Isnin, 9 Disember 2019 | 11:00am
Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Zulfadhli Zulkifli dan Rasul Azli Samad

Anwar, Azmin yakin ruang damai masih terbuka luas

Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) melabuhkan tirainya semalam dengan satu persoalan besar masih belum selesai, membabitkan kepemimpinan tertinggi parti itu.

Mengikut program rasmi, sesi penggulungan kongres semalam memperuntukkan masa kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua Wanita, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan yang terakhir Presiden.

Bagaimanapun, bibit kegagalan membentuk kesatuan menerusi kongres kali ini mula kelihatan apabila kelibat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), kecuali Tian Chua, yang dikaitkan dengannya tidak muncul sehinggalah ketibaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi tetap kongres, Datuk Ahmad Kassim, memaklumkan Mohamed Azmin memberitahunya tidak dapat hadir sesi penggulungan semalam kerana ada urusan keluarga dan walimatul urus anaknya.

Ahmad berkata, ahli MPP lain yang dikaitkan dengan kumpulan Mohamed Azmin juga ada yang menulis surat dan memaklumkan secara lisan mereka tidak hadir dan beliau menerima alasan pemimpin itu.

Bagaimanapun, ini tidak dapat membuang persoalan sama ada isu perselisihan antara kem Mohamed Azmin dan Anwar selesai atau tidak kerana ketidakhadiran itu berlaku serentak, lebih-lebih lagi selepas mereka mengadakan sidang media kelmarin membantah perbahasan kongres.

Malah, Anwar pada sidang media akhir kongres mengakui isu perbalahannya dengan Mohamed Azmin belum reda, tetapi optimis boleh menyelesaikannya.

Pembukaan sesi penggulungan semalam dihiburkan dengan persembahan artis Yasin Sulaiman yang mendendangkan lagu Salsabila, Satu Perjuangan, Reformasi dan Teman Sejati, tetapi ia tidak cukup ‘menghiburkan’ perwakilan yang mahu melihat perbalahan antara Anwar dan Mohamed Azmin, diselesaikan.

Teman Sejati adalah lagu yang seolah-olah menjadi tema gerakan reformasi ketika dilancarkan oleh Anwar pada 1998 yang menggambarkan kesetiaan rakan yang bersamanya ketika itu.

Ketika sesi berlangsung, di atas pentas, kerusi yang diperuntukkan untuk Mohamed Azmin di sisi Anwar diambil oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Melihat kepada perkembangan itu, PKR nampaknya masih belum berupaya ‘membawa diri’ sebagai parti kerajaan kerana kongres nasionalnya yang pertama selepas Anwar menjadi presiden gagal menyatukan kepemimpinan.

Perpecahan dilihat lebih parah, sekurang-kurangnya di mata rakyat walaupun ia dinafikan berkali-kali oleh Anwar dan selepas pertemuan beliau, Mohamed Azmin dan 20 ahli MPP di bangunan Parlimen pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, bagi Anwar, tidak ada kem tertentu dalam PKR walaupun sudah menjadi rahsia umum perselisihannya dengan kumpulan Mohamed Azmin sejak beberapa lama, sehingga timbul rancangan untuk mengadakan perhimpunan lain di Kuala Lumpur yang sama tarikh dengan kongres di Melaka kelmarin dan semalam.

Banyak juga yang diketengahkan dalam Dasar Ucapan Presiden kelmarin yang meminta ahli dan pemimpin kembali menghayati semangat reformasi PKR, tetapi kegagalan menunjukkan kesatuan antara dua pemimpin itu membayangi segala-galanya.

Apa yang berlaku pada hari kongres kelmarin dan sesi penggulungan semalam menimbulkan persoalan sama ada ‘perbincangan perdamaian’ yang disertai Anwar, Mohamed Azmin dan 20 ahli MPP itu sekadar ‘gencatan senjata’ menjelang kongres.

Mohamed Azmin dan kumpulannya tidak senang dengan ‘bola lambung’ yang Anwar berikan dalam ucapan dasar mengenai kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar yang didakwa membuka ruang untuk pembahas ‘melibas’ pemimpin tertentu.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan sudah memberi nasihat kepada pembahas supaya tidak menyerang mana-mana individu dan menyifatkan kisah itu hanya peringatan dari Sejarah Melayu.

Satu-satunya ahli MPP yang hadir sesi penggulungan semalam ialah Tian Chua kerana beliau mahu ‘menyatakan apa yang mahu dinyatakan’ walaupun yang mengundang sorakan dan ‘boo’ sesetengah perwakilan apabila menyebut nama Mohamad Azmin dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin.

Namun, Tian Chua menekankan supaya ahli PKR tidak terlalu fokus kepada individu atau menjadikan isu Anwar Perdana Menteri kelapan sebagai agenda utama sehingga memesongkan tumpuan kepada perjuangan parti itu.

Namun, adakah pintu rundingan antara Anwar dan Mohamed Azmin masih terbuka? Kedua-duanya optimis menyatakan pintu rundingan tidak pernah tertutup.

“Dia (Anwar) masih ketua saya, masih presiden (parti) saya. Sebab itu saya perlu berbincang dengannya seperti yang saya lakukan sebelum ini dan akan terus berbuat demikian. Tak ada masalah,” kata Mohamed Azmin pada sidang media kelmarin.

Anwar pula ketika ditanya perkara sama pada sidang media di akhir kongres semalam berkata:

“Kita sepatutnya tidak perlu takut untuk berunding, rundingan penyatuan masih terbuka. Ruang untuk bertemu masih banyak,”.

Penulis adalah Pengarang Berita BH

Berita Harian X