Isnin, 9 Julai 2018 | 1:03pm

Umur 18 tahun wajar dapat hak mengundi

HAK mengundi dalam pilihan raya ialah perkara utama yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dan badan yang mengendalikan pilihan raya dalam sebuah demokrasi berperwakilan dan dijamin di bawah Perlembagaan.

Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap "warganegara yang mencapai umur 21 tahun dan bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan adalah berhak mengundi dalam bahagian pilihan raya itu bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri".

Bagaimanapun, di bawah perkara yang sama, Perlembagaan juga meletakkan sekatan hak mengundi kepada rakyat 'jika ia hilang kelayakan' seperti yang termaktub di bawah Perkara 119(3)(a) dan (b).

Perlembagaan menetapkan umur 21 tahun sebagai hak kelayakan mengundi bagi mereka yang layak di sisi undang-undang. Negara telah melalui 14 Pilihan Raya Umum (PRU) dari PRU-1 (1959) hingga PRU-14, baru-baru ini.

Had umur kelayakan mengundi 21 tahun tidak pernah dikaji untuk diturunkan kepada 18 tahun seperti di negara lain yang mengendalikan proses pilihan raya di bawah sistem demokrasi berperwakilan.

Sebelum 1970-an, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas. Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas 1970-an di United Kingdom (1969/70), Eropah Barat (1970-an), Amerika Syarikat (1971), Kanada, Jerman (1972), Australia, Perancis (1974), diikuti India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada 1980-an serta Jepun negara yang terakhir pada 2016.

Dalam kalangan negara ASEAN pula, rakyat Indonesia dan Timor Leste ialah pengundi yang termuda, iaitu 17 tahun. Kecuali Malaysia dan Singapura, negara lain telah menurunkan had umur kepada 18 tahun.

Demokrasi Westminster

Terkini, selain Malaysia dan Singapura, enam negara lain masih mengekalkan had umur 21 tahun ialah Kuwait, Lubnan, Oman, Cameroon, Samoa dan Tongga.

Ini bermakna, semua negara Komanwel lain (mengamalkan demokrasi Westminster), termasuk India selaku negara demokrasi terbesar di dunia, masing-masing menetapkan 18 tahun sebagai umur kelayakan rakyat diberi hak mengundi dalam pilihan raya.

Pakatan Harapan (PH) melalui manifesto PRU-14 berjanji mengkaji dan melakukan reformasi beberapa perkara utama dalam sistem pilihan raya. Di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, pernah dibuat beberapa penambahbaikan dan pindaan kepada proses pilihan raya, namun tidak mencukupi.

Antaranya ialah dalam aspek urusan perjalanan pilihan raya, termasuk had perbelanjaan kempen, penggunaan dakwat kekal untuk mengelak penipuan, pengundian pos rakyat luar negara, pengundian awal anggota keselamatan, penyertaan kumpulan pemerhati, pengenalan pasukan penguat kuasa kempen dan peraturan kecil lain.

Penambahbaikan dan pindaan terhadap perkara asas amalan demokrasi dasar seperti yang membabitkan sistem, hak asasi rakyat dan kuota perwakilan dalam demokrasi, hak dan kelayakan mengundi, hak dan sistem pendaftaran, kaedah pengundian, sumbangan dana politik, pembiayaan kempen, penyuburan demokrasi, pengagihan dana parti dan lain-lain.

Langkah segera

Apapun, sebagai langkah segera, perkara yang perlu dikaji untuk penambahbaikan ialah berkaitan hak rakyat dalam proses demokrasi untuk memilih wakil dan kerajaan. Paling utama perlu dilaksanakan ialah had umur layak mengundi perlu diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Bercakap kepada media baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan memberi reaksi yang positif dan menganggap cadangan itu satu perkara yang perlu dikaji dan dibawa ke Parlimen.

Perdana Menteri bersetuju bahawa rakyat Malaysia sekarang ialah golongan bermaklumat dan umur 18 tahun dianggap berupaya untuk membuat keputusan bijaksana mengenai kepentingan masa depan negara.

Selepas lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan dan 14 kali PRU, sampai masanya dasar had kelayakan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, sekali gus meletakkan Malaysia pada tahap sama dengan amalan semua negara demokrasi maju dan negara lain.

Dari sudut kesesuaiannya, antara faktor yang menyokong perlunya diturunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun ialah:

Syarat umur 18 tahun dalam banyak perkara ialah dasar sebagai syarat yang ditetapkan mengikut pelbagai perundangan lain yang berkuat kuasa di negara ini.

Belia 18 tahun telah tamat persekolahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk masuk ke alam pekerjaan. Bagi warganegara yang tidak memilih untuk menyambung pelajaran ke kolej dan universiti, selepas tamat persekolahan terus mencari pekerjaan atau menceburi bidang perniagaan.

Mereka yang bekerja dan mencari pendapatan memikul tanggungjawab sebagai anggota masyarakat. Mereka sudah matang dan boleh mendirikan rumah tangga, sewajarnya diberi hak mengundi untuk memilih wakil dan menentukan kerajaan.

Warganegara bawah 21 tahun yang berpendapatan tinggi membayar cukai kepada kerajaan. Dasar dan penentuan cukai ditetapkan oleh kerajaan memerintah, iaitu parti yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Tidak adil kepada golongan ini jika tidak diberi hak mengundi semata-mata kerana umur belum mencapai 21 tahun.

Perundangan lain yang membabitkan penetapan syarat kelayakan berdasarkan had umur menetapkan 18 tahun sebagai umur kelayakan dan dianggap rakyat umur dewasa. Umur 18 tahun layak membuat permohonan lesen memandu, lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan, menyertai pasukan keselamatan, tentera atau polis, menandatangani apa-apa kontrak dan perjanjian serta dianggap dewasa untuk berkahwin.

