Selasa, 24 Oktober 2017 | 11:59pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat pameran MRT Corp pada majlis Simposium dan Pameran Pengangkutan Awam Darat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Isnin. - Foto Osman Adnan

'InfraRakyat' agenda penting Bajet 2018

SEJAK mengambil alih kepemimpinan negara pada 2009, pembangunan infrastruktur adalah antara agenda utama yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk negara dan rakyat.

Berbanding pentadbiran sebelum ini, tumpuan Perdana Menteri adalah lebih terarah kepada pembangunan yang memberikan impak secara langsung kepada kehidupan rakyat teramai dan benar-benar menyentuh denyut nadi segenap rakyat.

Tumpuan sedemikian menjadi asas kepada projek besar yang dilaksanakan di bawah kepemimpinannya seperti projek Tren Transit Aliran Massa (MRT), Lebuh Raya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Projek terbabit, yang meskipun membabitkan pembinaan dan pembangunan infrastruktur berskala mega, ia tetap berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan secara kolektifnya digelar sebagai 'InfraRakyat'.

Tingkat kualiti kehidupan

Apabila disiapkan kelak, 'InfraRakyat' bukan hanya akan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dalam segenap aspek, malah mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Justeru, pembinaan 'InfraRakyat' sekali lagi dijangka menjadi antara agenda penting kerajaan ketika merangka perbelanjaan pembangunan dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan di Parlimen minggu ini.

Projek MRT menyaksikan operasi penuh laluan Sungai Buloh-Kajang pada tahun ini, manakala laluan kedua membabitkan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya akan siap sepenuhnya pada 2022.

Setakat Ogos lalu, 7.4 juta penumpang menggunakan MRT sejak beroperasinya pada Disember 2016, manakala jumlahnya bertambah 140,000 penumpang pada hujung minggu.

Menurut beberapa laporan media, trafik jalan utama di bandar raya berkurangan sebanyak 22 peratus sejak MRT dilancarkan.

MRT wujudkan pekerjaan

MRT dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 130,00 orang yang hasilnya menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) antara RM3 bilion dan RM4 bilion setahun daripada kerja pembinaan serta operasinya sahaja antara 2011 dan 2020.

Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap pada 2023. Lebuh raya sepanjang 703 kilometer itu, antara lain, akan dinaik taraf kepada empat lorong dan akan termasuk satu pintasan, sekali gus memendekkan masa dan jarak perjalanan.

Lebuh raya itu akan memberikan akses kepada banyak kawasan dan meningkatkan lagi mobiliti sambil mengukuhkan pelbagai sektor ekonomi seperti pembinaan serta pelancongan.

Ia juga mempunyai kapasiti untuk meningkatkan integrasi perdagangan merentas sempadan dengan negara jiran seperti Brunei dan Indonesia.

Bagi meningkatkan lagi sambungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung, kerajaan baru-baru ini melancarkan ECRL sepanjang 688 kilometer.

ECRL diunjur akan memendekkan tempoh perjalanan antara Pantai Timur dan Pantai Barat dari 12 jam kepada empat jam; sekali gus mengurangkan kos perjalanan. Selain itu, rel berkenaan juga dijangka mewujudkan 111,000 pekerjaan menjelang 2060.

Projek HSR disasar memudahkan perjalanan antara dua bandar raya utama ASEAN. Ia meningkatkan hubungan perniagaan dan memangkin pembangunan beberapa bandar di sepanjang aliran rel, sekali gus mewujudkan kesan gandaan ekonomi yang bernilai.

Kerajaan Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala pada Disember tahun lalu bagi memulakan projek ini. Operasinya dijangka bermula akhir 2026.

HSR akan mempunyai terminal di Bandar Malaysia (Kuala Lumpur) dan Jurong East (Singapura), serta dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada hanya 90 minit.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Jeremy Goh, berkata kontrak domestik yang dianugerahkan kepada kontraktor senaraian awam dalam tempoh sembilan bulan tahun ini mencecah RM7.7 bilion.

Katanya, firma penyelidikan itu mengenal pasti projek rel mega bernilai RM161 bilion akan diagihkan dalam masa satu hingga dua tahun akan datang, termasuklah ECRL (RM55 bilion), HSR (RM57 bilion) dan MRT3 (RM40 bilion).

"Kami menjangkakan peningkatan kukuh aliran kerja (sektor pembinaan) tahun depan, dipacu oleh projek rel mega di atas. Kepentingan kerja rel berkenaan kepada sektor pembinaan perlu diberikan perhatian.

"Untuk memberikan gambaran, kontrak kerja pembinaan mencecah RM28 bilion pada 2012 dan RM56 bilion pada 2016 semasa projek MRT1 dan MRT2 dilancarkan," katanya.

Penganalisis CIMB Investment Bank Bhd, Ivy Ng Lee Fang berkata kontraktor juga bakal mendapat manfaat daripada pelbagai projek infrastruktur dan pembangunan, yang dijangka akan disebut dalam pembentangan Bajet 2018.

"Kontrak baharu yang masih belum diberikan dan dijangka dilaksanakan pada 2018 termasuklah ECRL, MRT3 dan HSR Kuala Lumpur-Singapura," katanya.

Penulis adalah wartawan Meja Ekonomi

21 dibaca
Berita Harian X