Ahad, 25 November 2018 | 11:05am
- Gambar hiasan

Sedia hadapi serangan 'sengit' jenayah siber

Perkembangan pesat transformasi digital hari ini mencetuskan ancaman keselamatan siber yang semakin menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan organisasi sama ada sektor awam mahu pun swasta.

Tanpa pertahanan sempurna, mereka boleh menjadi sasaran serangan luar jangka ini pada bila-bila masa. Kesannya bukan sahaja membabitkan kerugian kewangan yang besar, malah mampu menjejaskan reputasi syarikat.

Jika beberapa tahun dulu pemilik perniagaan mungkin hanya bimbangkan masalah kegagalan rangkaian atau pelayan yang boleh menjejaskan syarikat, namun kebelakangan ini keselamatan siber semakin menjadi kerisauan baru buat mereka.

Perkara ini diakui Pengarah Urusan Tech Data, Mano Govindaraju dalam ucapannya ketika sambutan hari keselamatan siber syarikat pengedar produk, perkhidmatan dan penyelesaian teknologi global itu, baru-baru ini.

Langkah kerajaan memperkenalkan dasar ke arah Industri 4.0 atau Industry4WRD sebagai persiapan negara dalam mengukuhkan reformasi penstrukturan negara turut mempercepatkan perjalanan transformasi digital kebanyakan syarikat perniagaan negara ini menjelang beberapa tahun akan datang.

Jika dilihat dari sudut positif, ancaman keselamatan siber sendiri menjadi penyumbang dalam mempersiapkan diri sebelum kita menyaksikan transformasi digital sepenuhnya menjadi kenyataan. Sehubungan itu, jaminan keselamatan siber dengan platform yang selamat amat penting.

Cathay Pacific digodam

Serangan penggondam yang berlaku terhadap syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific bukan hanya menjadi bualan ramai, tetapi turut menyebabkan reputasinya terjejas teruk apabila lebih 9.4 juta maklumat peribadi penumpangnya berjaya dipecah masuk penjenayah siber.

Kejadian 24 Oktober lalu mengakibatkan saham syarikat itu menjunam teruk hanya dalam masa sehari sepanjang tempoh dua tahun apabila maklumat penting seperti nama, alamat, tarikh lahir, nombor pasport, e-mel dan kewarganegaraan penumpang digodam.

Begitu juga kejadian di Pakistan membabitkan sistem perbankan yang disifatkan sebagai serangan terbesar seumpamanya dalam sejarah negara itu apabila semua data pelanggan dicuri di hampir semua bank utama.

Lebih buruk lagi apabila penggodam mengancam untuk menjual semua maklumat berharga berkenaan di halaman web gelap.

Antara perisian serangan yang mengancam keselamatan siber adalah ransomware yang mula berkembang sekitar 2012 membabitkan sekatan penggodam terhadap sistem komputer yang dipecah masuk dan hanya dapat dipulihkan selepas sejumlah besar wang dibayar sebagai tebusan.

Dianggarkan sekitar 181.5 juta serangan itu berlaku di seluruh dunia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, dianggarkan meningkat sehingga 229 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Serangan berbeza setiap hari

Keadaan yang berlaku hari ini disifatkan sebagai ‘isyarat perubahan’ dan aliran semasa dalam landskap dunia siber menyebabkan kita tertanya adakah keadaan lebih buruk bakal melanda dalam masa terdekat?

Ketua Penasihat Teknologi Maklumat & Keselamatan Siber Aspac (Asia Pasifik) KPMG, Dani Michaux, berkata setiap insiden membabitkan ancaman keselamatan siber akan berbeza setiap hari, begitu juga dengan cara yang perlu ditangani setiap organisasi.

Berdasarkan Laporan Risiko Global 2018 oleh Forum Ekonomi Dunia menunjukkan kekerapan dan kecanggihan serangan yang berlaku setiap hari menyebabkan ancaman siber kini menjadi risiko ketiga terbesar yang dihadapi kebanyakan organisasi masa kini.

Berbeza dengan laporan yang sama empat atau lima tahun lalu, ancaman ini hanya berada di kedudukan ketujuh atau ke-10.

Ini bermakna ia kini sudah jauh mengatasi risiko yang pernah menjadi kebimbangan utama di peringkat global sebelumnya, seperti perdagangan haram atau bencana alam akibat perbuatan manusia.

Malah, laporan yang sama menyifatkan bahawa risiko keselamatan siber mampu mengancam dunia dengan kesan yang hampir sama seperti bahaya bencana alam atau masalah kekurangan dan krisis air global.

Melihat dari persekpektif ekonomi, keselamatan siber adalah perniagaan yang menguntungkan dalam industri yang semakin berkembang pesat hari ini apabila ia dianggarkan bernilai AS$600 bilion (RM2.2 trilion) sepanjang 2018, menyamai kadar Keluaran Dalam Negara Kasar ASEAN. Malah ia dijangka berkembang sehingga AS$3 trilion menjelang 2021 dan bakal mengatasi keseluruhan KDNK ASEAN.

Bukan sedikit kos yang diperlukan sesebuah organisasi besar dalam melengkapkan diri daripada serangan penjenayah siber. Dalam kes Cathay Pacific misalnya, syarikat penerbangan itu mengakui membelanjakan kira-kira AS$127 juta bagi tujuan insfrastruktur dan keselamatan teknologi maklumat sepanjang tempoh tiga tahun lalu.

Malangnya itu semua belum menjamin bahawa mereka bebas seratus peratus daripada ancaman serangan siber.

Sungguhpun begitu, penasihat keselamatan siber KPMG itu berpendapat semua organisasi tidak seharusnya berfikiran negatif untuk terus menyerah bahawa mereka tidak dapat lari daripada menjadi sasaran penjenayah. Sebaliknya usaha perlu digandakan bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan infrastruktur IT.

Penjenayah siber juga adalah ahli perniagaan dan perkara paling mudah boleh dilakukan adalah dengan meningkatkan kos yang perlu ditanggung mereka untuk melakukan serangan jahat berkenaan.

304 dibaca
Berita Harian X