Selasa, 19 November 2019 | 11:00am
FOTO hiasan.

Perhebat budaya celik sains

SAINS banyak membawa manfaat kepada kehidupan dan kesejahteraan. Melalui inovasi sains pelbagai sektor seperti kesihatan dan perubatan, komunikasi, pertanian dan pengangkutan dapat dimajukan.

Kemajuan dan penemuan sains perlu terus menerima tumpuan dan keutamaan. Sumbangan dan impaknya juga perlu dihargai. Justeru, proses pembudayaan dan celik sains dalam kalangan semua pihak harus diperhebat.

Dalam konteks ini, kajian Science Outlook oleh Akademi Sains Malaysia melaporkan minat masyarakat kita terhadap sains adalah tinggi dan setanding negara sedunia. Namun, pengetahuan mereka masih sederhana.

Secara perbandingan, peningkatan pengetahuan sains masyarakat global diukur melalui satu soal selidik piawai. Mereka dinilai berdasarkan soalan sains umum seperti sistem bumi dan cakerawala hinggalah kepada topik saintifik khusus seperti membabitkan laser dan elektron.

Dari sini, kesimpulan tahap literasi sains akan menggambarkan peratusan masyarakat yang celik sains.

Bagaimanapun, set soalan berdasarkan perkembangan sains tempatan pastinya memberikan penilaian masyarakat yang celik sains dengan lebih menyeluruh.

Antara liputan soalan yang berpotensi adalah membabitkan isu seperti bahan radioaktif dan penggunaan sumber tenaga nuklear. Malah, perihal kejadian pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang juga dapat menjadi penanda aras pemahaman masyarakat berkenaan sains.

Bagi persediaan masa depan pula, kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi baharu hasil Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) seperti infokomunikasi, data raya, kecerdikan buatan, automasi, nanoteknologi dan bioteknologi boleh diberikan penilaian.

Pemerkasaan agenda pembudayaan sains dapat memastikan berlakunya keseimbangan antara minat, pengetahuan dan pengalaman masyarakat terhadap sains.

Dalam hal ini, rangka kerja pembudayaan sains harus merangkumi inisiatif meningkatkan kesedaran dan membangunkan masyarakat yang celik sains.

Untuk permulaan, setiap masyarakat perlu menyedari kepentingan sains terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan hidup. Sebagai contoh, berlakunya peningkatan tempoh hayat manusia, penurunan peratus kemiskinan dunia serta pengurangan penyebaran penyakit.

Tentunya hal ini berikutan sumbangan sains yang merangsang pembangunan pelbagai teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan masalah itu berkenaan.

Seterusnya, inisiatif pengukuhan literasi sains dapat memastikan masyarakat memperoleh ilmu pengetahuan sains asas dan memahami praktis sains. Dengan itu, masyarakat dapat memahami pelbagai isu saintifik yang berlaku di sekeliling mereka.

Sekurang-kurangnya mereka dapat membezakan perihal kebenaran atau kesalahan membabitkan sesuatu isu yang selalu disandarkan kepada sains.

Hal ini menjadi semakin penting berikutan adanya masyarakat kita yang terpengaruh dengan perkara yang dibuktikan menyimpang daripada kebenaran saintifik. Lihat sahaja cabaran perubahan iklim yang dikatakan sebagai tipu helah dan isu vaksinasi yang disebarkan sebagai punca pelbagai penyakit.

Dengan itu, saluran komunikasi sains perlu diperkasakan bagi membantu meningkatkan literasi masyarakat terhadap sains. Justeru, saintis dan penyelidik yang mempunyai autoriti ilmu sains berperanan penting. Mereka diharap dapat memperbanyakkan hubungan pendidikan bersama masyarakat awam.

Umum mengetahui, saintis dan penyelidik adalah pakar yang dilatih dalam komunikasi saintifik untuk tujuan akademik. Bagaimanapun, mereka juga perlu berkemahiran untuk menterjemah penemuan saintifik kepada laras bahasa yang mudah.

Dengan itu, idea dan ilmu sains dapat difahami dan turut dihargai khalayak masyarakat. Bagi memperkasakan agenda pembudayaan sains, beberapa negara juga membangunkan program saintis awam di mana masyarakat umum dilibatkan dalam penyelidikan saintifik.

Antara bidang fokus adalah alam sekitar, astronomi, kimia dan biologi. Saintis awam terbabit bersama-sama melakukan proses pemerhatian, pengumpulan data dan pemantauan aktiviti sains yang diselia saintis.

Pelaporan kemajuan dan perkembangan sains juga memerlukan perkhidmatan dan kepakaran penggiat media seperti wartawan. Justeru, latihan berstruktur perlu disediakan supaya mereka dapat mengolah dan mengupas mana-mana berita dan laporan sahih serta tepat yang memerlukan literasi sains dengan lebih baik.

Harus diingat pembelajaran bukan rasmi juga komponen utama pembudayaan sains. Banyak kajian melaporkan medium literasi sains perlu dipelbagaikan bagi merangsang minat dan proses pembelajaran berterusan.

Selain mewujudkan pusat pembelajaran sains, usaha lain perlu dirintis seperti mengupayakan pembelajaran sains yang digabungkan dengan persekitaran fasiliti awam seperti zoo, muzium dan galeri.

Agenda pembudayaan sains juga perlu memanfaatkan kemajuan teknologi digital yang memacu akses pembelajaran lebih mudah, fleksibel dan cepat. Inisiatif ini dapat melengkapkan usaha pendidikan yang dilakukan melalui media massa.

Dalam hal ini, pujian harus diberikan kepada pelbagai kumpulan organisasi dan individu yang berjaya mendidik masyarakat dengan maklumat sains yang sahih dan tepat melalui media digital dan sosial.

Selaras sambutan Hari Sains Sedunia, sumbangan sains perlu terus dihargai dalam menyediakan kehidupan lebih sihat, mudah dan selesa untuk semua. Kajian dan penemuan sains semasa pula penting untuk disebar luas.

Pelaksanaan hanya berjaya jika disusuli dengan komitmen semua pihak.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia dan EXCO Young Scientists Network di Akademi Sains Malaysia.

Berita Harian X