Sabtu, 1 Disember 2018 | 11:01am

Perbetul semula landasan FELDA

TIADA siapa dapat menafikan kejayaan FELDA atau nama penuhnya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan yang ditubuhkan hasil ilham Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Kedua yang digelar Bapa Pembangunan Negara.

Sejak ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956, agensi itu ternyata berjaya mencapai objektifnya bagi membasmi kemiskinan melalui pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat luar bandar.

Dalam tempoh 1958 hingga 1990, seramai 112,635 peneroka ditempatkan di seluruh tanah rancangan FELDA, memulakan usaha dengan membanting tulang membuka hutan belantara menjadi tapak kediaman dan tempat berladang.

Sejak 1994, kerajaan tidak lagi menyalurkan apa-apa peruntukan kepada agensi itu, sebaliknya diberi kepercayaan untuk berdiri sendiri dengan membina kekuatan untuk menjana kewangan sendiri.

FELDA kemudian menjadi badan berkanun yang menjana pendapatan melalui pelbagai perniagaan, terus berkembang menjalankan peranan utama, selain menyediakan infrastruktur yang lengkap dan moden di kawasan tanah rancangan bagi meningkatkan sosioekonomi dan kualiti hidup warga peneroka.

Selepas enam dekad, FELDA adalah manifestasi deretan kejayaan kerajaan, dalam usaha membasmi kemiskinan, merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar serta menjadi institusi ekonomi dan sosial kepada masyarakat Melayu.

Harapan kerajaan terhadap FELDA semakin tinggi, lalu tertubuh Felda Global Ventures Holdings Bhd, syarikat agribisnes global dan pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia serta penapis minyak sawit Malaysia kedua terbesar sebelum nama komersial berubah menjadi FGV Holdings Berhad (FGV).

Episod seterusnya menyaksikan kisah kejayaan FELDA dan FGV kian menjadi tumpuan dan mencipta nama pada peringkat antarabangsa, namun beberapa tahun kebelakangan ini, ia diselubungi pelbagai kontroversi kerana pelan perniagaan dan pelaburan yang banyak menimbulkan kesangsian.

Pada 2017, siasatan demi siasatan dilakukan ke atas FGV, anak syarikat dan individu berkaitan atas dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa, sehingga perkembangan terbaru yang mengejutkan apabila syarikat itu memfailkan saman ke atas 14 bekas pegawai pengurusan dan ahli lembaga pengarahnya sendiri.

Tindakan saman ke atas mereka, termasuk bekas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah serta bekas Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung pembelian Asian Plantation Limited (APL) pada 2014 yang kerugian, selain didakwa ada unsur penyelewengan dalam beberapa urus niaga pembelian hartanah di dalam dan luar negara.


FGV Holdings Bhd telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, menuntut lebih RM7.69 juta dalam bentuk ganti rugi. - Foto NSTP

Kelmarin pula, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid mengumumkan kumpulan syarikat itu mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM911 juta dalam tempoh tiga bulan berakhir September 2018, termasuk pelarasan susut nilai RM788 juta.

Pengumuman itu seakan-akan menjawab persoalan Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK) yang membangkitkan pelbagai isu berkaitan tanah dan ladang FELDA selepas dipajak oleh FGV selama 99 tahun susulan penyenaraian kumpulan itu pada 28 Jun 2012.

Menurut persatuan itu, kepentingan dalam FELDA Holdings sebanyak 51 peratus turut dibeli FGV, menyebabkan sumber pendapatan FELDA hilang hampir 60 peratus dan mencatat defisit pendapatan RM1 bilion setiap tahun.

Kita percaya isu ini hanya sekelumit dan yakin lebih banyak pendedahan diumumkan serta lebih banyak persoalan bakal diperjelaskan kerajaan dalam laporan interim kertas putih berhubung isu FELDA yang dijangka dibentangkan di Parlimen sedikit masa lagi. Memang banyak dakwaan berlaku ‘perkara pelik’ dan tuduhan pemborosan kewangan FELDA dilaporkan sejak 2011, namun kita amat berharap agensi itu belum menyimpang jauh daripada landasan asal penubuhan dan segala kepincangan, diharap boleh diperbetulkan.

1513 dibaca
Berita Harian X