Jumaat, 15 Jun 2018 | 11:19am
SEBAHAGIAN daripada 150 pelajar daripada tahun satu hingga lima yang menghadiri KAFA di Masjid Rantau Panjang, Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto fail NSTP/Amir Irsyad Omar

Peranan JAKIM dan cabaran masa depan

MAJORITI umat Islam yakin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus mendapat kedudukan dan peranan penting dalam sistem pentadbiran Kerajaan Persekutuan walaupun parti yang menguasai Putrajaya sudah bertukar.

Malah, keputusan kerajaan menubuhkan satu kumpulan perunding dalam kalangan pentadbir dan sarjana Islam bertujuan menilai dan mempertimbang kedudukan institusi Islam, terutama JAKIM adalah sesuatu yang wajar dialu-alukan.

Objektif penubuhan kumpulan ini tentu bukan bagi mencari kesalahan JAKIM atau membubarkannya, tetapi bertumpu kepada mencari pemikiran terbaik ke arah meningkatkan dan memperkasakan lagi fungsi JAKIM secara khusus sebagai antara institusi pentadbiran Islam yang berwibawa dan dihormati pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Sebagai antara institusi penting pembangunan negara, peranan JAKIM sebagai badan penyelaras pembangunan agama dan kemajuan ummah amat penting dan besar sekali.

Malah, peranan dimainkan JAKIM begitu dituntut bagi menangani realiti struktur kuasa pentadbiran Islam yang bersifat majmuk di negara ini.

Kuasa pentadbiran Islam di negara kita tidak berpusat kerana setiap negeri di Malaysia mempunyai hak perundangan tersendiri dalam urusan pentadbiran hal ehwal Islam.

Realiti ini memberikan kelebihan tersendiri, terutama ia membuka banyak ruang kreativiti dan inovasi dalam pemerkasaan pentadbiran Islam dan pembangunan ummah di setiap negeri.

Namun, pemecahan kuasa pentadbiran Islam tanpa suatu ikatan penyelarasan bersama juga menimbulkan kesulitan tertentu, malah menyumbang kepada pertindihan tugasan serta semangat guna sama sumber bagi kepentingan hal ehwal pembangunan agama dan kemajuan ummah.

Tambahan lagi, terdapat banyak aspek dalam pentadbiran Islam di setiap negeri yang saling berkongsi kepentingan bersama.

Penyelarasan kebangsaan, negeri

Misalnya, dalam bidang kemajuan pendidikan Islam, semua negeri memerlukan satu bentuk penyelarasan peringkat kebangsaan dari segi dasar, kurikulum, pembangunan prasarana, latihan keguruan, penggajian dan imbuhan.

Antara program yang diselaraskan JAKIM pada peringkat kebangsaan, iaitu Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) memainkan peranan besar dalam pembangunan pendidikan Islam di seluruh negara, terutama dalam kalangan generasi muda.

Aspek penting lain yang memerlukan penyelarasan peringkat kebangsaan ialah seperti fatwa agama, pembangunan dakwah, latihan imam dan pentadbir Islam serta penerbitan sumber rujukan utama berhubung ajaran agama Islam.

Kepemimpinan JAKIM pada setiap era amat bijaksana dalam mengimbangi tanggungjawab hakiki dan kemaslahatan semasa perkembangan Islam.

Sepanjang penelitian terhadap peranan JAKIM, kepemimpinannya memberi fokus yang khusus dalam menjaga maslahah agama dalam konteks Malaysia, terutama dari segi memastikan pemeliharaan perpaduan ummah.

Pendekatan pembangunan Islam pula menerusi kaedah dakwah dan tarbiah ialah seruan dan didikan secara terbuka dan hikmah pada segenap peringkat masyarakat Islam.

Kandungan penerapan ajaran Islam yang dikemukakan JAKIM berpandukan kerangka kefahaman ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diakui dan diiktiraf oleh ulama Islam.

Kebijaksanaan yang diamalkan JAKIM menjadikannya institusi yang amat mesra dalam kalangan masyarakat Islam terbanyak. Malah, JAKIM amat dihormati dan diiktiraf sebagai badan penaung utama pembangunan ummah di negara ini oleh seluruh masyarakat Islam.

JAKIM berdepan cabaran

Sebagai sebuah institusi pentadbiran, ia pasti terdedah kepada kelemahan tertentu, namun kelemahan itu sekiranya wujud, tidak sehingga harus membawa kepada penolakan terhadap peranan utama yang dimainkan JAKIM dalam konteks pembangunan ummah yang menyeluruh.

Sekiranya wujud sikap penafian oleh sebahagian masyarakat terhadap peranan penting JAKIM disebabkan oleh beberapa kelemahan tertentu yang boleh diatasi dan ditambah baik, maka ia satu tindakan yang amat tidak bijaksana.

JAKIM berdepan cabaran tersendiri dalam menjayakan peranan dan tugas penyelarasannya, antaranya harus berdepan dengan sikap negatif sebahagian masyarakat Muslim sendiri yang memiliki tanggapan prejudis terhadap peranan itu.

Mereka ini terpengaruh dengan pandangan bahawa agama sebagai nilai dalam amalan individu.

Pandangan ini kritikal terhadap agama dalam bentuk sistem yang diinstitusikan, apatah lagi apabila kegiatannya memperoleh dana daripada sumber perbelanjaan negara.

Pandangan negatif ini berpunca, antaranya kerana salah faham terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada langkah pemerkasaannya sejajar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Cabaran lain yang perlu diatasi JAKIM ialah untuk menjalankan penyelarasan hal ehwal agama dalam lingkungan sempadan pentadbiran yang dipertanggungjawabkan dan berwaspada supaya tidak melanggar garis tanggungjawab yang menjadi hak pentadbiran pada peringkat negeri.

Cabaran ini boleh diatasi dengan penjelasan yang sempurna dan persefahaman skop kerja yang boleh ditambah baik secara muafakat di antara pentadbir hal ehwal Islam negeri dan Persekutuan.

Peranan penyelarasan agama hari ini semakin dituntut, tidak sahaja dalam aspek memudahkan hal ehwal pembangunan dan kemajuan agama, malah dalam konteks menangani serangan pemikiran dan budaya luar yang boleh menggugat jati diri agama itu sendiri.

Dalam era masyarakat terbuka, terdapat aspek agama seperti prinsip dan kefahaman aqidah dan kepercayaan yang mesti terus dipelihara berpandukan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menerusi penggemblengan bersama segenap sumber ilmu dan penerangan yang diselaraskan pada peringkat JAKIM, cabaran pemikiran yang boleh menggugat keutuhan aqidah umat Islam akan dapat digerakkan secara seiring pada segenap peringkat masyarakat di seluruh negara.

Umat Islam mengharapkan kumpulan perunding bagi kajian mengenai peranan institusi Islam di negara ini hendaklah mengambil kira latar sejarah umat Islam secara menyeluruh dan mesti menilai secara objektif kebijaksanaan pentadbiran Islam yang diwarisi dalam konteks negara ini sejak sekian lama.

Penilaian menyeluruh yang dipandu oleh niat yang murni dan luhur akan membawa kepada jalan keluar terbaik kepada kepentingan umat Islam dalam menempuh cabaran kehidupan yang serba rencam di dunia terbuka pada hari ini.

Penulis adalah Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM

Berita Harian X