Ahad, 3 Jun 2018 | 8:46am

Penstrukturan diharap kukuh institusi Islam

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan mengumpul sejumlah ilmuwan Islam untuk membincangkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada 27 Mei 2018, BH melaporkan saranan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, agar dasar agensi Islam Persekutuan ditentukan oleh Raja-Raja Melayu, hanya pelaksanaannya diberi tanggungjawab kepada Kerajaan Persekutuan.

Sebenarnya perbincangan mengenai peranan institusi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam menjadi agenda penting pada persidangan Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama pada 26 hingga 27 September 2011 di Kuala Lumpur.

Penstrukturan semula institusi Islam di bawah Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan dalam kerangka undang-undang Persekutuan.

Terdapat dua bidang kuasa, iaitu Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama bagi Wilayah Persekutuan dan negeri tidak beraja.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab untuk memelihara agama Islam seperti baginda lafazkan dalam sumpah jawatan.

Peruntukan yang menjelaskan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong berkenaan pentadbiran hal ehwal orang Islam seperti berikut;

Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan: ... tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan dan upacara yang berkenaan Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

Perkara 3(5): Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

Perkara 11(4): Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Perkara 12(2): ... tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyelengarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Perkara 74(1): Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan). Kuasa Parlimen untuk menggubal undang-undang persendirian Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan tersenarai dalam Butiran I Senarai II Jadual 9.

Selanjutnya, Seksyen 4 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

Seksyen 31 pula menjelaskan bahawa MAIWP, kecuali perkara hukum syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, adalah pihak berkuasa agama utama di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam akta itu.

Peraturan MKI

Bidang kuasa Majlis Raja-Raja dalam hal ehwal orang Islam pada peringkat Persekutuan dinyatakan dalam Perkara 38(6) Perlembagaan Persekutuan: Anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi berikut, iaitu: (d) Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh; Lanjutan itu, Majlis Raja-Raja telah menitahkan Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 1968 (MKI). Tugas-tugas MKI dinyatakan oleh butiran 7 Peraturan MKI seperti berikut;

Membincangkan, menimbang dan menguruskan apa-apa perkara yang dirujukkan kepada Majlis oleh Majlis Raja-Raja, mana-mana kerajaan negeri atau Majlis Ugama Islam Negeri atau seseorang ahli Majlis, dengan tujuan hendak memberi nasihat atau pengesyoran;

Memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan negeri atau Majlis Ugama Islam Negeri atas apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan atau pentadbiran ugama Islam dan pelajaran ugama Islam, dengan tujuan hendak memperbaiki, menyamakan atau menggalak persamaan undang-undang dan pentadbiran.

Butiran 15 Peraturan MKI

Butiran 15 Peraturan MKI menyatakan: "Kerja Pentadbiran Majlis terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Semua pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan yang menguruskan kerja-kerja pentadbiran Majlis hendaklah orang-orang yang berugama Islam".

Justeru, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, penstrukturan semula pentadbiran hal ehwal orang Islam di bawah undang-undang Persekutuan perlulah terbahagi kepada dua;

Struktur organisasi di bawah Majlis Raja-Raja.

Struktur organisasi di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Organisasi di bawah Majlis Raja-Raja ialah entiti berkait rapat dengan dasar, keputusan dan pelantikan yang menyentuh kepentingan negeri-negeri secara langsung.

Organisasi di bawah Yang di-Pertuan Agong ialah entiti yang diperuntukkan oleh undang-undang seperti dijelaskan di atas.

Meskipun dasar hal ehwal orang Islam diputuskan oleh Raja-Raja Melayu, dari sudut pentadbiran dan kewangan (melainkan perkara di bawah kuasa MAIWP), kedua-dua organisasi di atas masih dalam tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.

Dalam rencana ini, digunakan 'hal ehwal orang Islam' kerana hal ehwal Islam meliputi aspek yang lebih luas daripada Butiran I Senarai II Jadual 9. Penstrukturan dalam kerangka di atas diharapkan dapat memperkasakan institusi Islam dan mencapai objektif yang dimaksudkan.

Penulis adalah Pemegang PhD Undang-Undang Perlembagaan (Konsep Kedaulatan Raja-Raja) UKM & Penasihat Gabungan MI'RAJ

41 dibaca
Berita Harian X