Rabu, 7 November 2018 | 11:00am

Majlis rasmi ATM perlu bahasa padat, ringkas

GURINDAM, pantun dan seloka ialah sebahagian daripada kekayaan bahasa Melayu dan kesenian karya halus. Unsur ini banyak berkaitan dengan alam sekeliling kerana bahasa sememangnya menggambarkan persekitaran penuturnya.

Pantun sebagai contoh, mempunyai pelbagai ragam seperti pantun nasihat, teka-teki, agama dan berunsur jenaka. Namun, isu pantun mencetuskan polemik yang cukup hangat diperkatakan apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat lalu, mengeluarkan arahan melarang penggunaannya dalam skrip pengacara pada majlis rasminya.

Arahan berkenaan lantas tular di media sosial sehingga membawa kepada reaksi pelbagai golongan dalam masyarakat. Ramai yang mengecam arahan berkenaan dengan mendakwa ia mengetepikan kekayaan bahasa, adat dan budaya Melayu.

Bekas penasihat sosio budaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim mempertikaikan arahan larangan berpantun dalam majlis rasmi ATM. Rais menerusi Twitternya berkongsi surat pekeliling bertarikh 2 November, ditandatangani Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd Othman, yang menyatakan arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan ATM.

Dalam jawapan balas susulan perdebatan di media sosial dan media cetak, ATM menegaskan larangan itu sebenarnya sebagai peringatan dalaman ATM supaya semua cabang ketenteraan tidak menggunakan pantun jenaka atau seloka dalam majlis rasmi. Ini disebabkan majlis rasmi ATM seperti yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong, sultan, raja atau pembesar negeri dan perbarisan dijalankan dengan penuh adab dan etika ketenteraan.

Sebagai contoh, dalam perbarisan dengan cuaca panas, sudah tentu pantun atau seloka tidak sesuai untuk diadunkan dalam majlis yang turut mengambil kira keterbatasan masa dan kesesuaian keadaan.

Kita lega kerana pantun dan seloka yang menjadi sebahagian perjuangan mengangkat bahasa dan kesusasteraan di negara ini dibolehkan dalam majlis ATM dihadiri anggota keluarga, program bercorak kesukanan dan acara tidak rasmi lain.

Penjelasan ATM ini menunjukkan agensi ini tetap memberi tempat yang teratas kepada perkembangan bahasa dan kesusasteraan, namun dalam masa yang sama pada acara bercorak regimental atau ketenteraan, bahasa yang lebih padat, tepat dan ringkas perlu digunakan kerana itu majlis rasmi.

Namun begitu isu ini sepatutnya tidak menjalar ke pentas kritikan yang keterlaluan sehingga menjejaskan imej ATM, Kementerian Pertahanan dan menteri yang bertanggungjawab sekiranya ia ditangani lebih berhati-hati. Lebih baik sekiranya sebelum sesuatu kenyataan atau pekeliling diedarkan, ia harusnya diteliti dan menjalani proses semakan ketat kerana biasanya isu membabitkan bahasa Melayu ini cukup sensitif di mata masyarakat.

ATM seharusnya lebih teliti dalam komunikasi sama ada secara dalaman atau membabitkan pihak luar kerana setiap kenyataan yang diterbitkan mencerminkan pendirian Kementerian Pertahanan.

Orang ramai, terutama pencinta bahasa tentu akan memberi pendapat masing-masing kerana isu berkenaan membabitkan kepentingan umum, iaitu martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kita memahami ATM perlu sentiasa bersikap serius dalam urusan mereka sejajar dengan peranan besar anggotanya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Namun, penggunaan pantun tidak semestinya merendahkan darjat pegawai dan anggota keselamatan. Ibarat ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. Tentera darat, laut dan udara tetap gagah di mata rakyat meskipun mereka menunjukkan sifat lemah lembut menerusi bahasa yang tinggi.


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah memeriksa barisan kawalan kehormat Angkatan Tentera Malaysia pada sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ke-62 di Istana Iskandariah, Ahad lalu. - Foto BERNAMA

273 dibaca
Berita Harian X