Ahad, 2 Disember 2018 | 11:01am
INSIDEN perbalahan di kuil Sri Maha Mariamman, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Malaysia tinggal nama jika abai konsep kenegaraan

PERISTIWA 13 Mei 1969 banyak mengubah kehidupan rakyat di negara ini. Walaupun sesetengah pihak menganggap ia satu titik hitam dalam sejarah, tetapi bagi penulis, peristiwa itu satu rahmat yang amat besar kepada negara, jika kita mengambil iktibar daripadanya.

Bayangkan, jika tidak berlaku peristiwa berdarah itu, kemungkinan besar kita tidak mengetahui akan situasi ‘bom jangka’ yang sentiasa ada dalam hati sanubari rakyat berbilang bangsa ini.

Isnin lalu, sedihnya, rakyat negara ini seperti tidak pernah belajar apa-apa daripada sejarah.

Berlaku sekali lagi rusuhan yang agak besar. Walaupun dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak berkuasa sebagai rusuhan kaum, daripada mata kasar ia tidak kelihatan tidak begitu.

Semua ini bermula apabila kita, rakyat Malaysia gagal menjadikan dan memahami Rukun Negara dengan pentafsiran yang begitu liberal.

Hakikatnya, kepada mereka yang mudah lupa, Rukun Negara mempunyai lima prinsip utama, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Panduan kerohanian

Kepercayaan kepada Tuhan dimaksudkan sebagai bangsa dan negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah menjadikan bangsa dan negara kita sebagai satu bangsa dan negara yang mempunyai panduan kerohanian.

Kesetiaan Kepada Raja dan Negara pula bermaksud bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja di negeri.

Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau Perlembagaan itu sendiri.

Keluhuran Perlembagaan Persekutuan terletak pada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang.

Semua undang-undang lain hendaklah tidak bertentangan dengan Perkara 4(1).

Kedaulatan Undang-Undang pula membawa kepada keadilan bahawa setiap rakyat sama taraf pada sisi undang-undang. Tanpa undang-undang, negara tidak dapat mencapai keamanan dan kestabilan.

Kesopanan dan kesusilaan menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku setiap rakyat.

Ini bertujuan membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila selaras kempen budi bahasa serta nilai murni yang dijalankan.

Bentuk negara bangsa

Mahu atau tidak, setiap rakyat Malaysia perlu mematuhi semua perkara yang termaktub dalam Rukun Negara supaya usaha membentuk sebuah negara bangsa dapat dijayakan.

Peristiwa di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, membuktikan Rukun Negara yang dibentuk selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969 kini banyak tidak dipatuhi, yang akhirnya akan melambatkan lagi usaha mengukuhkan perpaduan di negara ini.

Apatah lagi jika kita mengambil contoh Keluhuran Perlembagaan yang gagal didukung sebilangan rakyat Malaysia apabila mempersoalkan perkara yang berkaitan agama, kebebasan bersuara dan penghakiman mahkamah yang disifatkan boleh membawa negara kepada kehancuran.

Bina kesatuan

Penulis berasakan sebagai negara berbilang bangsa dan agama, kita mesti hidup dalam kerukunan.

Kalau tidak, ketahanan negara pasti tidak dapat dibina, sebaliknya akan membawa kepada kehancuran ekonomi yang merugikan negara secara mutlak.

Sebarang salah laku membabitkan rusuhan perlu dihukum.

Penguatkuasaan undang-undang bukan untuk menghukum, tetapi memastikan kerukunan sesuatu perkara dapat berlangsung dengan sempurna bagi kebaikan semua.

Kepada mereka yang masih tidak pernah sedar keperitan hidup dalam ketakutan, ketahuilah Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi yang mesti dijaga dan jangan dilanggar secara sengaja.

Ketika ini, kita masih dalam proses pembentukan sebuah negara bangsa yang jitu. Satu bangsa yang bersatu padu di negara moden yang maju.

Daripada latar belakang kepelbagaian yang ada, kita akan bina sebuah kesatuan. Matlamat ini pastinya tidak akan tercapai di bawah pemerintahan yang longgar, apatah lagi jika kebebasan yang melampau diberikan kepada rakyat untuk bertindak.

Hayati Perlembagaan

Orang politik dan pemimpin tidak kira agama dan bangsa, perlu menginsafi dan menyedari bahawa tanggungjawab memupuk kebersamaan ialah hak bersama, bukan melaga-laga serta mendorongkan perbezaan yang memecahkan.

Pastinya, Malaysia akan hanya tinggal nama tanpa isi pada masa akan datang sekiranya konsep kenegaraan terbiar dan tinggallah kulit bersepah tanpa isi.

Apakah kerana perbalahan politik atau kepentingan perkauman yang keterlaluan di Malaysia kian mengambil tempat pada awal abad ke-21 ini, maka sehingga semacam tidak lagi dipertahankan prinsip Keluhuran Perlembagaan sebagai ideologi negara dalam Rukun Negara?

Wahai rakyat Malaysia, jika tanggungjawab Perlembagaan ini gagal dihayati dan dilaksanakan, bagaimanakah matlamat utama perpaduan negara bangsa ini dapat dicapai? Perpaduan hanya akan bertambah kukuh dengan wujudnya kestabilan politik di antara kaum dan etnik, merentasi agama.

Yang penting, citra Malaysia mesti jelas bahawa negara berdaulat ini memiliki kepelbagaian yang perlu diraikan berdasarkan Rukun Negara yang dipersetujui bersama.

Malaysia baharu sepatutnya membina teladan mengukuhkan aspirasi Perlembagaan kita, bukan mengadaptasi liberalisasi untuk kepentingan sesetengah pihak

398 dibaca
Berita Harian X