Ahad, 4 November 2018 | 11:00am
FOTO hiasan.

Peruntukan besar jamin khidmat kesihatan terbaik

KEMENTERIAN Kewangan dalam Belanjawan 2019 secara keseluruhannya memperuntukkan RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan di negara ini, tertinggi pernah diberikan kepada kementerian itu yang menyaksikan peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding 2018.

Jumlah ini juga dianggarkan sekitar 2 peratus daripada anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019, namun masih kurang berbanding peruntukan berdasarkan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu sebanyak 7 peratus daripada KDNK.

Peningkatan peruntukan sangat perlu untuk sektor ini memandangkan kira-kira 50 peratus daripada peruntukan Kementerian Kesihatan adalah untuk menampung keperluan klinik dan hospital kerajaan.

Dalam Belanjawan 2019, sebanyak RM10.8 bilion disediakan bagi membaik pulih klinik dan hospital serta pembelian ubat-ubatan dan kelengkapan. Diharapkan sekurang-kurangnya RM5 billion disalur untuk kos pembekalan ubat-ubatan, barangan habis guna, vaksin dan reagen, iaitu bahan digunakan atau terbabit dalam tindak balas kimia.

Peruntukan yang lebih tinggi ini diperlukan supaya perkhidmatan kesihatan tidak terjejas seperti yang pernah berlaku di sesetengah klinik dan hospital tahun ini.

Penyakit kronik

Peruntukan bagi bekalan ubat-ubatan amat penting disebabkan keperluan pesakit bertambah dan pergantungan populasi Malaysia yang tinggi terhadap sistem perubatan awam. Sekitar 70 peratus daripada pesakit di negara ini menggunakan sistem perubatan awam, berbanding swasta.

Penggunaan ubat-ubatan dan rawatan susulan memberi impak yang besar akibat penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, hipertensi, diabetes, kanser dan penyakit kronik lain.

Beberapa inisiatif baharu sektor kesihatan untuk Belanjawan 2019 juga diperkenalkan, sangat jelas tumpuan diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus rendah (B40).

Pihak kerajaan akan memperkenalkan skim insurans atau takaful dikenali sebagai ‘Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40’ dan disasarkan untuk golongan ini.

Skim insurans bersasar ini akan diperkenalkan pada 1 Januari depan dan boleh menjadi sebagai jaringan perlindungan dengan menyediakan bantuan kewangan dan membantu golongan ini kembali meneruskan kehidupan.

Ini satu inisiatif yang baik dan golongan ini pula perlu diberi pendedahan manfaat daripada skim ini, namun skop skim dan manfaatnya perlu diperbesarkan kerana golongan berpendapatan sederhana (M40) dianggarkan sekitar 2.7 juta orang masih ramai belum mempunyai insurans kesihatan untuk mereka dan ahli keluarga.

Pendapatan gantian

Melihat kepada cadangan ini, agensi kerajaan melalui usaha sama dengan syarikat swasta akan menyediakan perlindungan percuma ke atas empat penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau RM700 setahun.

Walaupun skop perlindungan ke atas penyakit kritikal agak terhad melalui skim ini, diharapkan Kementerian Kesihatan memperluaskannya kepada lebih empat penyakit kritikal dalam belanjawan tahun berikutnya.

Initiatif kerjasama swasta dan kerajaan akan menyaksikan peralihan besar dalam usaha mewujudkan manfaat lain, termasuk jaringan keselamatan sosial yang komprehensif merangkumi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di negara ini.

Skim insurans sebegini boleh juga ditambah baik dengan memperkenalkan kaedah matching & exchange untuk manfaatnya, dengan golongan B40 boleh memilih mencarum bagi mendapat manfaat atau skop kesihatan lebih besar lagi.

Ini boleh memberi satu komitmen kepada semua individu dalam golongan B40 untuk serius menjaga kesihatan masing-masing.

Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) dengan projek perintis pelaksanaan saringan kesihatan bagi golongan B40 berumur 50 tahun ke atas dengan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi memanfaatkan lebih 800,000 orang.

Program promosi kesihatan dan pencegahan awal juga turut mendapat perhatian Belanjawan 2019, antaranya saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi Human PapillomaVirus (HPV) dan ujian saringan pap smear di hospital dan klinik kerajaan dengan peruntukan RM20 juta yang akan memanfaatkan 70,000 wanita.

Kementerian Kesihatan juga mengambil serius maklumat kesihatan semasa penduduk dengan hampir seorang daripada dua rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Justeru, kementerian bercadang memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen setiap liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan.

Cadangan ini boleh memberi kesan baik kepada gaya dan amalan pemakanan yang lebih sihat.

Rakyat seharusnya mengambil peluang ini untuk terus memupuk budaya sihat sepanjang waktu.

Perluas kawasan larangan merokok

Perkara lain yang juga menjadi tumpuan, termasuk memperluaskan kawasan larangan merokok membabitkan semua restoran atau kedai makanan yang akan diwartakan mulai 1 Januari 2019.

Ini sedikit sebanyak membantu mereka yang tidak merokok daripada terhidu asap rokok sekunder yang juga boleh merosakkan kesihatan individu sihat lain. Cadangan ini seharusnya mendapat sokongan sewajarnya oleh pengusaha makanan dan restoran.

Kementerian Kesihatan juga akan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi rawatan penyakit jarang jumpa, rawatan virus Hepatitis C, program menangani masalah pertumbuhan bantut dalam kalangan kanak-kanak, menyediakan saringan dan perluasan rawatan haemodialisis serta Enhanced Primary Healthcare (EnPHC).

Inisiatif ini, terutama rawatan virus Hepatitis C mampu meningkatkan pemulihan dan kebarangkalian penularan jika rawatan aktif dan pencegahan diberikan sewajarnya.

Kesimpulannya, Belanjawan 2019 untuk sektor kesihatan memerlukan sokongan berterusan semua pihak, termasuk Kementerian Kewangan sebagai penyedia dana, pengamal perubatan dan kesihatan serta masyarakat yang harus terus saling berganding tangan dan fokus juga kepada pencegahan penyakit.

Penyakit tidak berjangkit dan kronik memerlukan perbelanjaan tahunan yang besar. Atas maksud yang sama, sebaliknya peruntukan itu boleh digunakan untuk pembangunan infastruktur dan premis kesihatan yang lebih baik.

Berita Harian X