Ahad, 18 November 2018 | 11:00am
KETUAUmum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmi. Ali, dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Shaifuddin Nasution, ketika hadir pada sesi pengulungan Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sudah tiba masa PKR laksana agenda reformasi

Kongres Nasional Keadilan Ke-13 yang membuka tirai semalam menjadi detik bersejarah buat PKR.

Ia kali pertama mereka berkongres bukan sahaja sebagai parti kerajaan, tetapi juga selaku parti yang paling dominan dalam Pakatan Harapan (PH), ibarat pengganti kepada kedudukan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) yang menerajui negara 60 tahun sejak merdeka.

Sudah pasti seluruh negara, terutama pengamal politik menanti dan mahu melihat ke mana hala tuju reformasi pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Relevannya, kongres ini pentas paling tepat untuk PKR merumuskan rencana reformasi yang hendak dituju.

Ucapan dasar Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan agenda besar reformasi yang mesti dilaksana kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri menyentuh keperluan untuk PKR mengembalikan hak rakyat secara adil dan saksama, melakukan usaha membela golongan tertindas, melawan rasuah dan penyelewengan di samping pemisahan cabang eksekutif, legislatif serta kehakiman bagi memastikan proses semak imbang diamalkan.

Semua itu adalah apa yang terkandung dalam perjuangan mereka selama 20 tahun penubuhan PKR. Rakyat sudah tahu mesej reformasi PKR, namun kini seluruh negara menanti apakah pengisian sebenar kepada agenda besar reformasi PKR dalam kerajaan?

Pengisian agenda

Memulakan sesi perbahasan sebaik selesai ucapan dasar presiden, nada dan tumpuan sebahagian besar perwakilan PKR belum menjurus kepada intipati pengisian sebenar agenda itu.

Sebaliknya, lenggok perbahasan masih banyak berkisar mengenai sejarah reformasi dan detik kemenangan mereka menjadi parti pemerintah. Tidak kurang yang menyentuh isu pemilihan parti yang baru sahaja melabuhkan tirai.

Wakil Wilayah Persekutuan, Zahir Hasan membangkitkan cadangan supaya Dr Wan Azizah dilantik ke jawatan penting parti, selain mahu penubuhan Majlis Penasihat Parti dianggotai tokoh besar PKR diwujudkan.

Wakil Johor, Yasharudin Kosdi pula menarik perhatian sesi perbahasan apabila menggelar UMNO dengan nama yang ‘busuk’, merujuk tindakan ramai ahli parti lawan itu yang kini dikatakan beralih sokongan kepada PKR dan mula memohon untuk menjadi ahli parti reformasi berkenaan.

Wakil Sarawak, Iana Akam pula mahukan agihan kekayaan di Malaysia dilakukan secara saksama, menyifatkan hak kekayaan rakyat di negeri itu dirobek secara rakus ketika pemerintahan BN.

Satu-satunya jurucakap yang kelihatan menjurus kepada pengisian agenda reformasi adalah wakil Kelantan, Prof Madya Saharun Ibrahim yang membangkitkan isu golongan termiskin di Malaysia iaitu petani, nelayan dan penoreh getah.

Dalam perbahasannya, beliau menuntut kerajaan melakukan perubahan struktur terhadap program ekonomi rakyat, memaju dan meningkatkan hasil pertanian.

“Jadi kita memerlukan satu dasar dan untuk itu. Kita mahukan political will (kehendak politik) yang jelas,” katanya.

Sukar isi mandat

Bagi wakil Selangor, Nurainie Haziqah Shafii, mengisi mandat kemenangan memang susah kerana rakyat hanya mahu melihat perubahan yang dicanang.

“Apakah perubahan sudah dalam perancangan kita. Apakah kita masih syok sendiri dengan hanya mendedahkan satu persatu kebobrokan (Datuk Seri) Najib (Razak) dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor) tanpa perlu untuk kita memenuhi janji manifesto,” katanya.

Daripada hasil perbahasan disampaikan semalam, pengisian mengenai agenda reformasi yang mahu diterajui PKR dalam kerajaan Malaysia baharu, tidak dapat dilihat secara jelas. Belum ada perincian dasar yang mungkin perlu dibentuk atau bakal menjadi asas kepada kepemimpinan kerajaan hari ini.

Seperti kata-kata wakil Perlis, Tengku Nazri Tengku Aldin, ini bukan masanya untuk PKR berbalah dan bergaduh sesama sendiri, sebaliknya pascakemenangan PH perlu diisi dengan pengenalan dan pengukuhan dasar kerajaan yang akhirnya boleh memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara.

Benar, waktu untuk PKR mengenang kisah duka sudah pun berlalu, kini mereka perlu move on segera.

Dari ahli akar umbi hingga pimpinan tertinggi, daripada parti pembangkang kepada kerajaan, nada dan suara mereka seharusnya menjurus kepada idelialisme sebuah parti pemerintah.

Jika Perhimpunan Agung UMNO menjadikan pentas perbahasan untuk membangkitkan soal dasar kerajaan seperti program Transformasi Nasional 2050 (TN50), Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), Program Transformasi Ekonomi (ETP) atau Dasar Ekonomi Baharu (DEB), PKR perlu melakukan perkara sama dalam kongres mereka.

Agenda reformasi PKR sudah jelas, namun yang menjadi kegusaran dan pertanyaan rakyat ialah bentuk pengisiannya. Bagaimana penyelewengan dan rasuah dapat dibanteras dalam segenap segi, baik dalam kerajaan mahupun parti politik.

Apakah akta sedia ada mencukupi untuk membanteras rasuah dan penyelewengan. Adakah badan dan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sememangnya sudah memiliki keupayaan dalam menjalankan penyiasatan berkaitan kes rasuah berprofil tinggi?

Bagaimana pula dengan hak keadilan kepada semua kaum boleh diwujudkan dalam suasana negara yang memiliki kepelbagaian kaum, agama, adat dan budaya. Mampukah semua ini dijayakan hanya dengan laungan reformasi tanpa perlu ada satu dasar jelas yang mendukung di belakangnya.

Belum lagi soal kemiskinan, pengangguran, kos sara hidup, bantuan usahawan, peluang pekerjaan, ekonomi rakyat, nasib petani, nelayan dan penoreh getah.

Tidak kurang juga cadangan kepada sistem pendidikan negara yang digembar-gemburkan untuk tidak lagi menjurus kepada sistem berorentasikan peperiksaan. Bagaimana ia mampu dilaksana di bawah agenda reformasi.

Semua ini memerlukan jawapan dan kehendak politik yang jelas dari segenap peringkat dalam parti. PKR seharusnya menunjangi isu ini dalam perjuangan reformasi baharu mereka. Sudah tiba masa kisah suka duka mereka diletakkan sebagai kisah silam untuk mengukuhkan penyatuan dalam PKR.

Kini, masa untuk mereka menjelaskan kepada rakyat bentuk dan penumpuan dasar yang perlu ada dalam sistem pentadbiran Malaysia baharu supaya misi reformasi yang dicanang sejak puluhan tahun diterjemahkan dan difahami dengan jelas oleh rakyat.

Mengakhiri kongres PKR hari ini, bapa reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan disahkan sebagai Presiden PKR yang baharu, sementara Datuk Seri Mohamad Azmin Ali sebagai timbalannya.

Dengan kepemimpinan baharu, suasana dan arah tuju pasti berbeza. Paling dinanti, mampukah gandingan baharu ini merealisasikan hasrat reformasi baharu. Segala-galanya di tangan mereka.

477 dibaca
Berita Harian X