Umur 18 tahun boleh menjadi ahli dalam parti politik, dibenar terbabit dalam kegiatan politik. dan menganggotai pertubuhan politik berdaftar.

Tanggapan bahawa warganegara bawah 21 tahun dianggap belum matang dan tidak boleh membuat keputusan bijaksana tidak boleh diterima. Suasana persekolahan dan persekitaran moden mempengaruhi pemikiran warga muda, terdedah kepada maklumat yang luas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka kumpulan pintar, matang berfikir, berdikari dan lebih bermaklumat.

Warganegara umur 18 tahun yang terbabit dalam kesalahan dan perbicaraan di mahkamah, dianggap sebagai dewasa dan dibicara dan jika disabit, menerima hukuman sebagai rakyat dewasa yang bertanggungjawab atas kesalahannya.

Lebih tiga juta warganegara tidak mendaftar

Mengikut statistik penduduk 2018, daripada 30 juta rakyat Malaysia, 18 juta adalah warganegara berumur 21 tahun ke atas yang layak mendaftar sebagai pemilih.

Daripada jumlah itu, statistik Daftar Pemilih PRU-14 menunjukkan negara mempunyai 14.9 juta pemilih berdaftar. Mengikut laporan, lebih tiga juta warganegara layak mengundi tetapi tidak mendaftar.

Ini bermakna, 50 peratus sahaja rakyat yang diberi hak mengundi untuk memilih kerajaan di sisi Perlembagaan.

Justeru, jika had umur diturunkan kepada 18 tahun, dijangka jumlah yang layak tetapi tidak mendaftar akan meningkat hampir 1.5 juta (daripada jumlah empat juta sedia ada bertambah kepada 5.5 juta) daripada jumlah kira-kira 20 juta yang akan layak untuk mengundi.

Bagi menyelesaikan masalah warganegara yang tidak keluar mendaftar, satu jalan yang ada hanyalah untuk kerajaan dan Parlimen meluluskan Kaedah Pendaftaran Pemilih Secara Automatik sebelum PRU-15.

Menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun akan memberi hak mengundi kepada lebih ramai warganegara dewasa untuk mengundi pada pilihan raya. Namun, matlamat itu tidak akan tercapai sekiranya sekadar membabitkan pindaan had umur kelayakan sahaja.

Justeru, perkara ini perlu diselesaikan bersama-sama dengan melakukan pindaan kepada kaedah cara pendaftaran, dari kaedah mengisi dan menyerah borang pendaftaran (seperti sekarang) kepada sistem pendaftaran secara automatik.

Sistem pendaftaran diguna pakai sekarang terbukti tidak menyelesaikan masalah rakyat yang tidak mendaftar.

Sejak PRU-12 (2008), jumlah rakyat mendaftar sebagai pemilih meningkat secara berterusan dan konsisten di antara 3.5 hingga empat juta.

Ini disebabkan warga muda yang mencapai umur 21 tahun tidak mengambil berat untuk mendaftar walaupun ada pelbagai promosi dan peringatan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mereka mendaftar.

Jika warganegara yang mencapai had umur kelayakan tidak dapat didaftarkan, semua masalah rakyat yang tidak mendaftar akan terus bertambah tahun demi tahun.

Andainya hari ini atas had umur 21 tahun, rakyat yang tidak mendaftar sudah terkumpul kira-kira empat juta, bayangkan jikalau had umur diturunkan kepada 18 tahun, dijangka pasti hampir bertambah dua juta menjadikan jumlah rakyat yang tidak mendaftar melebihi 5.5 juta.

Pangkalan data

Sistem pendaftaran secara automatik perlu dilaksanakan sebelum PRU-15. Ia amat mudah untuk dilaksanakan.

Melalui sistem pendaftaran automatik, warganegara yang mencapai umur pada tarikh kelayakan (18 tahun), iaitu berpandukan kepada pangkalan data warganegara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), nama dan butir diri boleh dipindah automatik menjadi Daftar Pemilih Tambahan (DPT) SPR.

Senarai DPT baharu ini hanya disahkan menjadi Daftar Pemilih Induk (DPI) untuk kegunaan dalam pilihan raya setelah daftar ini melepasi proses saringan dan pembersihan bagi mengeluarkan nama yang telah hilang hak kelayakan di sisi undang-undang.

Mengikut Perkara 119(3)(a) dan (b) Perlembagaan, dua kategori warganegara yang hilang hak kelayakan untuk mendaftar dan mengundi iaitu pada tarikh kelayakan, dia ditahan sebagai seorang yang tidak siuman atau menjalani hukuman penjara dan kedua, sebelum tarikh kelayakan, dia disabit kesalahan mahkamah dan dijatuhkan hukuman bunuh atau penjara selama tempoh melebihi 12 bulan dan masih tertanggung menjalani hukum kesalahan itu.

Selepas proses saringan dan pembersihan, setiap nama di bawah kategori yang 'hilang kelayakan' diasingkan untuk dikeluarkan sebelum DPT disah dan diwartakan.

Proses seterusnya sama seperti yang dibuat sekarang dengan DPT suku tahun diwartakan oleh SPR dan boleh digunakan untuk pilihan raya bila perlu. Pada akhir tahun, empat DPT suku tahun dicantum untuk diwartakan sebagai DPI.

Menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun perlu dilakukan serentak dengan pindaan sistem pendaftaran pemilih secara automatik. Untuk melaksanakannya, Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dan dibahas untuk kelulusan dua pertiga undi pada sidang Parlimen.

Berita Harian X