Isnin, 26 November 2018 | 11:00am

Impak sistem kewangan Islam kepada Malaysia

PADA Forum Kewangan Islam Global 2018 yang berlangsung pada awal Oktober lalu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah menyarankan agar satu rangka kerja bagi menilai impak sistem kewangan Islam ke atas ekonomi seharusnya menjadi agenda seterusnya bagi sistem kewangan ini dalam membentuk hala tuju pembangunannya.

Beliau menjelaskan impak utama kewangan Islam terhadap ekonomi adalah kurang jelas dan mencadangkan agar sistem kewangan berkenaan pada masa akan datang perlu mempunyai ciri nilai tambah (value added) dan perlu berasaskan nilai (value-based).

Apa yang diutarakan Zeti mencerminkan pandangan jauh beliau terhadap peranan yang sepatutnya dimainkan oleh sistem kewangan ini kepada ekonomi dan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam suasana persaingan perniagaan sekarang.

Dalam perkembangan berkaitan, BNM memulakan langkah ke arah itu. Sebagai contoh pada Mac lalu, bank pusat itu mengeluarkan kertas strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based intermediation) atau VBI.

VBI ditakrifkan sebagai fungsi perantaraan yang dimainkan oleh sektor kewangan yang bertujuan menghasilkan matlamat-matlamat kewangan yang digariskan oleh syariah.

Matlamat ini boleh dihasilkan menerusi pelbagai pendekatan kewangan yang menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti serta alam sekitar dan pada sama, ia konsisten dengan pulangan yang mampan dan kepentingan jangka panjang pemegang saham.

Berdasarkan definisi VBI ini, jelas kepada kita, ia ada kaitan dengan usaha untuk mencapai matlamat kewangan yang digariskan oleh syariah.

Sekiranya sistem kewangan Islam ini memenuhi apa yang diinginkan oleh syariah, ia secara tidak langsung juga memenuhi apa yang disarankan oleh Zeti tadi, iaitu ia memberi nilai tambah kepada ekonomi dan pada masa sama memberi nilai kepada kesejahteraan masyarakat.

Pemangkin pertumbuhan ekonomi

Seperti yang kita tahu, sistem kewangan Islam adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Islam. Melalui kewujudan sistem kewangan Islam, umat Islam baik golongan pengusaha, pelabur mahupun pengguna biasa, dapat menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh sistem kewangan ini untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Secara sepintas lalu, kalau kita lihat kepada sumbangan sistem kewangan Islam ini kepada masyarakat pelabur, pengusaha dan pengguna biasa, kita boleh buat satu rumusan kasar bahawa industri ini telah mewujudkan satu sistem kewangan baharu yang membantu umat Islam untuk mengelak terbabit dengan unsur-unsur riba iaitu tunjang sistem kewangan konvensional.

Memang benar, sistem kewangan Islam adalah satu sistem yang bebas riba, namun kita perlu tahu apa falsafah dan matlamat sebenar di sebalik penubuhan sistem kewangan dan perbankan Islam oleh ahli ekonomi Islam beberapa dekad dahulu.

Apa yang pasti, selain mewujudkan satu sistem kewangan yang bebas riba, penubuhan bank Islam pada asalnya ialah untuk menjadi satu platform di mana ia boleh menjadi pemangkin kepada proses pembangunan.

Pembangunan yang dimaksudkan oleh pemikir ekonomi Islam ialah pembangunan yang berasaskan kepada prinsip moral etika dan kebajikan.

Prinsip pembangunan yang bermoral pula merujuk kepada satu bentuk pembangunan sosioekonomi yang adil, saksama yang turut didokong oleh semangat persaudaraan dan tolong menolong sesama Islam.

Persoalannya, adakah sistem perbankan sekarang berjaya merealisasikan matlamat asas penubuhan bank Islam ini seperti yang diimpikan oleh pelopor serta ahli ekonomi Islam yang terdahulu?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu lihat di mana kedudukan sistem kewangan Islam dalam konteks disiplin ekonomi Islam.

Pada hakikatnya sistem kewangan Islam hanyalah satu manifesto sistem ekonomi Islam.

Ahli ekonomi mengilhamkannya sebagai satu wasilah untuk merealisasikan matlamat sistem ekonomi Islam, jadi secara tidak langsung, sistem kewangan Islam adalah satu subset kepada sistem ekonomi Islam.

falsafah perlu selari matlamat induk

Oleh yang demikian, matlamat dan falsafah sistem kewangan Islam seharusnya selari dengan matlamat dan falsafah induknya.

Dengan kata lain, falsafah dan matlamat kewujudan sistem kewangan Islam perlu sama dengan falsafah dan matlamat sistem ekonomi Islam.

Kebanyakan ahli ekonomi Islam seperti Khurshid Ahmad, MS Chaudhry, MA Khan, Maududi dan M Umer Chapra sebagai contoh, menggariskan bahawa objektif utama yang melatari falsafah ekonomi Islam ialah untuk mencapai al-falah iaitu kejayaan yang sebenar di dunia dan akhirat.

Caranya ialah menerusi pendekatan tauhid, iaitu dengan menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan dalam mengurus sumber yang ada di muka bumi ini.

Prinsip dianjurkan oleh Islam dalam pengurusan sumber ini adalah seperti keadilan, taqwa, persaudaraan (ukhuwah), khilafah, ihsan dan sebagainya.

Secara ringkasnya, jika semua pihak termasuk sektor kewangan bersikap adil, bertaqwa, mempunyai ihsan dan mengamalkan nilai-nilai persaudaraan Islam yang kukuh ketika melakukan sebarang muamalat atau urusan seharian, maka masalah ekonomi seperti kemiskinan, ketaksamaan agihan kekayaan, penindasan dan sebagainya tidak akan wujud. Realitinya ini tidak berlaku.

Dewasa ini, masalah kemiskinan dalam kalangan umat Islam, baik di negara ini mahupun di mana-mana tempat di dunia amat ketara. Begitu juga dengan isu ketaksamaan agihan kekayaan, penindasan dan lain-lain.

Perlu ada matlamat hendak dicapai

Jadi berbalik kepada persoalan adakah sistem kewangan Islam sekarang berjaya merealisasikan matlamat asas penubuhannya, jawapannya bergantung kepada sejauh mana sistem kewangan Islam - selain berjaya mewujudkan satu sistem kewangan bebas riba - berjaya menterjemahkan prinsip keadilan, taqwa, persaudaraan, prinsip khilafah dan kesatuan di dalam operasi harian mereka.

Hakikatnya adalah satu yang agak ideal atau utopia jika kita ingin lihat sistem kewangan Islam beroperasi secara total berdasarkan kepada teori sistem ekonomi Islam seperti yang digariskan ahli ekonomi Islam.

Bagaimanapun, adalah lebih baik jika kita ada satu matlamat yang hendak dicapai walaupun apa yang digariskan tadi agak ideal.

Sekurang-kurang, jika kita tidak dapat mencapainya pada tahap 100 peratus, kita dapat 80 atau 90 peratus daripada apa yang diinginkan adalah lebih baik daripada kita tidak mempunyai apa-apa sasaran yang realistik.

Walaupun secara relatifnya masih baharu berbanding sistem kewangan konvensional, sistem kewangan Islam diharap boleh menjadi pemangkin dan alat bagi mencapai matlamat ekonomi Islam yang digariskan oleh cendekiawan Muslim.

300 dibaca
Berita Harian X