Rabu, 6 November 2019 | 11:00am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Anwar Ibrahim.

Peralihan kuasa PM - Ibarat tarik rambut dalam tepung

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika berucap pada Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan Sabtu lalu, secara jelas menyatakan pada 2020 akan berlangsungnya peralihan kuasa Perdana Menteri yang sudah dipersetujui secara konsensus dalam Pakatan Harapan (PH).

Di hadapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Konvensyen PKR negeri mengakui Presiden PKR tidak begitu senang isu itu disebut berulang kali.

“Realitinya orang akan bercakap mengenai peralihan kuasa dan 2020, kita letak satu tarikh untuk kita lalui proses transisi itu. Jadi, ini masa untuk kita lihat semula bagaimana kita lalui tempoh sebagai satu kerajaan.

“Yang tinggal sekarang Prime Minister in waiting, tak boleh lagi cakap government in waiting,” kata bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat di hadapan perwakilan.

Melihat senario politik negara, 2020 yang mampu menjadi tahun keramat oleh parti yang memiliki kerusi terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) itu kekal misteri apabila pelbagai pihak, terutama watak utama dalam isu berkenaan mentafsir tempoh dipersetujui secara berbeza.

Seorang blogger, Shahbudin Husin dalam bukunya Anwar PM Ke-8 - Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati menyebut proses peralihan kuasa Perdana Menteri masih misteri dan tanda tanya berikutan tiada tarikh khusus ditetapkan mengenainya.

Dalam bukunya itu, Shahbudin menjelaskan, jika peralihan itu berlaku dalam tempoh dua tahun, bermakna Mei 2020 akan menyaksikan Anwar diangkat menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tempoh kurang dua tahun, tepat dua tahun, lebih dua tahun, dalam tempoh tiga tahun atau sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terus menjadi polemik dan perdebatan bukan hanya dalam kalangan masyarakat umum, bahkan parti komponen PH sehingga mencetuskan ‘perang dingin’ antara pemimpin.

Konflik peralihan kuasa terus memuncak apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil pendirian menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal PRU-14.

Pendirian Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dikatakan bertentangan dengan konsensus PH yang dilaporkan sebelum ini. Lebih memburukkan keadaan, Ahli Parlimen Gombak yang membentuk kem berbeza dalam PKR itu menyifatkan pihak mahu mengubah pentadbiran lebih awal dari itu sama ada satu atau dua tahun sebagai kerajaan ‘pintu belakang’.

Tindakan ‘berani mati’ Azmin itu menerima pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan sebahagian besar ahli dan kepemimpinan PKR yang mahu melihat Anwar memegang tampuk pentadbiran negara tepat pada masanya.

Ada yang mendakwa berlaku pengkhianatan oleh kumpulan berkepentingan peribadi terhadap konsensus dipersetujui antara parti komponen PH. Tegas individu berkenaan, tindakan itu menyebabkan pelan peralihan kuasa Perdana Menteri tertangguh dan tempoh dipersetujui sebelum ini sentiasa berubah.

“Individu yang mencampuri urusan peralihan kuasa berkenaan tidak meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan, sedangkan Tun (Dr Mahathir) sudah menyatakan komitmen peralihan kuasa akan berlaku dalam tempoh dua tahun atau kurang,” kata seorang pemimpin PKR peringkat Pusat.

Seorang pemimpin PKR Cabang pula mencadangkan peralihan kuasa dilaksanakan secara berperingkat dengan Anwar diberi peluang memegang jawatan nombor dua terlebih dahulu. Ini bermakna, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu berundur dari jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi memberi peluang kepada Presiden PKR menunjukkan kemampuan dalam Kabinet sebelum mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Saranan berkenaan didakwa bagi mengelak isu peralihan kuasa menjejaskan pemulihan ekonomi negara yang menjadi keutamaan pentadbiran Dr Mahathir. Desakan berterusan sama ada oleh bakal pengganti atau proksi dikatakan hanya akan mencetuskan kegusaran dan ketidaktentuan ekonomi serta menjauhkan pelabur.

Ketua Biro Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yakin isu peralihan kuasa dapat diselesaikan secara terbaik dengan mengambil kira kepentingan orang ramai, bukan seorang dua individu tanpa menjejaskan usaha membina semula negara, ekonomi untuk rakyat.

“Komitmen untuk merealisasikan pelan berkenaan pun sudah disuarakan secara hikmah oleh kedua-dua pemimpin yang mengetepikan segala-galanya demi menyelamatkan negara. Biarlah perbincangan yang syumul di antara mereka, serta hikmah Majlis Presiden PH untuk menentukan secara terperinci,” katanya.

Benarlah kata-kata seorang ahli perniagaan Barat, Walter Annenberg - kuasa paling hebat bukannya kuasa wang, tetapi kuasa politik.

Penulis Khas meja Rencana dan Politik Berita Harian

Berita Harian X