lapisan besar masyarakat dari sudut sosioekonomi dengan lapisan pertama ialah golongan korporat.

Kerajaan boleh mewujudkan usaha sama, insentif dan peluang pelaburan buat usahawan Melayu dan anak-anak negeri (termasuk Orang Asal) yang berwibawa untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam senarai 100 orang terkaya di Malaysia.

Kedua, masyarakat dalam lapisan umum. Kerajaan perlu mengkaji semula bagi penambahbaikan dari sudut pelaksanaan dasar di bawah Perkara 153 untuk menyusun taraf ekonomi dan sosial yang lebih sepadan antara kaum.

Ketiga, kumpulan terdesak. Kerajaan perlu merangka dasar tanpa mengira batasan agama dan kaum untuk mengeluarkan ahli kumpulan itu daripada kemiskinan tegar melalui skim bantuan pendidikan dan latihan vokasional atau yang bersesuaian.

Kesimpulannya, Perkara 153 adalah satu prinsip perlembagaan yang membenarkan pelaksanaan dasar keseimbangan antara kaum diwujudkan.

Malah peruntukan itu perlu dikekalkan untuk memastikan pada masa hadapan, kaum majoriti tidak berasa hak mereka dinafikan kerana kewujudannya terbukti tidak menafikan peluang mana-mana kaum untuk menjadi kaya raya.

512 dibaca
Berita Harian X