Khamis, 24 Oktober 2019 | 11:01am

PH perlu keluar daripada sindrom penafian tangani gelora

KEHARMONIAN ‘ahli keluarga’ Pakatan Harapan (PH) sedikit terganggu ketika ini apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu mencetus provokasi terbuka terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ia berikutan Liu dalam tulisannya yang bertajuk Mahathir: The paper tiger mempertikaikan kepemimpinan Dr Mahathir dan menyifatkan PH mampu membentuk kerajaan menerusi gabungan DAP, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berbekalkan 113 kerusi Parlimen.

Kenyataan Liu ini walaupun disifatkan sebagai pandangan peribadi, ia boleh disifatkan sesuatu yang aneh dan pelik kerana datangnya daripada seorang pemimpin parti yang kini sudah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Adakah beliau lupa partinya kini adalah sebahagian daripada kerajaan? Sukar untuk dimengerti apabila seorang wakil rakyat daripada parti kerajaan, boleh bertindak atau bersikap seperti pembangkang dengan mengkritik parti atau pemimpin mereka secara terbuka, tanpa mengambil kira implikasi yang bakal ditanggung oleh parti diwakilinya dan juga kerajaan.

Ia ibarat memberi ‘bola tanggung’ kepada pembangkang untuk mengkritik PH dan akhirnya menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap PH dan kepemimpinannya. Seperti ditegaskan Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir yang kenyataan dikeluarkan pemimpin PH secara sembrono dan tidak mengikut saluran yang betul akan mewujudkan risiko kepada PH untuk berpecah.

“Sewajarnya, ahli dan pimpinan parti komponen perlu memahami setiap kenyataan dikeluarkan begitu mudah dimanipulasi untuk merosakkan imej PH dan seterusnya menjejaskan sokongan rakyat,” katanya.

Walaupun Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menegaskan Liu akan dirujuk kepada Majlis Presiden PH kerana disifatkan melakukan sabotaj dan mengganggu kestabilan serta keharmonian gabungan PH, ia agak terlambat kerana ‘kerosakan sudah berlaku’.

Susulan daripada kenyataan Liu itu menyaksikan hampir seluruh pemimpin PH, terutama dari BERSATU termasuk parti lain mula mengecam dan mengkritik apa dilakukan pemimpin DAP Selangor itu kerana terang-terangan melakukan provokasi terhadap Perdana Menteri.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sendiri menyifatkan tindakan Liu merendah-rendahkan parti komponen lain dalam PH sebagai perbuatan biadab dan satu bentuk politik murahan yang membawa perpecahan, merosakkan keadaan dan menggugat agenda dirancang kerajaan.

Jelas sekali dalam mendepani isu pemimpin gemar mengeluarkan kenyataan terbuka yang ‘akan menikam diri sendiri’, PH tidak boleh lagi berada dalam sindrom penafian.

Adakah amalan ‘menyerang sesama sendiri’ ini bermaksud tiada persefahaman yang tulus di dalam PH apabila berdepan isu besar yang menyentuh aspek kepemimpinan dan pentadbiran?

Memang benar, krisis, konflik dan kontroversi yang melanda sesebuah parti adalah sesuatu yang lazim. Malah ia juga sebahagian daripada proses untuk mematangkan sesebuah parti atau gabungan parti.

Namun, penganalisis turut berpendapat gelora yang melanda PH ketika ini adalah ciptaan mereka sendiri. Mereka tidak menolak kemungkinan konflik dalaman PH yang timbul ketika ini mempunyai kaitan dalam beberapa isu melingkari PH seperti peralihan kuasa, sehingga akhirnya mewujudkan gerakan halus menubuhkan kerajaan baharu menerusi ‘pintu belakang’.

Isu penyebaran komik propaganda politik di sekolah juga dilihat sebagai antara punca tercetusnya gelora di dalam PH khasnya apabila DAP mendakwa BERSATU kian menghampiri sifat UMNO, iaitu bersifat perkauman, selain penafian Pejabat Perdana Menteri yang Perdana Menteri terbabit dalam menghadiahkan komik berkenaan kepada Presiden China.

Secara rasional, semua parti dalam PH perlu menerima saranan PKR - parti yang memiliki Ahli Parlimen paling ramai dalam gabungan PH supaya semua pihak dalam gabungan itu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan bagi menjaga tertib di dalam parti serta menjaga keutuhan kerajaan.

Penulis Khas Meja Rencana dan Politik Berita Harian

Berita Harian X