Khamis, 31 Oktober 2019 | 11:01am
- Foto hiasan

PRK platform terbaik bangkit isu kebajikan pengundi

DALAM suasana politik hari ini, bukan sesuatu yang mengejutkan jika ada beranggapan isu perkauman bakal dipertaruhkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan bermula Sabtu ini.

Jika benar telahan itu, isu berkenaan akan menjadi cabaran utama kepada Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang dalam memastikan kemenangan calon di kerusi yang kosong sejak September lalu.

Namun, sejauh mana isu itu memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Parlimen yang terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan Kukup, dengan 53,528 pengundi berdaftar, komposisi kaum pula terdiri daripada 56.8 peratus Melayu dan 41.64 peratus Cina?

Cuba letakkan diri kita sebagai pengundi, apa yang kita mahukan atau lebih tepat apa yang kita perlukan? Wajarkah kita memperjuangkan isu perkauman atau isu nasional sehingga kita membelakangkan keperluan setempat?

Adakah keperluan jaringan jalan raya yang selesa, projek pembangunan yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak watan atau sebuah hospital baharu menjadi isu kedua dalam senarai keutamaan?

Menyedari keperluan sebenar masyarakat di Tanjung Piai yang turut dikenali sebagai tanah paling selatan di benua Asia itu, PH mengangkat lima isu utama khusus menyentuh kebajikan masyarakat tempatan untuk diberikan perhatian.

Bagi Ketua Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, menangani kos sara hidup, meningkatkan kualiti kehidupan, mewujudkan peluang pekerjaan, memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berpatutan adalah ‘perut ekonomi’ dalam menjamin kebajikan rakyat.

Kelima-lima isu penting ini terlalu dekat dengan masyarakat yang jika diberi perhatian sewajarnya oleh parti bertanding khususnya parti pemerintah, tidak mustahil kerusi yang dipertaruhkan pada 16 November ini kekal dalam genggaman.

Turut terpikul di bahu PH atau calon mereka yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini adalah untuk terus melestarikan alam sekitar bagi memastikan imej Tanjung Piai yang menempatkan Taman Negara meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar mudflats atau tanah lembut dan berlumpur terpulihara.

Taman Negara Tanjung Piai juga adalah hutan simpan ke 1,289 dalam senarai Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) yang menjadi kediaman hampir 20 spesies tumbuhan bakau sebenar dan sembilan spesies bakau berkaitan.

Tanjung Piai turut berpotensi dalam penjanaan ekonomi berasaskan pelancongan, pertanian, perikanan dan industri yang bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk di kawasan itu, bahkan penduduk kawasan berhampiran.

Meminjam kata-kata ahli politik dari negara Uncle Sam, Bernie Sanders. Katanya: “Pilihan raya datang dan pergi. Namun, perjuangan rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang mewakili semua pihak, bukan hanya satu peratus - sebuah kerajaan berasaskan prinsip keadilan ekonomi, sosial, perkauman dan alam sekitar - perjuangan itu berterusan).”

Begitupun, tidak bagi pembangkang, persepsi mereka berbeza apabila menjangkakan isu nasional akan mendominasi sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari pada PRK kali ini yang menjadi PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kata mereka, walaupun isu tempatan diberi keutamaan oleh parti bertanding dalam usaha meraih sokongan, PRK Tanjung Piai pastinya dibayangi pelbagai isu nasional. Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu antara tiga isu nasional yang dijangka dibangkitkan pada PRK yang disifatkan medan ujian penting dalam mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap formula politik baharu antara dua parti pembangkang.

Berdasarkan perkiraan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, PRK Tanjung Piai juga akan menjadi referendum mengenai prestasi PH dengan rakyat yang menjadi pengundi akan menggunakan peluang untuk menterjemahkan rasa kecewa mereka dengan prestasi yang rapuh dan bercelaru.

Bekas Menteri Besar Johor itu juga melihatnya ada hubung kait dengan masa depan BERSATU. Kecundangnya BERSATU pada 16 November ini adalah petanda parti dikemudi Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak mampu menjadi jurucakap bangsa Melayu, malah kegagalan itu akan melemahkan mereka dalam PH.

GERAKAN yang menampilkan calon peguam wanita berusia 38 tahun selepas lapan PRK berlalu, juga melihat isu nasional menjadi fokus dalam program kempen. Parti yang didominasi hampir 80 peratus masyarakat Cina itu melihat PRK Tanjung Piai akan membuka peluang kepada rakyat untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang didakwa mereka gagal menunaikan janji.

Bagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, isu nasional sering kali mendominasi setiap kali PRK diadakan, apatah lagi seluruh jentera parti akan menyatukan tenaga dan kekuatan dalam memenangi kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia dijangka berkisar mengenai masa depan kerjasama politik/muafakat nasional antara pembangkang untuk menghadapi kuasa PH, selain kebajikan rakyat pasca Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada 11 Oktober lalu.

Dalam pada itu, isu tempatan tidak ketinggalan dibangkitkan dalam usaha menagih sokongan pengundi.

Jika kata-kata nasihat bekas Perdana Menteri India, Indira Gandhi ‘menang atau kalah dalam pilihan raya tidak sepenting usaha memperkukuhkan negara’ berbekas dalam diri setiap pemimpin politik, nescaya pilihan raya bukan setakat medan menabur janji.

Penulis Khas Meja Rencana & Politik Berita Harian

Berita Harian X