Jumaat, 9 November 2018 | 3:15pm

Minda Pengarang: Masih wujud sekolah daif

PENDIDIKAN memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara. Sekiranya rakyat tidak mempunyai akses atau penyediaan pendidikan sempurna dan berkualiti, maka peluang mereka menikmati kemajuan ekonomi akan terjejas.

Sehubungan itu, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan, asas utama ialah memastikan setiap institusi pendidikan, terutama pada peringkat sekolah mempunyai infrastruktur mencukupi bagi pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum berkesan.

Selain itu, input pendidikan meliputi guru, peruntukan kewangan, peralatan pengajaran serta program sokongan perlu diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah di bandar atau di luar bandar.

Namun, agak menyedihkan apabila laporan media menyebut masih wujud sekolah yang terpinggir daripada arus pembangunan. Terbaru, kerajaan Sarawak melahirkan kekecewaannya apabila peruntukan membaik pulih sekolah daif di negeri itu seperti dijanjikan Kerajaan Pusat di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tidak menampakkan hasil walaupun sejumlah besar dana diperuntukkan.

Laporan kelmarin mendedahkan, di Sarawak sahaja 1,020 sekolah usang dengan 415 daripadanya dalam kategori kritikal masih kekal sama hingga kini, walaupun peruntukan dana disediakan sangat besar.

Malah, peruntukan yang lewat menyebabkan kos menaik taraf akan melambung dan meningkat setiap tahun. Sebagai contoh, dalam tempoh kurang tiga tahun sejak 2016, anggaran kos projek bagi menaik taraf sekolah di Sarawak meningkat daripada RM2 juta kepada RM48.2 juta. Kita percaya isu sekolah usang ini bukan hanya membabitkan Sarawak dan Sabah yang mempunyai kawasan pedalaman yang masih luas, malah meliputi negeri di Semenanjung.

Apa yang dibimbangi, isu peruntukan Kerajaan Pusat yang dikatakan tidak sampai sepenuhnya kepada kerajaan negeri kemungkinan disebabkan masih ada lagi elemen ketirisan dan penyelewengan. Ini akan berlaku lagi sekiranya sistem penyampaian dipandang remeh sehingga memberi peluang dan ruang kepada pihak tertentu.

Mereka yang terbabit dalam melakukan rasuah atau salah guna kuasa perlu disiasat dan diseret ke mahkamah agar perkara ini tidak berulang. Kita tidak mahu sekiranya peruntukan yang sengaja dilewat-lewatkan atau tidak disalurkan dengan sempurna, ia mungkin mengundang masalah lebih besar yang bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, malah boleh mengancam keselamatan.

Dalam kes di Sarawak misalnya, kerajaan negeri nyata tidak mahu menunggu lama, sementara menyedari kekangan kewangan dihadapi Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran kerajaan baharu bagi menyalurkan peruntukan lebih tinggi. Justeru, menerusi Belanjawan 2019 diumumkan negeri itu, sejumlah RM81.7 juta disediakan untuk menaik taraf sekolah dan menyedia keperluan prasarana pendidikan sebagai tanda prihatin dengan keluhan penduduk.

Meskipun bidang pendidikan terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, komitmen kerajaan negeri seperti ini amat dialu-alukan bagi memastikan program membabitkan kebajikan rakyat dan kepentingan awam tidak diketepikan. Malah, jaminan dan komitmen tinggi disuarakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa beliau sendiri meletakkan masalah sekolah daif sebagai antara isu yang paling utama yang perlu diselesaikan segera, tentunya melegakan banyak pihak.

Konsep saling bantu-membantu antara negeri dan Kerajaan Pusat dalam isu sekolah daif ini tentunya wajar dicontohi oleh negeri lain. Ia tidak lain daripada mengejar satu matlamat agar kepentingan pelajar luar bandar tidak terus dipinggirkan dengan rakan mereka di bandar dalam mendapatkan pendidikan terbaik.

82 dibaca
Berita Harian X