Isnin, 19 November 2018 | 11:02am

Isu PTPTN: Perlu penyelesaian paling ideal

PENDIDIKAN percuma untuk rakyat memang dilaksanakan di negara berpendapatan tinggi seperti Eropah dan Asia Barat. Kos pendidikan ditampung menerusi hasil percukaian atau hasil negara yang melimpah, terutama daripada keuntungan petroleum.

Dalam konteks Malaysia pula, pendidikan peringkat sekolah masih percuma kecuali beberapa yuran yang dianggap mampu ditanggung oleh kebanyakan ibu bapa.

Pada peringkat universiti, pendidikan tinggi secara percuma masih wujud menerusi dermasiswa, biasiswa atau pinjaman boleh ubah oleh agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MARA, yayasan tertentu di peringkat Persekutuan dan negeri, kerajaan negeri dan syarikat swasta.

Namun, bantuan pelajaran ini dikhususkan untuk pelajar cemerlang dan biasiswa itu dianggap sebagai pelaburan untuk masa depan negara. Mengimbau usaha pendemokrasian pendidikan tinggi di negara kita, Kementerian Pendidikan sebenarnya sudah mendemokrasikan pendidikan tinggi bermula 1996 dengan membuka lebih banyak tempat pengajian menerusi penubuhan lebih banyak institusi pendidikan awam atau memberi kebenaran untuk membuka kolej dan universiti swasta.

Dalam sekelip mata, jumlah pelajar di peringkat pengajian tinggi bertambah berkali ganda dan ini mengakibatkan kos turut meningkat. Kerajaan tidak lagi dapat menampung peningkatan tanggungan ini.

Justeru, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan pada 1997 bagi menyediakan pinjaman untuk pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Sejak itu, pinjaman PTPTN menjadi topik perdebatan di dalam dan luar kampus, termasuk isu kadar faedah atau bunga yang tinggi atau riba yang bertentangan dengan asas Islam.

Kebanyakan graduan kemudian menangguhkan bayaran kerana lambat mendapat pekerjaan, manakala sebahagian lagi culas membayar semula walaupun bergaji besar. Akhirnya, hutang terkumpul PTPTN pernah mencecah RM40 bilion.

Sebelum pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan berjanji membenarkan peminjam dengan gaji RM4,000 ke bawah menangguhkan bayaran, tetapi manifesto itu tidak dapat dilaksanakan kerana kedudukan kewangan negara belum kukuh.

Jika peminjam dibenar menangguhkan bayaran, hutang PTPTN akan menjadi beban besar kepada negara. Justeru, isu ini perlu ditangani dengan teliti, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.


IBU pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) di Kuala Lumpur. - Foto:NSTP/Supian Ahmad.

Dalam hal ini, pembuat dan pelaksana dasar mesti mencari titik keseimbangan untuk mendapat jalan keluar agar ahli masyarakat, terutama golongan muda yang masih belum menyelesaikan hutang PTPTN dapat menarik nafas lega. Pada masa sama, jika bayaran pinjaman terus ditangguhkan, negara memerlukan hasil tambahan untuk menampung beban kewangan yang tinggi.

Antara jalan mudah ialah memperkenal cukai baharu yang sudah tentunya tidak popular dalam kalangan rakyat. Dalam tempoh yang sukar ini, kedua-dua pihak iaitu peminjam dan PTPTN perlu sama-sama berkorban demi kelangsungan tabung pelajaran berkenaan.

Carilah titik kesesuaian paling ideal atau penyelesaian saksama supaya tiada pihak yang terbeban dan pada masa sama, tidak menjejaskan peluang generasi mahasiswa selepas ini yang pastinya akan turut memerlukan bantuan pinjaman pendidikan untuk meneruskan pengajian.

969 dibaca
Berita Harian X