Jumaat, 2 November 2018 | 11:00am

Perubahan sistem pendidikan usah membebankan lagi

Ramai menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan memansuhkan peperiksaan bagi murid Tahun 1, 2 dan 3 di sekolah rendah, dengan digantikan oleh sistem pentaksiran yang lebih objektif mulai tahun depan.

Pengumuman Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menerusi Twitter yang beberapa minit sahaja mendapat ribuan reaksi, jelas menandakan penamatan ini sememangnya ditunggu-tunggu bukan sahaja daripada kalangan ibu bapa, malah warga pendidik dan ahli akademik.

Sebenarnya kita sudah ada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), namun sistem dilaksanakan sejak 2011 itu dikatakan semakin tersasar daripada konsep dan matlamat asal untuk menilai tahap pencapaian murid tanpa berteraskan peperiksaan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berpandangan, pemansuhan peperiksaan bagi murid di Tahap Satu ini dapat mengurangkan tekanan kepada pelbagai pihak, terutama murid itu sendiri.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Tidak dinafikan sistem pendidikan kita perlu seiring dengan zaman yang berkembang pesat. Namun, ramai bersetuju pada usia awal, persekolahan kanak-kanak tidak sepatutnya dibebankan dengan pembelajaran berasaskan peperiksaan.

Tanpa kita sedari pendidikan kanak-kanak dikatakan dibebani dengan silibus yang tinggi, sehingga melampaui pemikiran mereka sebagai pelajar sekolah rendah.

Ujian dan peperiksaan sering kali diadakan bagi menguji tahap kemampuan pelajar, namun ia kadangkala membataskan pemikiran kanak-kanak berfikir lebih kreatif sehingga mereka mengalami tekanan.

Susulan tiadanya peperiksaan, dalam tempoh dua bulan menjelang sesi baharu persekolahan 2019, Kementerian Pendidikan akan memperinci dan memperjelas pelaksanaan pendekatan baharu itu bagi memastikan guru dan sekolah benar-benar bersedia.

Justeru, kita berharap kali ini aspek pelaksanaannya perlu ditumpukan kepada soal penghayatan guru kerana menilai prestasi murid bukan hanya berpandukan keputusan peperiksaan, sebaliknya berasaskan bakat, intelektual, emosi serta kemahiran sahsiah.

Sebelum ini banyak rungutan diketengahkan, terutama ibu bapa mengenai bagaimana anak usia sekecil itu bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan, seolah-olah seperti mahu melangkah ke peringkat menengah atau menara gading.

Tekanan emosi selalu melanda anak sekiranya gagal mendapat kedudukan baik dalam peperiksaan. Perlu diingat sementara langkah menghilangkan beban peperiksaan kepada murid, kementerian juga wajar memastikan pelaksanaan sistem pentaksiran ini tidak bertukar menjadi beban pula kepada guru.

Banyak negara maju tidak lagi mengamalkan sistem berorientasikan peperiksaan pada peringkat awal persekolahan. Jepun misalnya, pelajar mereka tidak mengambil peperiksaan sehingga umur 10 tahun. Di Finland, Sweden, New Zealand, malah Singapura, guru pada peringkat prasekolah dilatih dengan teliti, supaya dapat mendidik anak kecil dengan baik dan berkesan.

Sebagai ibu bapa, pasti setiap dari kita mahukan anak dari kecil iaitu seawal prasekolah mendapat pendidikan terbaik daripada guru. Justeru, perubahan atau pembaharuan sekali pun, sama ada dari segi sistem atau silibus, kedudukan pelajar dan guru sebagai pemegang taruh perlu diutamakan, bukannya melayan mereka sebagai bahan uji kaji.

Berita Harian X