Selasa, 20 November 2018 | 11:02am

Implikasi besar jika menteri mulut celupar

AKHIRNYA tersebar luas video lama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang memburukkan Malaysia dan orang Melayu, kononnya kepemimpinan negara melakukan pencabulan terhadap hak asasi rakyat, khususnya kaum India.

Video berdurasi dua minit 39 saat itu memaparkan kenyataan Waytha Moorthy, ketika membawa usul Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) kepada Ahli Parlimen Belanda pada 2007.

Inti pati video itu cukup kontroversi apabila memberi gambaran salah mengenai dakwaan penindasan ke atas kaum India dan penganut Hindu di Malaysia, selain persepsi tidak enak mengenai Islam dan Melayu di negara ini. Begitu burukkah layanan diberikan kerajaan ke atas kaum India sehingga kenyataan seumpama itu dikeluarkan seorang rakyat Malaysia yang ketika ini belum berstatus menteri.

Bukan mahu mengulas satu-persatu apa dinyatakan pemimpin HINDRAF itu, sebaliknya agak hairan kenyataan sebegitu keluar dari mulut seorang individu yang kini menganggotai Kabinet dan mengetuai portfolio perpaduan.

Walaupun sudah 10 tahun kenyataan itu dibuat individu berkenaan, kedudukan terkini dipegangnya perlu diambil kira kerana memberi implikasi besar jika apa yang disuarakan itu seolah-olah pendirian yang diambil negara.

Isu berkaitan perpaduan dan perkauman memang sensitif, malah dua elemen ini diakui menjadi tunjang keutuhan dan pembentukan negara berbilang kaum seperti Malaysia. Tidak hairanlah berduyun-duyun rakyat, termasuk netizen menzahirkan solidariti menyuarakan desakan supaya Waytha Moorthy dipecat atau didakwa, susulan penyebaran klip video itu.


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Petisyen mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan juga dilancar, termasuk melalui saluran change.org dengan rekod lebih 20,000 sokongan diterima sehingga jam 12 tengah hari semalam dan jumlahnya dijangka terus meningkat. Rata-rata yang membantah bersetuju tindakan itu berunsur pengkhianatan kepada negara, malah berisiko mengundang perpecahan dan menjejas perpaduan.

Lebih teruk ia palsu dan berunsur pembohongan. Kenyataan berbaur kontroversi sebegini bukan baharu bagi Waytha Moorthy. Pada 26 Oktober lalu beliau memaklumkan pendirian kerajaan yang komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Ia turut mencetus polemik serta mengundang bantahan banyak pihak.

Hakikatnya, kenyataan dibuat Waytha Moorthy di Belanda itu perlu dipandang serius kerana kesannya kepada negara cukup ketara. Menteri ibarat duta bagi sesebuah negara dan sebarang kenyataan dibuat, jelas sekali mewakili suara dan pendirian negara. Lebih menyedihkan video memburukkan negara itu tular ketika Malaysia giat membina kembali imej selepas terpalit isu rasuah serta dakwaan amalan kleptokrasi oleh kepemimpinan terdahulu yang mencuri tumpuan dunia.

Tidak salah mana-mana pihak mahu memperjuangkan kepentingan kelompok atau bangsa tertentu seperti dilakukan Waytha Moorthy yang mewakili penganut Hindu. Namun, kerosakan seperti ini harus dielak dengan mengguna pakai saluran yang betul supaya imej serta kepentingan negara tidak tergadai.

Apa pun kerosakan sudah berlaku. Sama ada Waytha Moorthy wajar dipecat atau tidak, itu terpulang kepada pertimbangan pihak kerajaan, dengan mengambil kira kepentingan holistik rakyat berbilang kaum di negara ini.

Dari segi perundangan, ada desakan supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Hasutan 1948 digunakan terhadap menteri berkenaan sebagai pengajaran, lebih-lebih lagi dengan perkembangan mutakhir ini yang memperlihatkan isu berkaitan agama, raja dan perpaduan kaum dipermainkan sewenang-wenangnya.

Yang pasti, Waytha Moorthy tidak dipaksa pun menjadi Melayu atau memeluk agama Islam untuk dipilih menjadi menteri.

12232 dibaca
Berita Harian X