Khamis, 15 November 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan

Mantapkan integriti perkhidmatan awam

PERUBAHAN sosial memperlihatkan wujud kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap keperluan untuk memperkukuh disiplin moral. Berdasarkan situasi ini, maka semakin menebal tuntutan terhadap kewujudan perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan serta mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi.

Sektor perkhidmatan awam ialah pemangkin kepada pembangunan negara, khususnya berkaitan perkembangan sosioekonomi, pembangunan industri serta perubahan teknologi komunikasi. Apa yang penting sektor awam seharusnya menjadi sektor yang dapat meyakinkan rakyat terhadap kewibawaannya dalam proses penyampaian perkhidmatan.

Sektor awam sering menjadi fokus perbincangan, terutama dalam kalangan masyarakat berkaitan dengan harapan meninggi agar sektor perkhidmatan awam, bergerak berlandaskan prinsip berfokuskan integriti.

Tidak dinafikan bahawa secara umumnya wujud krisis persepsi berhubung integriti anggota perkhidmatan awam dalam konteks pandangan serta pemikiran masyarakat umum.

Kes salah laku

Perkara ini begitu ketara apabila wujud beberapa kes salah laku yang dikaitkan dengan penjawat awam dilaporkan melalui media massa, khususnya isu yang bersabit dengan rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, penipuan. Ini termasuk tingkah laku melanggar tatatertib, terutama berkaitan kelakuan yang didefinisikan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002.

Persepsi umum membina gambaran bahawa seolah-olah anggota perkhidmatan awam berada dalam situasi krisis moral serta perlakuan di luar batas etika yang merosakkan wibawa serta merendahkan kekuatan personaliti, menjadi penyumbang kepada kemusnahan kepercayaan serta keyakinan terhadap kredibiliti sektor perkhidmatan awam.

Hakikat ini, semakin terserlah apabila sidang Parlimen 9 November 2016 memaklumkan bahawa seramai 31,230 orang anggota perkhidmatan awam dikenakan tindakan tatatertib, khususnya di antara 2010 hingga Julai 2016. Pada masa sama dimaklumkan seramai 5,778 orang anggota perkhidmatan awam dibuang kerja.

Berdasarkan perangkaan yang dikemukakan berkaitan prestasi disiplin anggota perkhidmatan awam, berbanding keseluruhan anggota perkhidmatan awam berjumlah hampir 1.2 juta orang, peratusan yang terbabit dengan salah laku perlanggaran tatatertib secara umumnya dalam lingkungan 2.5 peratus sahaja.

Secara keseluruhannya, anggota perkhidmatan awam begitu teguh berpegang kepada disiplin moral dan etika perkhidmatan. Sektor perkhidmatan awam dalam situasi apa pun, masih sektor yang begitu utuh dan kebal, mempertahankan nilai diri daripada ancaman unsur perlakuan bertentangan prinsip integriti.

Enam aspek nilai dan etika

Hampir keseluruhan anggota perkhidmatan awam masih tetap berpegang kepada perlakuan yang berpusatkan prinsip perkhidmatan, seperti yang digariskan dalam dokumen Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. Terdapat enam aspek utama menjadi panduan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam, iaitu;

• Konsep nilai dan etika

• Budaya, nilai dan etika dalam pengurusan organisasi perkhidmatan awam.

• Sistem nilai dalam peraturan. perkhidmatan awam

• Etika kerja dalam konteks pengurusan organisasi

• Penghayatan nilai murni dalam perkhidmatan awam

Berdasarkan falsafah pengurusan sektor perkhidmatan awam, penyebaran nilai moral serta peneguhan perlakuan integriti ialah tuntutan yang sentiasa diberikan keutamaan.

Sektor perkhidmatan awam ialah sektor yang berkait rapat dengan pembentukan serta pelaksanaan dasar, penguatkuasaan prosedur, kelestarian peraturan dan keutuhan undang-undang. Perkara ini antara aspek yang terpenting dalam menentukan kestabilan sistem serta kemantapan pengurusan pentadbiran negara.

Kajian ke atas 645 responden dalam kalangan anggota perkhidmatan awam, terdiri daripada pelbagai latar belakang demografi, jantina, bangsa, lokasi, kelayakan akademik dan umur, mendapati keseluruhan anggota perkhidmatan awam ini mempunyai fokus nilai yang amat tinggi.

Anggota perkhidmatan awam mempunyai kepekaan tinggi terhadap unsur yang berkait rapat dengan fokus nilai bersabit dengan perkhidmatan, iaitu mengutamakan kepentingan terhadap peningkatan pengetahuan, sentiasa membina kemantapan personaliti diri, sentiasa berusaha membina suasana kerja yang produktif dan berpegang teguh prinsip moral dalam pelaksanaan tanggungjawab perkhidmatan.

Usaha bersungguh-sungguh ke arah memperkukuh tingkah laku integriti dalam kalangan anggota perkhidmatan awam dilaksanakan secara berterusan. Pada 2007, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Bahagian Perkhidmatan Psikologi mencetuskan usaha merealisasikan konsep kerja berteraskan budaya kerja kelas pertama.

Berdasarkan definisi JPA, budaya kerja kelas pertama ialah amalan terbaik dan terpuji yang melebihi daripada kebiasaan. Ia merangkumi aspek pemikiran, pengurusan emosi dan dimanifestasi melalui perlakuan, tindakan dan cara bekerja yang penuh integriti serta dapat memuaskan kehendak pelanggan.

Berlandaskan hakikat ini, digariskan tujuh prinsip utama yang dijadikan asas kepada pembinaan budaya kerja kelas pertama, iaitu; pantas dan positif, empati, relevan, daya saing, amanah, adil dan integriti, nilai tambah dan kelainan serta arif dan berilmu.

Pembentukan budaya kerja kelas pertama ialah titik fokus kepada usaha memperkukuh penghayatan nilai integriti dalam kalangan anggota perkhidmatan awam. Selain memperjelaskan prinsip yang dikaitkan dengan budaya kerja kelas pertama, juga dinyatakan unsur penting yang menjadi kerangka tindakan kepada pembentukan budaya kerja kelas pertama, iaitu cara berfikir dan pemikiran, cara merasa dan menghayati serta cara bertindak dan berperilaku.

Gagasan ini pada umumnya mempunyai kerangka yang jelas membentuk watak serta personaliti anggota perkhidmatan awam, juga pelengkap kepada saranan dalam Tonggak Dua Belas.

Berdasarkan hakikat ini, potensi kemungkinan anggota perkhidmatan awam untuk terjerumus ke dalam situasi hakisan integriti, secara relatifnya kecil. Budaya kerja kelas pertama ini juga dapat dikaitkan dengan usaha untuk mempertingkat kualiti sistem penyampaian perkhidmatan berasaskan piawai tertinggi.

Apa yang jelas, anggota perkhidmatan awam mempunyai kecenderungan besar untuk bertindak di atas landasan profesionalisme yang tinggi melaksanakan tugasan diamanahkan. Sektor awam umumnya, mempunyai mekanisme yang kukuh membina serta melestari prinsip pengurusan berteraskan kekuatan tingkah laku integriti.

Penulis adalah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris

275 dibaca
Berita Harian X