Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:13am
PEMANSUHAN Akta Hasutan memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja menurut Perkara 159(5). - Foto BERNAMA

Pemansuhan Akta Hasutan perlu perkenan Raja-Raja

Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang diperkata ramai dalam beberapa tahun kebelakangan ini dikhuatiri mendatangkan kesan besar kepada beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan beberapa ciri utama Perlembagaan.

Cadangan pemansuhan ini hendaklah dibincangkan dengan serius dan dibawa kepada khalayak terbanyak kerana ini membabitkan Perkara 10(4) yang menjamin kedudukan beberapa isu sensitif seperti kewarganegaraan, keistimewaan Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah komuniti lain, bahasa Melayu dan kedaulatan Raja-Raja.

Penting juga untuk diperhatikan dengan teliti sama ada pemansuhan Akta Hasutan memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja menurut Perkara 159(5).

Pihak yang menyokong pemansuhan Akta Hasutan mengaitkannya dengan asal usul dan tujuan awal akta ini. Akta Hasutan ini juga dikatakan sudah archaic atau ketinggalan zaman. Ia juga sekatan kepada kebebasan bersuara.

Mereka juga berpendapat bahawa definisi kecenderungan menghasut terlalu luas sehingga membuka ruang untuk disalah guna. Selain hujah di atas, kesalahan kecenderungan menghasut tidak perlu dibuktikan sebagai dilakukan dengan niat.

Umumnya, Akta Hasutan bertujuan mengekang perbuatan yang boleh melahirkan kecenderungan menghasut terhadap Institusi Beraja, hubungan di antara rakyat-raja di negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Kecenderungan hasutan

Kecenderungan menghasut boleh dikatakan sebagai sehingga membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada raja.

Seksyen 3 Akta Hasutan juga menjadikan kesalahan kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan kebencian di antara kaum atau agama.

Dua perkara ini pada asalnya ialah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tetapi telah dimasukkan dalam Enakmen Hasutan pada FMS En.13/1939.

Akta Hasutan asalnya ialah Enakmen Hasutan 1939 yang dibuat bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Seterusnya ia diperkenalkan dalam Persekutuan Tanah Melayu semasa keadaan darurat pada 1948 sebagai Ordinan 14 1948. Selepas merdeka, Ordinan Hasutan itu sudah disemak semula, iaitu pada 1969 dan diwartakan sebagai Akta Hasutan (Akta 15).

Pada 10 Mac 1971, kesan tragedi 13 Mei 1969, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan Perkara 10(4) yang memperuntukkan: “Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III (Kewarganegaraan), Perkara 152 (Bahasa Melayu), 153 (perizaban kuota untuk Melayu dan Anak Negeri serta kepentingan sah komuniti lain) atau 181 (kedaulatan Raja-Raja) melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu”.

Persetujuan Majlis Raja-Raja

Pindaan Perlembagaan Persekutuan 1971 ini juga membabitkan pindaan Perkara 159(5) yang memperuntukkan, “Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.

Perkara 159(6) pula menyatakan: “Dalam Perkara ini ‘pindaan’ termasuklah tambahan dan pemansuhan;…”.

Akta Hasutan dipinda pada 2015 (A1485). Pindaan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 28 Mei 2015 dan diwartakan pada 4 Jun 2015. Inti pati Pindaan 2015 ini termasuklah:

(1) menambah peruntukan berkaitan kecenderungan menghasut melalui media elektronik;

(2) memotong maksud kecenderungan menghasut kepada kerajaan dan pentadbiran keadilan - maksudnya pernyataan menentang kerajaan atau mempersoalkan keputusan mahkamah tidak lagi satu kesalahan kecenderungan menghasut; dan

(3) menjadikan perbuatan menggalakkan kebencian antara kumpulan agama suatu kecenderungan menghasut.

Sekatan kebebasan bersuara

Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan memperuntukkan: “Sesuatu ‘kecenderungan menghasut’ ialah kecenderungan - (f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan”.

Seksyen 3(1)(f) dimasukkan ke dalam Akta Hasutan selepas peristiwa 13 Mei 1969 melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (PU (A) 282/1970) berkuat kuasa pada 10 Ogos 1970.

Pengisian Seksyen 3(1)(f) sama dengan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan yang dimasukkan melalui pindaan 1971. Pindaan 1971 (seperti dinyatakan di atas) membabitkan Perkara 159(5) yang mensyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja bagi apa juga pindaan, termasuk juga pemansuhan kepada mana-mana undang-undang yang dibuat bagi maksud Perkara 10(4).

Walaupun seksyen 3(1)(f) dimasukkan ke dalam Akta Hasutan pada 1970 dan Perkara 10(4) serta 159(5) diluluskan pada 1971, isi kandungan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan mempunyai peruntukan sama dengan Perkara 10(4) yang memperuntukkan tentang sekatan yang boleh dikenakan oleh Parlimen terhadap kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan dan kebebasan berhimpun.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa Seksyen 3(1)(f) ialah suatu peruntukan yang dibuat di bawah Perkara 10(4) dan sekiranya tafsiran ini tepat, pindaan atau pemansuhan Seksyen 3(1)(f) hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja menurut peruntukan Perkara 159(5).

Kesan pemansuhan

Sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, ia akan menjadikan Perkara 10(4) Perlembagaan lemah dan tidak berkesan. Tiada lagi undang-undang lain yang sedia ada yang dapat merealisasikan niat Perkara 10(4) yang mempertahan isu-isu sensitif seperti mempersoalkan kedudukan institusi beraja.

Oleh yang demikian, sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, walaupun Perkara 10(4) menjamin kedudukan perkara sensitif masih terletak kemas dalam Perlembagaan, tiada undang-undang yang akan menghidupkannya.

Selain Perkara 10(4), Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan juga akan menjadi lemah dan tidak berkesan.

Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, antara lain, bermaksud keistimewaan Parlimen: “tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282170]”.

Oleh itu, sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, ia akan memberikan kebebasan kepada sesiapa saja untuk bersuara tentang apa saja tanpa batas, termasuk penghapusan Institusi Beraja.

Walaupun Perkara 63(5) memberi jaminan bahawa seseorang tidak boleh menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, atau kedudukan berperlembagaan raja sesuatu negeri, namun, tiada undang-undang yang menguatkuasakan peruntukan 63(5) ini.

451 dibaca
Berita Harian X